Tuesday, October 20, 2026

𝐁𝐔𝐊𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐃𝐈𝐒𝐔𝐊𝐀𝐈

Saya membuka akaun Facebook ini sekitar tahun 𝟐𝟎𝟎𝟖, ketika media sosial baharu itu sedang hangat diperkatakan dan mula mengambil alih tempat Friendster. Antara “perang keyboard” terawal yang saya hadapi ialah pertembungan dengan golongan yang menghina Islam, termasuk golongan murtad, ultra-liberal, kelompok yang membawa agenda songsang serta para penyokong mereka. Saya pernah menyertai kumpulan Facebook “𝑀𝑢𝑟𝑡𝑎𝑑 𝑃𝑎𝑛𝑡𝑎𝑖 𝑇𝑖𝑚𝑢𝑟” yang menghimpunkan kelompok berkenaan, lalu terlibat dalam perdebatan dengan mereka. Ketika itu, beberapa figura yang dikenali dengan pandangan liberal, termasuk seorang peguam wanita yang cukup terkenal, turut muncul dalam perbincangan. Begitu juga sosok seperti Asiah Jalil dan kelompok Sisters in Islam. Saya tidak ingat secara tepat berapa lama selepas itu, tetapi akhirnya saya ditendang keluar oleh admin kumpulan tersebut. Namun, sejak awal lagi, tujuan saya berhujah bukanlah untuk mengubah pendirian golongan yang sudah memusuhi Islam, sebaliknya menyediakan hujah balas buat mereka yang mungkin terpengaruh dengan pemikiran tersebut.

Antara taktik yang kerap digunakan ketika itu ialah hujah berbentuk paradoks, yang kelihatan mencabar pemikiran tetapi sebenarnya dibina untuk mengelirukan. Contohnya, “𝐵𝑜𝑙𝑒ℎ𝑘𝑎ℎ 𝐴𝑙𝑙𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑛𝑐𝑖𝑝𝑡𝑎 𝑝𝑒𝑟𝑖𝑠𝑎𝑖 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑚𝑢𝑠𝑡𝑎ℎ𝑖𝑙 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑚𝑏𝑢𝑠𝑖 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝑎𝑝𝑎-𝑎𝑝𝑎 𝑠𝑒𝑛𝑗𝑎𝑡𝑎, 𝑑𝑎𝑛 𝑝𝑎𝑑𝑎 𝑚𝑎𝑠𝑎 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑠𝑎𝑚𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑐𝑖𝑝𝑡𝑎 𝑝𝑒𝑑𝑎𝑛𝑔 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑚𝑎𝑚𝑝𝑢 𝑚𝑒𝑛𝑒𝑚𝑏𝑢𝑠𝑖 𝑠𝑒𝑔𝑎𝑙𝑎 𝑝𝑒𝑟𝑖𝑠𝑎𝑖 𝑑𝑖 𝑎𝑙𝑎𝑚 𝑖𝑛𝑖?” Apa sahaja jawapan yang diberikan akan cuba diputar untuk membawa kepada kesimpulan bahawa Allah kononnya mempunyai kelemahan. Bagi saya, masalahnya bukan pada ketidakmampuan menjawab, tetapi pada soalan yang dibina berasaskan percanggahan logik sejak awal. Apabila soalan yang salah diajukan, jawapan yang diberikan juga boleh dimanipulasi untuk menghasilkan kesimpulan yang salah. Paradoks seperti ini hanyalah salah satu helah dalam perdebatan, khususnya apabila matlamatnya bukan mencari kebenaran, tetapi mengelirukan lawan dan mempengaruhi penonton yang tidak menyedari kecacatan hujah tersebut.

.

