Rakyat Malaysia sering dikenali sebagai masyarakat yang kuat bersolidariti dengan perjuangan Palestin. Kita turun berhimpun, mengutip derma, dan menyuarakan simpati terhadap penderitaan mereka. Namun dalam masa yang sama, realiti di ruang sosial kita menunjukkan sesuatu yang agak paradoks: sentimen 𝑥𝑒𝑛𝑜𝑓𝑜𝑏𝑖𝑎 terhadap warga asing masih sangat kuat.
Tidak sedikit warga asing dipandang dengan penuh curiga, bahkan dihina seolah-olah mereka bukan lagi manusia yang memiliki maruah dan kisah hidup sendiri.
Lebih menyedihkan, mereka yang cuba menunjukkan sedikit empati terhadap nasib golongan ini juga tidak terlepas daripada kecaman warganet. Apa sahaja boleh menjadi sasaran. Sesiapa sahaja boleh dihentam. Kadang-kadang oleh individu yang di dunia nyata mungkin tidak berani menunjukkan sikap sebenar mereka secara terbuka.
Inilah yang sering saya sebut sebagai “kejahatan terpendam” sisi gelap manusia yang muncul apabila seseorang merasakan dirinya tidak akan dipertanggungjawabkan atas kata-kata yang dilontarkan. Dalam keadaan ini, seolah-olah pertimbangan dosa, pahala, dan nilai moral hilang sama sekali daripada neraca.
Bagi mereka yang memahami akar permasalahan di sebalik kebanjiran pelarian dan migran, sekurang-kurangnya akan wujud sedikit empati terhadap manusia yang terperangkap dalam realiti yang keras di tanah asal mereka.
Ambil sahaja contoh masyarakat Rohingya. Selama beberapa generasi, mereka mengalami diskriminasi sistematik di negara asal mereka, hingga hidup sebagai manusia tanpa negara, tanpa pendidikan yang mencukupi, dan tanpa sistem sokongan sosial yang stabil. Dalam keadaan seperti itu, tidak menghairankan jika sebahagian daripada mereka tidak mampu membentuk kehidupan sosial seperti masyarakat yang hidup dalam sistem yang tersusun dan bertamadun.
Apabila mereka menimbulkan masalah di tempat baharu, kita sering melihat gejalanya sahaja. Sedangkan akar permasalahan telah lama membumi, berpuluh tahun tanpa penyelesaian yang benar-benar tuntas. Apa yang kita lihat hari ini hanyalah natijah daripada krisis yang telah berlarutan sekian lama.
Dalam kerangka Islam sebagai 𝒕𝒉𝒐𝒓𝒊𝒒𝒖𝒍 𝒉𝒂𝒚𝒂𝒉, jalan hidup yang menyeluruh, setiap permasalahan manusia sebenarnya memiliki ruang penyelesaian. Sudah tentu tiada siapa yang waras akan mengatakan bahawa penyelesaiannya mudah. Namun jalan menuju penyelesaian itu tetap wujud dan realistik.
Jika dilihat dari sudut ideologi yang paling asas, banyak krisis kemanusiaan hari ini, termasuk kebanjiran pelarian akibat perang atau tekanan ekonomi, kemiskinan sistematik, bahkan genosid berpunca daripada ketiadaan sistem kehidupan yang berpandukan wahyu. Manusia meninggalkan panduan daripada 𝑹𝒂𝒃𝒃 Yang Maha Mencipta, lalu memilih untuk berhukum dengan sistem yang direka oleh tangan mereka sendiri.
Penerapan Islam secara kaffah dalam mengatur kehidupan manusia adalah suatu kerangka penyelesaian yang mampu merungkai pelbagai masalah besar umat manusia, termasuk isu pelarian.

No comments:
Post a Comment