Wednesday, January 22, 2025

Ucap Tahniah Kepada Donald Trump

 Perbuatan Ahmed Al-Sharaa atau lebih dikenali sebagai Abu Muhammad Al-Joulani iaitu pemimpin Hayat Tahrir Syam yang mengucapkan tahniah kepada Donal Trump sempena perlantikan semula sebagai Presiden Amerika tidak harus segera dikecam sebagai tali barut Amerika dan tuduhan melulu. Political gesture sebegini adalah amalan standard dalam kalangan para pemimpin dunia sejak zaman berzaman.

Salahuddin Al Ayubi mengirimkan deligasi doktor untuk merawat Richard The Lion Heart, musuh ketat beliau malah ketika itu peperangan antara tentera Salib dan tentera Islam masih lagi berlangsung. Walhasil, selepas "diplomatic gesture " itu, Perjanjian Jaffa (Treaty of Jaffa) dimeterai pada September 1192.
Sikap ini juga menunjukkan sikap neutraliti terhadap proses domestik, atau dengan kata lain, menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat negara berkenaan. Ini tidak bermaksud menyokong pemimpin yang baru dilantik itu.
Bahkan dalam tamadun Islam, konflik tidaklah menghalang komunikasi formal. Ucapan tahniah sebegini merupakan isyarat bahawa pihak yang berkonflik masih mengekalkan saluran komunikasi. Selain itu, ia mewujubkan sikap profesional walaupun wujud permusuhan. Rasulullah s.a.w memuji Abu Sufyan ketika Fathul Makkah walaupun ketika itu Abu Sufyan belum lagi memeluk Islam. Rasulullah s.a.w mengajarkan bahawa musuh bukanlah alasan untuk mengabaikan kebaikan atau kehebatan seseorang.
Selain itu, ucapan tahniah ini boleh membuka peluang dialog di masa hadapan. Kepimpinan baharu selalunya membawa pendekatan atau dasar baharu. Dalam kes ini, Amerika bukanlah negara yang boleh dipercayai, bahkan rekod berbohong dan melancarkan perang ke atas Iraq pada 2003 adalah contoh nyata sikap negara penjajah itu. Namun, suasana boleh berbeza sekiranya rakyat Amerika bertindak mendesak kerajaan mereka menilai semula dasar negara mereka.
Bagi saya, ucapan tahniah dari Joulani lebih kepada sikap pragmatik dalam mengendalikan realiti politik. China dan India mengekalkan komunikasi yang baik antara keduanya walaupun banyak sekali ketegangan antara keduanya. Begitu juga antara India dan Pakistan. Setiap kali pemimpin baharu dilantik, pihak lawan akan mengucapkan tahniah.
Sebagai hamlu dakwah dan aktivis politik, kita kena persiapkan diri dengan kematangan dalam memahami realpolitik. Ia sangat membantu untuk memandu ummah agar mengambil perhatian kepada idea yang disampaikan.