Memasuki tahun 𝟐𝟎𝟏𝟏, gelombang Arab Spring membawa dimensi baharu kepada pertembungan saya di media sosial. Ketika itu, muncul pelbagai kelompok ekstrem yang seolah-olah mahu memasuki syurga secara ekspres, dengan menggunakan slogan “𝑗𝑖ℎ𝑎𝑑 𝑓𝑖 𝑠𝑎𝑏𝑖𝑙𝑖𝑙𝑙𝑎ℎ” untuk membenarkan tindakan ganas mereka. Sukar dibayangkan bagaimana orang yang mengaku memperjuangkan Islam boleh menampilkan pemikiran dan tingkah laku yang begitu jauh daripada akhlak Islam. Perjuangan melalui jalan damai pula dianggap pengecut, bacul dan tidak syarie. Salah satu fokus utama saya ketika itu ialah perkembangan di Syria. Dalam masa yang sama, saya yang kerap berulang-alik ke Mesir kerana isteri masih belajar di sana turut merasai sendiri tempias Arab Spring. Saya malah pernah beberapa kali ditahan pihak berkuasa Mesir dan dipanggil oleh Amnu Daulah (أمن الدولة, Amn al-Dawla) kerana dianggap “mencurigakan”. Pengalaman tersebut menjadikan apa yang berlaku di rantau itu bukan sekadar berita yang dibaca di skrin, tetapi realiti yang turut saya rasai secara langsung.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 pada 𝟐𝟎𝟏𝟐–𝟐𝟎𝟏𝟑, bahang politik tanah air pula semakin membara. Saya tidak berada dalam mana-mana blok politik tradisional, sebaliknya bersama sebuah harakah Islam yang tidak menganggap sistem demokrasi sebagai sistem yang sesuai untuk umat Islam. Akibat pendirian itu, saya dibantai dari kiri dan kanan. Walaupun saya cuba mengemukakan pandangan tanpa memfitnah, memaki hamun atau menggunakan bahasa yang kasar, perbezaan pendapat tetap mengundang serangan. Ketika itu, budaya politik seolah-olah berpegang pada prinsip, “Kalau bukan puak aku, maka mereka musuh aku.” Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS bertembung dengan Barisan Nasional yang ketika itu merangkumi UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB, PRS, SPDP, PBS dan UPKO. Hari ini, konfigurasi politik sudah banyak berubah, tetapi pengalaman menyaksikan para penyokong bertelagah dengan penuh kebencian masih menjadi ingatan. Betapa ramai yang menghabiskan tenaga bermusuhan sesama sendiri atas nama perjuangan, sedangkan landskap politik akhirnya tetap berubah mengikut masa dan keadaan.

Tahun 𝟐𝟎𝟐𝟎, tiba musim pandemik COVID-19. Apabila vaksin mula diperkenalkan, saya melihatnya sebagai sinar harapan untuk keluar daripada sekatan pergerakan dan kehidupan yang begitu menyeksakan. Namun, pada masa yang sama, muncul golongan antivaksin yang berpegang teguh pada kepercayaan mereka, walaupun risiko penyakit itu nyata. Ada yang dijangkiti lalu meninggal dunia, ada yang menjangkiti ahli keluarga sendiri, dan ada juga yang enggan membawa ibu bapa yang sudah lanjut usia atau anak-anak mendapatkan vaksin seperti yang disarankan oleh pihak kesihatan. Akibatnya, sebahagian kematian yang berpotensi dicegah tetap berlaku. Lebih membimbangkan, institusi kesihatan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula dilabel sebagai ejen Dajjal dan pihak yang zalim. Dalam suasana ketakutan dan ketidakpastian, fakta kesihatan bertembung dengan teori konspirasi, manakala nasihat profesional dianggap sebagai ancaman. Sekali lagi, saya menyaksikan bagaimana sesuatu isu yang sepatutnya ditangani dengan ilmu dan pertimbangan rasional berubah menjadi medan permusuhan, sehingga pandangan yang berbeza bukan lagi dinilai berdasarkan bukti, tetapi berdasarkan kepercayaan dan sentimen kelompok masing-masing.

Pada tahun 𝟐𝟎𝟐𝟑, 𝑻𝒂𝒖𝒇𝒂𝒏 𝑨𝒍-𝑨𝒒𝒔𝒂 mencetuskan gelombang krisis yang membawa kepada tindak balas ketenteraan Israel yang amat ganas terhadap rakyat Palestin. Konflik tersebut kemudiannya berkembang dalam landskap geopolitik yang lebih luas, termasuk perang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang terus mencorakkan ketegangan serantau hingga ke hari ini. Di media sosial, saya sekali lagi berhadapan dengan pertempuran naratif, khususnya dengan para cybertrooper atau cytro yang cuba mengangkat sudut pandang Barat dan membentuk persepsi masyarakat terhadap konflik tersebut. Perjuangan di ruang digital ini bukan sesuatu yang mudah kerana naratif yang diulang-ulang, permainan emosi dan pemilihan fakta secara terpilih mampu mempengaruhi orang ramai.

