Wednesday, February 3, 2016

Rasuah

Ada yang bertanyakan tentang dalil "derma" RM 2.6 Billion sebagai rasuah. Berikut antara dalil yang biasa kita dengar:

1. " Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

2. Nabi bersabda kepada seorang gabenornya bernama Ibn Lutbiah yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :

"Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda

" Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)

"Ya Tuhanku, adakah telah aku sampaikan (kepada umatku akan hal ini) sebanyak tiga kali..(Al-Bukhari, no 2597 & Muslim no 1832)

3. "Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur" [Riwayat Ahmad].

Buat sesiapa yang taksub sangat membela pemerintah yang menyeleweng, moga peringatan dari Rasulullah s.a.w ini diambil ibrah:

Daripada Huzaifah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda : "Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh minum (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan bertemuku di haudh" minum bersamaku di telaga khautsar. (Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya)

Allahualam.


Sunday, January 17, 2016

Peristiwa Hari Jumaat

Adaptasi dari kisah diceritakan oleh oleh Ustaz Zul Ramli dalam rancangan Usrah Nurani 15 January 2016....


Ada seorang lelaki tua di sebuah negara kafir, di mana kaum muslimin merupakan minoriti (tempatnya tidak dinyatakan) sangat membenci Islam. Masjid di kawasan itu cuma diimarahkan setiap hari Jumaat untuk solat Jumaat sahaja.

Si Lelaki Tua itu selalu mencampakkan najis atau bangkai ke dalam masjid kerana kebenciannya terhadap Islam dan kaum muslimin. Setiap kali Jumaat, AJK masjid dan ahli qariah akan membersihkan masjid dari bangkai dan najis yang dibuang oleh lelaki tua itu sebelum masjid dapat digunakan untuk solat Jumaat. Kebencian lelaki tua itu semakin memuncak takala anak perempuannya sendiri memeluk Islam. Sebagai tanda protes, dia menggantung bangkai anjing yang sangat busuk di mimbar masjid pada satu pagi Jumaat, menyebabkan seluruh masjid menjadi busuk.

Satu pagi, pada hari Jumaat, apabila AJK masjid serta ahli qariah sedang bergotong-royong membersihkan masjid, lelaki tua itu memanggil-manggil Imam masjid dari luar pintu masjid. Imam menjenguk keluar dan didapti lelaki tua itu bersungguh-sungguh mengajaknya keluar. Imam yang ketika itu sedang sibuk membersihkan masjid, turun melayan, dengan rasa keberatan.

Lelaki tua itu duduk mencangkung, berbaju t-shirt dan meminta Imam turut mencangkung. Kemudian, dia bertanya, "bagaimana untuk aku menjadi seorang muslim?". Pertanyaan itu disambut dengan rasa curiga oleh Imam kerana sudah sekian lama mengenali perangai lelaki tua itu. Lelaki tua mengulangi pertanyaan, "bagaimana untuk masuk Islam?". Imam pun melayan dalam serba salah, "ucaplah lailahalillah muhammadunabduhuwarosuluh...." Lalu lelaki tua perlahan-lahan ikut melafazkan kalimah syahadah itu. Kemudian, Imam menerangkan makna syahadah itu. Lelaki tua itu kemudiannya bangun dan berkata dengan nada agak kuat, "sekarang, aku sudah Islam!!!!" Kemudian dia pun berlalu pergi.

Imam kembali ke dalam masjid untuk menyambung kerja yang belum selesai. Apabila diceritakan kisah itu kepada mereka yang berada di dalam masjid, mereka tergelak. "Mabuk agaknya orang tua tu..." Ujar salah seorang dari mereka.

Pagi itu, seperti kebiasaannya, anak kepada lelaki tua itu akan membawa makanan yang istimewa untuk orang tuanya pada setiap pagi Jumaat. Takala dia masuk ke dalam rumah orang tuanya itu, ayahnya tidak kelihatan. Dia tercari-cari pula di tingkat atas rumahnya. Didapati ayahnya sedang berbaring dalam keadaan qiam. Dia menggerakkan tubuh orang tua itu, tetapi ternyata dia tidak bergerak. Lalu diperiksa nafasnya, barulah diketahui, ayahnya telah meninggal dunia.

Si anak bergegas keluar untuk memaklumkan perkara itu kepada saudara-mara dan jiran. Ketika melalui masjid, yang sememangnya berdekatan dengan rumah orang tuanya itu, kelihatan Imam sedang bersiap-siap untuk solat Jumaat. Si anak teragak-agak untuk memberitahu Imam kerana dia juga tahu akan perbuatan ayahnya mengotorkan masjid. Namun, dia bertindak memberitahu imam akan kematian ayahnya itu.

Sebaik mendengar berita itu, tiba-tiba Imam terduduk, lalu menangis. Si anak kehairanan dan bertanya, "kenapa?". Lalu Imam memberitahu, "ayahmu datang kepadaku pagi tadi, dalam jam 10 pagi dan mengucap dua kalimah syahadah di hadapanku. Dia mati sebagai seorang Islam...."

Doktor mengesahkan, lelaki tua itu meninggal sekitar jam 12 tengah hari, iaitu hanya beberapa jam selepas dia memeluk Islam.

Allah memilih lelaki tua itu untuk diberi keampunan, sekalipun seluruh hidupnya membenci dan dendam terhadap Islam.

Moga kita juga diberi kematian yang baik... AMIN.