Memasuki era 𝟐𝟎𝟐𝟓–𝟐𝟎𝟐𝟔 pula, saya melihat satu lagi gelombang yang semakin membimbangkan, iaitu xenofobia dan sentimen antiimigran. Benihnya sudah mula tumbuh ketika pandemik, kemudian semakin subur apabila krisis kesihatan disusuli tekanan ekonomi. Di seluruh dunia, slogan “𝑘𝑖𝑡𝑎 𝑙𝑎𝑤𝑎𝑛 𝑚𝑒𝑟𝑒𝑘𝑎” menjadi modal politik yang berkesan untuk menghimpunkan pengikut dan meraih kuasa. Di Malaysia, kebencian terhadap pelarian Rohingya, misalnya, bukan sahaja tertumpu kepada masalah yang dikaitkan dengan sebahagian daripada mereka, malah turut melimpah kepada pihak berkuasa seperti polis, imigresen dan pelbagai kementerian. Namun, dalam kemarahan itu, perhatian terhadap punca asal krisis sering tenggelam, termasuk genosid terhadap Rohingya di Myanmar, peranan kelompok nasionalis Buddha ekstrem seperti 𝑴𝒂 𝑩𝒂 𝑻𝒉𝒂 yang dikaitkan dengan Ashin Wirathu, serta tindakan junta tentera Myanmar. Apabila kemarahan hanya tertumpu kepada mereka yang kelihatan di hadapan mata, pihak yang mencetuskan krisis dan bertanggungjawab terhadap penderitaan manusia pula berisiko terlepas daripada perhatian.

Setelah hampir dua dekad melalui pelbagai fasa pertembungan di Facebook, saya memahami bahawa media sosial bukan sekadar tempat berkongsi cerita atau meluahkan pendapat. Ia juga medan perebutan pemikiran, pertarungan naratif dan ujian terhadap prinsip yang kita pegang. Bagi saya, akaun Facebook ini ialah akaun peribadi yang diharapkan menjadi ladang amal jariah, tempat menyampaikan ilmu, berkongsi pandangan dan memberikan manfaat kepada orang lain. Saya sedar bahawa bukan semua orang akan bersetuju, apatah lagi menerima apa yang disampaikan. Ada kalanya, usaha menegakkan kebenaran dibalas dengan cacian, ugutan dan fitnah. Namun, selagi niat dan usaha ini masih boleh memberikan manfaat kepada sesiapa yang membacanya, saya berharap ia terus menjadi sebahagian daripada amal yang berkekalan. Saya tidak mengharapkan semua orang menyukai saya, apatah lagi bersetuju dengan setiap pandangan saya. Cukuplah jika ada insan yang mendapat manfaat, berfikir dengan lebih kritis, tidak mudah terpedaya dengan manipulasi, dan terdorong untuk mencari kebenaran dengan ilmu serta akhlak. Mudah-mudahan, itulah nilai yang kekal daripada perjalanan panjang saya di Facebook ini.

Gambar: Kereta perisai di bandar Kaherah pada 2012, ketika gelombang Arab Spring memuncak



Monday, September 7, 2026

Berbakti Kepada Ummah Dalam Kesibukan Dunia

Beberapa tahun lalu, seorang kenalan saya yang merupakan aktivis dalam harakah Islam pernah memberikan satu nasihat kepada saya. Katanya, jangan terlalu banyak menghabiskan fikiran, masa dan tenaga hanya untuk urusan keduniaan. Sediakanlah ruang dan waktu untuk agama.

Beliau kemudian melanjutkan pandangannya. Katanya, perbualan golongan pertengahan umur, sekitar 30 hingga 50 tahun, lazimnya banyak berkisar tentang usaha menambah pendapatan, hobi, kerjaya dan keluarga. Namun, amat jarang persoalan ummah menjadi sebahagian daripada perbualan harian kita.

Bagi saya, teguran itu ada asasnya dan wajar untuk kita renungkan. Islam bukanlah agama yang hanya berbicara tentang kesolehan dan kepentingan individu semata-mata. Ada tanggungjawab yang lebih luas terhadap keluarga, masyarakat dan ummah.

Namun, persoalan lanjut yang perlu kita fikirkan ialah: bagaimana untuk mengharmonikan tuntutan tersebut dengan kehidupan yang semakin sibuk? Kita hidup dalam zaman yang sarat dengan kebisingan maklumat, tuntutan kerjaya, komitmen keluarga dan tekanan ekonomi yang datang dari segenap arah. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana kita boleh terus memberikan sumbangan kepada agama dan ummah tanpa mengabaikan amanah-amanah lain yang turut dipertanggungjawabkan kepada kita?

Apabila mengimbau kembali kehidupan para sahabat Radhiallahu ‘anhum, kita mendapati bahawa sumbangan mereka kepada Islam hadir dalam pelbagai bentuk dan melalui pelbagai kapasiti.

Khalid ibn al-Walid tidak dikenali sebagai pengumpul hadis, tetapi beliau memainkan peranan besar di medan peperangan. Abdul Rahman ibn ‘Auf pula dikurniakan kemampuan sebagai seorang hartawan dan menggunakan kekayaannya untuk membiayai pelbagai keperluan umat. Abu Hurairah banyak menumpukan perhatian kepada periwayatan hadis. Zaid ibn Thabit berperanan sebagai penulis wahyu. Mus‘ab ibn ‘Umair pula diutus sebagai duta dan pendakwah kepada masyarakat di Madinah.

Dan masih ramai lagi para sahabat dengan peranan, kemampuan dan medan sumbangan masing-masing.

Daripada sini, saya melihat bahawa berbakti kepada ummah tidak semestinya mempunyai satu bentuk yang seragam. Tidak semua orang perlu menjadi aktivis. Tidak semua orang perlu menjadi penyumbang dana. Tidak semua orang perlu berada di medan perjuangan yang sama.

Ada yang menyumbang melalui ilmu. Ada yang melalui harta. Ada yang melalui kepakaran dan kerjaya. Ada yang mendidik anak-anak dan membina keluarga yang baik. Ada yang menulis, berdakwah, mengajar, mengurus organisasi, membantu masyarakat atau sekadar memberikan manfaat kepada manusia di sekelilingnya.

Yang penting, jangan sampai kesibukan mengejar kehidupan menyebabkan kita lupa bahawa kehidupan ini juga mempunyai tujuan yang lebih besar daripada sekadar mengurus kepentingan diri sendiri.

Pada saya, apa sahaja kebaikan yang dilakukan tidak seharusnya dipandang remeh. Istilah “berbakti kepada ummah” tidak wajar dihadkan hanya kepada mereka yang bergelar aktivis, penyumbang dana atau pejuang di medan tertentu. Setiap orang mempunyai ruang untuk menyumbang berdasarkan kemampuan, kedudukan dan amanah yang Allah berikan kepadanya.

Akhirnya, apa yang lebih penting bukan semata-mata sebesar mana sumbangan itu pada pandangan manusia, tetapi bagaimana ia dilakukan di sisi Allah.

Dua perkara perlu sentiasa dijaga: pertama, kebaikan itu dilakukan dengan cara yang benar, menepati syariat dan garis panduan yang ditetapkan Allah; dan kedua, ia dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Mungkin sumbangan kita kecil pada pandangan manusia. Tetapi jika dilakukan dengan cara yang benar dan dengan hati yang ikhlas, tidak ada satu pun kebaikan yang sia-sia di sisi Allah.

(Perbincangan diadaptasi dari buku Bunga Rampai Pemikiran Islam tulisan Muhammad Ismail)





Thursday, September 3, 2026

Islam Kaffah: Sebuah Refleksi Tentang Ilmu dan Perbezaan

Sudah agak lama saya tidak mencoret di platform ini. Kekangan masa dan tenaga, dalam suasana dunia yang semakin bising dan padat dengan maklumat, kadangkala menjadikan proses menapis, menyaring dan menilai maklumat bagi memperoleh ketepatan yang sebaik mungkin sebagai suatu cabaran yang tersendiri.

Saya cuma ingin membuat sedikit refleksi mengenai konsep Islam Kaffah, iaitu gagasan penerapan Islam secara menyeluruh dan komprehensif (syumul). Dari sudut ideal, gagasan ini sememangnya dekat dengan cita rasa hati dan jiwa yang mencintai Islam. Ia juga menjadi sebahagian daripada agenda yang disambut dan diperjuangkan oleh para hamlu dakwah sepanjang zaman, yang tidak jarang terpaksa membayar harga yang sangat mahal. Mereka digoncang, diancam, diugut, diseksa, bahkan ada yang mengorbankan nyawa demi sebuah perjuangan yang diyakini.
Namun demikian, memahami makna dan batasan Islam Kaffah bukanlah suatu perkara yang sederhana. Ia telah menjadi bahan perbahasan yang luas dalam tradisi keilmuan Islam sejak sekian lama. Terdapat, pada satu sisi, pendekatan yang cenderung kepada interpretasi yang tegar dan literal terhadap nas syarak, termasuk menjadikan pelbagai amalan politik, pentadbiran dan muamalat Rasulullah SAW serta Khulafa al-Rasyidin sebagai model normatif yang perlu diterjemahkan secara langsung dalam konteks semasa.
Pada sisi yang lain pula, terdapat pendekatan yang lebih menekankan konsep fiqh al-taysir serta mempertimbangkan perubahan realiti, konteks dan zaman dalam memahami serta mengaplikasikan nas. Di antara kedua-dua kecenderungan ini pula terdapat pelbagai posisi dan pendekatan yang lain. Malah, terdapat juga kecenderungan yang terlalu melonggarkan interpretasi terhadap nas syarak sehingga berpotensi mengabaikan, atau bahkan mencacatkan, maqasid al-syariah yang menjadi sebahagian daripada tujuan pensyariatan itu sendiri.
Sebagai muqallid muttabi‘: dalam erti kita sebagai orang awam yang pada asasnya bergantung kepada kefahaman dan interpretasi para ilmuwan yang lebih berautoriti , kita sebenarnya masih mempunyai ruang untuk menilai pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh ilmuwan yang berkelayakan dan dipercayai, sebelum membuat kesimpulan berdasarkan kemampuan ilmu yang kita miliki.
Sebagai contoh, dalam persoalan fiqh, seseorang yang dikatakan bermazhab Syafi‘i pada zaman ini tidak semestinya berpegang secara mutlak kepada keseluruhan pandangan Imam al-Syafi‘i yang terdahulu. Dalam sejarah perkembangan mazhab itu sendiri, terdapat perbezaan antara qaul qadim dan qaul jadid Imam al-Syafi‘i. Bahkan, perkembangan ini menunjukkan bahawa perubahan pandangan berdasarkan penelitian semula terhadap dalil, konteks dan metodologi ijtihad bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi keilmuan Islam.
Bagi saya, walaupun terdapat keutamaan untuk menegakkan hujah dan mempertahankan apa yang diyakini benar, tidak semestinya setiap perbezaan pandangan perlu sentiasa dijadikan titik pemisah sehingga kita terlupa akan begitu banyak perkara yang menyatukan kita sebagai umat Islam.
Malah, salah satu tanda kematangan seseorang yang berilmu ialah kesediaannya untuk menilai semula pandangan yang dipegang. Kesediaan untuk mengubah pendirian apabila berhadapan dengan hujah yang lebih kuat adalah suatu bentuk intelektual humility yang sepatutnya diraikan, bukan dianggap sebagai kelemahan. Sekurang-kurangnya, seseorang itu perlu mempunyai kesediaan untuk meneliti secara jujur pandangan yang tidak selari dengan pendiriannya sendiri, tanpa terlebih dahulu membina prasangka terhadap pihak yang berbeza.
Perbezaan pandangan tidak semestinya menjadikan kita musuh.
Barangkali, dalam tradisi ilmu yang panjang ini, kita perlu belajar membezakan antara berbeza pada perkara yang kita fahami sebagai prinsip, dengan bermusuhan kerana perbezaan kefahaman.
Kerana pada akhirnya, kematangan dalam beragama bukan sekadar kemampuan untuk mempertahankan apa yang kita yakini, tetapi juga kemampuan untuk mengakui bahawa kefahaman kita sentiasa mempunyai ruang untuk diperhalusi.
Allahua'lam.

Tuesday, May 5, 2026

𝐁𝐞𝐲𝐨𝐧𝐝 𝐭𝐡𝐞 𝐢𝐧𝐬𝐩𝐢𝐫𝐚𝐭𝐢𝐨𝐧

𝐁𝐞𝐲𝐨𝐧𝐝 𝐭𝐡𝐞 𝐢𝐧𝐬𝐩𝐢𝐫𝐚𝐭𝐢𝐨𝐧: 𝐔𝐤𝐮𝐫 𝐢𝐦𝐩𝐢𝐚𝐧 𝐛𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐡𝐚𝐫𝐭𝐚, 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐦𝐚𝐧𝐟𝐚𝐚𝐭.

Demikianlah rumusan paling ringkas yang dapat saya kongsikan daripada inti sari buku karya 𝑼𝒔𝒕𝒂𝒅𝒛 𝑭𝒆𝒍𝒊𝒙 𝑺𝒊𝒂𝒖𝒘 ini. Sebuah karya yang sarat inspirasi, disampaikan dengan gaya bahasa yang santai namun bermakna, membicarakan tentang 𝑲𝒐𝒏𝒔𝒆𝒑 𝑷𝒊𝒍𝒊𝒉𝒂𝒏 𝑯𝒊𝒅𝒖𝒑, bahawa kehidupan pada hakikatnya adalah rangkaian pilihan yang membawa implikasi, bukan sahaja di dunia, bahkan hingga ke akhirat.

Buku ini turut mengupas persoalan 𝑯𝒊𝒅𝒂𝒚𝒂𝒉 𝒅𝒂𝒏 𝑻𝒂𝒌𝒅𝒊𝒓, dengan penegasan bahawa hidayah bukan sesuatu yang ditunggu secara pasif, tetapi perlu dicari dengan kesungguhan, dipelihara dengan keazaman, dan diperjuangkan dengan istiqamah.

Bagi muslimin dan muslimat yang mendambakan inspirasi, bukan sekadar motivasi; yang ingin memahami secara mendalam konsep dan matlamat kehidupan, karya ini amat wajar dijadikan bahan bacaan. Ia berupaya mengangkat pembaca ke dataran pemikiran yang 𝒎𝒖𝒔𝒕𝒂𝒏𝒊𝒓, tingkat pemikiran yang benar-benar cemerlang, berteraskan akidah sebagai paksi utama.




Monday, March 16, 2026

Xenofobia Rakyat Malaysia

Rakyat Malaysia sering dikenali sebagai masyarakat yang kuat bersolidariti dengan perjuangan Palestin. Kita turun berhimpun, mengutip derma, dan menyuarakan simpati terhadap penderitaan mereka. Namun dalam masa yang sama, realiti di ruang sosial kita menunjukkan sesuatu yang agak paradoks: sentimen 𝑥𝑒𝑛𝑜𝑓𝑜𝑏𝑖𝑎 terhadap warga asing masih sangat kuat.
Tidak sedikit warga asing dipandang dengan penuh curiga, bahkan dihina seolah-olah mereka bukan lagi manusia yang memiliki maruah dan kisah hidup sendiri.
Lebih menyedihkan, mereka yang cuba menunjukkan sedikit empati terhadap nasib golongan ini juga tidak terlepas daripada kecaman warganet. Apa sahaja boleh menjadi sasaran. Sesiapa sahaja boleh dihentam. Kadang-kadang oleh individu yang di dunia nyata mungkin tidak berani menunjukkan sikap sebenar mereka secara terbuka.
Inilah yang sering saya sebut sebagai “kejahatan terpendam” sisi gelap manusia yang muncul apabila seseorang merasakan dirinya tidak akan dipertanggungjawabkan atas kata-kata yang dilontarkan. Dalam keadaan ini, seolah-olah pertimbangan dosa, pahala, dan nilai moral hilang sama sekali daripada neraca.
Bagi mereka yang memahami akar permasalahan di sebalik kebanjiran pelarian dan migran, sekurang-kurangnya akan wujud sedikit empati terhadap manusia yang terperangkap dalam realiti yang keras di tanah asal mereka.
Ambil sahaja contoh masyarakat Rohingya. Selama beberapa generasi, mereka mengalami diskriminasi sistematik di negara asal mereka, hingga hidup sebagai manusia tanpa negara, tanpa pendidikan yang mencukupi, dan tanpa sistem sokongan sosial yang stabil. Dalam keadaan seperti itu, tidak menghairankan jika sebahagian daripada mereka tidak mampu membentuk kehidupan sosial seperti masyarakat yang hidup dalam sistem yang tersusun dan bertamadun.
Apabila mereka menimbulkan masalah di tempat baharu, kita sering melihat gejalanya sahaja. Sedangkan akar permasalahan telah lama membumi, berpuluh tahun tanpa penyelesaian yang benar-benar tuntas. Apa yang kita lihat hari ini hanyalah natijah daripada krisis yang telah berlarutan sekian lama.
Dalam kerangka Islam sebagai 𝒕𝒉𝒐𝒓𝒊𝒒𝒖𝒍 𝒉𝒂𝒚𝒂𝒉, jalan hidup yang menyeluruh, setiap permasalahan manusia sebenarnya memiliki ruang penyelesaian. Sudah tentu tiada siapa yang waras akan mengatakan bahawa penyelesaiannya mudah. Namun jalan menuju penyelesaian itu tetap wujud dan realistik.
Jika dilihat dari sudut ideologi yang paling asas, banyak krisis kemanusiaan hari ini, termasuk kebanjiran pelarian akibat perang atau tekanan ekonomi, kemiskinan sistematik, bahkan genosid berpunca daripada ketiadaan sistem kehidupan yang berpandukan wahyu. Manusia meninggalkan panduan daripada 𝑹𝒂𝒃𝒃 Yang Maha Mencipta, lalu memilih untuk berhukum dengan sistem yang direka oleh tangan mereka sendiri.
Penerapan Islam secara kaffah dalam mengatur kehidupan manusia adalah suatu kerangka penyelesaian yang mampu merungkai pelbagai masalah besar umat manusia, termasuk isu pelarian.
Dan tentunya, jalan ke arah penyelesaian itu tidak pernah bermula dengan penghinaan, kebencian, atau menistakan golongan yang sebenarnya menjadi mangsa kepada sistem zalim ciptaan manusia.



Thursday, December 4, 2025

Cincin Rasulullah s.a.w. yang Hilang

Dalam sejarah Islam, terdapat satu kisah yang sering diceritakan oleh para ulama, iaitu kisah mengenai cincin Rasulullah s.a.w. yang digunakan baginda sebagai cap mohor untuk surat-surat rasmi kepada raja-raja di zaman itu untuk tujuan dakwah dan diplomatik. Selepas kewafatan baginda, cincin ini disimpan oleh para khalifah sebagai alat rasmi untuk urusan diplomatik.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan r.a., cincin itu terlucut dari jarinya dan jatuh ke dalam sebuah telaga berhampiran Masjid Nabawi (dipanggil sebagai Biʾr al‑Arees di zaman terkemudian yang bermaksud, Telaga Cincin). Para sahabat berusaha mencarinya selama berhari-hari, namun ia tidak pernah dijumpai semula. Walaupun ia sebuah peninggalan yang sangat berharga, kehilangan itu tidak menjejaskan sedikit pun kewibawaan pemerintahan Uthman r.a., apatah lagi kekuatan Khilafah Islam.

Ini persoalan yang penting untuk kita ambil ibrah. 

Kerajaan Islam tidak bergantung kepada tanda kuasa, mahkota, atau simbol kebesaran seperti yang diamalkan kerajaan Rom, Parsi, atau kerajaan-kerajaan dunia ketika itu. Tiada mahkota emas, tiada tongkat diraja, tiada jubah berpermata sebagai syarat memerintah.

Kekuatan pemerintahan Islam terletak pada intipatinya, bukan simbolnya.

Islam membina tamadun melalui wahyu, dari hal yang sekecil-kecilnya seperti adab ke tandas, hinggalah kepada urusan keluarga dan muamalat, Sehingga kepada perkara sebesar-sebesarnya seperti sistem pemerintahan, keadilan, ekonomi, ketenteraan, dan hubungan antarabangsa.

Segala urusan negara dibina atas petunjuk Allah, bukan perhiasan dunia. Justeru, hilangnya cincin Rasulullah s.a.w. bukanlah hilangnya legitimasi, tetapi ia mengingatkan kita bahawa Islam tidak berdiri dengan simbol — ia berdiri dengan prinsip, akhlak, dan wahyu.

Inilah rahsia bagaimana Khilafah Islam mampu berkembang menjadi tamadun besar dunia: kerana asasnya bukan benda, tetapi hidayah.

 Allahu'alam 



Wednesday, November 12, 2025

𝐌𝐞𝐥𝐞𝐭𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐬𝐞𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐨𝐤𝐨𝐡 𝐏𝐚𝐝𝐚 𝐊𝐞𝐝𝐮𝐝𝐮𝐤𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚

Nabi s.a.w sentiasa mengulang-ulang penegasan bahawa baginda hanya manusia biasa. Dalam perundangan, keadilan ditegak dengan hujah, bukan dengan "firasat sakti". Baginda melarang apabila ada penyanyi melagukan pengagungan terhadap baginda sebagai mengetahui perkara ghaib, sebaliknya baginda hanya mengetahui sekadar yang diwahyukan. 


Perbuatan mengangkat para nabi, ulama dan tokoh melebihi apa yang sepatutnya menyebabkan berlaku kesesatan dalam sejarah manusia. , permulaan penyembahan berhala dipercayai bermula daripada niat asal yang baik, iaitu menghormati orang-orang soleh yang telah meninggal dunia. Namun, seiring berjalannya waktu dan akibat manipulasi syaitan, amalan ini tersasar dan berubah menjadi penyembahan objek fizikal.


Sebelum zaman Nabi Nuh A.S, terdapat beberapa individu yang warak dan soleh dalam masyarakat pada zaman tersebut, seperti Wadd, Suwa', Yaghuth, Ya'uq, dan Nasr. Apabila mereka meninggal dunia, masyarakat yang menyayangi mereka mula berkumpul di sekitar kubur mereka untuk mengingati dan meratapi pemergian mereka.


Lama kelamaan, syaitan membisikkan idea kepada masyarakat untuk membuat patung atau gambaran rupa orang-orang soleh tersebut. Tujuan asalnya adalah untuk dijadikan peringatan agar mereka sentiasa terdorong melakukan amalan kebaikan seperti yang dilakukan oleh individu-individu tersebut.


Selepas generasi pertama berlalu dan tujuan asal patung-patung itu dilupakan, generasi seterusnya mula menganggap patung-patung tersebut mempunyai kuasa dan mula menyembahnya, sama ada sebagai perantara untuk mendekatkan diri kepada Tuhan atau sebagai tuhan tersendiri. 


يَحْمِلُ هَذَا الْعِلْمَ مِنْ كُلِّ خَلَفٍ عُدُولُهُ، يَنْفُونَ عَنْهُ تَحْرِيفَ الْغَالِينَ، وَانْتِحَالَ الْمُبْطِلِينَ، وَتَأْوِيلَ الْجَاهِلِينَ

𝑰𝒍𝒎𝒖 𝒊𝒏𝒊 𝒂𝒌𝒂𝒏 𝒅𝒊𝒃𝒂𝒘𝒂 𝒐𝒍𝒆𝒉 𝒔𝒆𝒕𝒊𝒂𝒑 𝒈𝒆𝒏𝒆𝒓𝒂𝒔𝒊 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒂𝒅𝒊𝒍 (𝒂𝒎𝒂𝒏𝒂𝒉) 𝒅𝒂𝒓𝒊𝒑𝒂𝒅𝒂𝒏𝒚𝒂 (𝒖𝒎𝒂𝒕𝒌𝒖). 𝑴𝒆𝒓𝒆𝒌𝒂 𝒂𝒌𝒂𝒏 𝒎𝒆𝒏𝒂𝒇𝒊𝒌𝒂𝒏 (𝒎𝒆𝒏𝒐𝒍𝒂𝒌) 𝒔𝒆𝒈𝒂𝒍𝒂 𝒑𝒆𝒏𝒚𝒊𝒎𝒑𝒂𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒅𝒊𝒍𝒂𝒌𝒖𝒌𝒂𝒏 𝒐𝒍𝒆𝒉 𝒐𝒓𝒂𝒏𝒈-𝒐𝒓𝒂𝒏𝒈 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒎𝒆𝒍𝒂𝒎𝒑𝒂𝒖, 𝒎𝒆𝒏𝒐𝒍𝒂𝒌 𝒌𝒆𝒃𝒐𝒉𝒐𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒐𝒓𝒂𝒏𝒈-𝒐𝒓𝒂𝒏𝒈 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒎𝒆𝒍𝒂𝒌𝒖𝒌𝒂𝒏 𝒌𝒆𝒃𝒂𝒕𝒊𝒍𝒂𝒏, 𝒅𝒂𝒏 𝒎𝒆𝒏𝒐𝒍𝒂𝒌 𝒑𝒆𝒏𝒕𝒂𝒇𝒔𝒊𝒓𝒂𝒏 (𝒕𝒂𝒌𝒘𝒊𝒍𝒂𝒏) 𝒐𝒓𝒂𝒏𝒈-𝒐𝒓𝒂𝒏𝒈 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝒋𝒂𝒉𝒊𝒍. [HR Baihaqi, Ahmad dan Ibn Hibban]


Di setiap zaman, terdapat golongan yang melampau dalam mengagungkan tokoh dari kalangan mereka. Terdapat kecenderungan yang amat ketara dalam kelompok-kelompok umat Islam, terutama yang bergelar "tarikat", sehinggakan mereka melakukan pelbagai perkara yang nampak bodoh pada pertimbangan akal. Harus ada pihak yang mencegah pemandulan akal untuk memelihara kemurnian ajaran Islam. Kalam konteks Malaysia, pihak yang menegur perbuatan memuja kubur, berlebihan dalam zikir, mengada-adakan ritual yang tidak wujud dalam ajaran Islam, akan dilabel sebagai wahabi. Label ini senjata paling mudah untuk menutup kritikan terhadap para pengamal bidaah dan kurafat ini.