Tuesday, January 12, 2016

Panji Hitam Dari Timur?

 Bisyarah mengenai kebangkitan Khilafah akhir zaman merupakan perkhabaran berbentuk "mutawatir bil makna", iaitu secara maksudnya menjadikan ia satu perkara sahih sekalipun belum berlaku, disebut dalam pelbagai riwayat sekalipun banyak perbezaaan dari satu periwayatan ke periwayatan lainnya.

Perlu diperhatikan dengan sudut pandang yang mustanir (cemerlang) dalam mencermati perkara ini agar ia tidak menjadikan kita terpesong dalam obsesi mencapai kemenangan.

Kalau kita perhatikan, para ulama mujtahideen seperti Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Nawawi dan ramai lagi, mereka tidak mensyarahkan segala hadis berbentuk perkhabaran ini untuk dimasukkan dalam perkara yang mereka ijtihadkan. Sebaliknya, mereka memperakukan kesemua dalil berbentuk bisyarah itu dan mendiamkan diri dari mengistinbath (menggali) hukum perbuatan dari dalil tersebut. Ini kerana, mereka sangat memahami, ia dalil untuk diimani, bukan untuk panduan hukum perbuatan.

Di sini, kita harus cermati perbuatan kita agar tidak tertipu dengan muslihat musuh yang sememangnya sentiasa memasang jerat dalam pelbagai bentuk termasuk menubuhkan "daulah Islam" versi mereka agar Islam dipalitkan dengan wajah yang ngeri dan buruk.

Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia.Surat [Al-Isra' Ayat 73]

Allahualam


Sunday, December 20, 2015

Apa sebab sebenarnya Ringgit Malaysia jatuh?

1. Dana-dana berjumlah lebih USD 1 Trilion ( 1,000,0000,000,000 ) telah lari dari pasaran ’emerging-markets’ ke pasaran ‘advance-economies’ seperti UK dan US.
Malaysia sebagai salah satu pasaran ’emerging markets’ memang merasakan tempias perubahan strategi dana-dana asing ini. Antara negara lain yang mengalami kemerosotan teruk akibat perubahan ini adalah negara negara seperti Australia, Indonesia, Thailand, Norway, Russia, Brazil, Mexico. Perubahan strategi dana-dana asing ini membuatkan mereka menjual stok matawang dan saham. Ini menyebabkan penurunan nilai matawang dan bursa saham di negara-negara ’emerging markets’ atau negara membangun

2. Pasaran Komoditi Yang Menjunam
Malaysia merupakan negara pengeksport komoditi seperti minyak dan gas asli, getah, kelapa sawit
dan lain-lain. Sektor ini menyumbang lebih 25% dari jumlah dagangan export kita. Masalah besar kini adalah harga komoditi yang telah jatuh menjunam ke aras yang lebih rendah berbanding 2008-2009. Bila harga komoditi jatuh teruk, pendapatan negara akan berkurangan dan pasaran matawang akan berpendapat yang matawang kita kurang potensinya. Jadi mereka akan jual.

3. Kenaikan risiko politik semasa
Pihak pengurusan dana-dana besar (fund managers) di Malaysia dan serata dunia memerhati dengan rapat situasi politik di Malaysia, terutamanya jika ada kebarangkalian pertukaran kerajaan. Rombakan kabinet baru-baru ini telah memberi persepsi negatif terhadap pelabur luar

4. Penurunan Nilai Yuan oleh Bank Negara China
Menyebabkan kejatuhan pasaran saham besar-besaran seluruh dunia
Nilai matawang Yuan meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Memandangkan China adalah pengeksport utama di dunia, penurunan kadar tukaran matawang Yuan adalah bermanfaat tinggi bagi negara mereka. Mana-mana negara yang mengimport dan mengeksport barang dari China turut menerima kesan dari penurunan matawang ini

5. Sistem ekonomi yang fragile
Dalam sistem ekonomi sekular kapitalis, ianya berasaskan persepsi, sangkaan, manipulasi dan kepentingan. Maka, ia merupakan sistem yang rapuh, dan hanya menjaga kepentingan pihak tertentu dengan memangsakan pihak lain. Matlamat sistem ekonomi dalam Islam ialah untuk memberi kemakmuran kepada seluruh rakyat tanpa mengambil kira sama ada mereka kaya atau miskin. Kewajipan mengurus ekonomi terpikul di bahu pemerintah dan mereka pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Allahualam

-Olahan dari penulisan Faizul Ridzuan ,What are the reasons of RM free-fall -

Tuesday, December 1, 2015

SEKILAS MENGENAI AHBASH DAN WAHABI

Pihak berkuasa agama di Malaysia, juga di kebanyakan negara umat Islam di dunia ini sangat dipengaruhi oleh dua kelompok "mazhab aqidah" iaitu Ahbash yang dipopularkan oleh Abdullah Al Hariri yang dijoloki gelaran "Al Habshy " dan di satu pihak lain pula dikenali sebagai Wahabi, diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab, yang banyak mengambil pandangan Syaikul Islam, Ibnu Taimiyyah sebagai fahaman mereka.


Secara ringkas, Ahbash ini terkenal dengan slogan "Allah wujud tak bertempat", iaitu versi aqidah mereka yang sibuk mentafsirkan koordinat Allah dari ayat mutashabihat, berupa satu bentuk perbahasan ahli kalam yang muncul di kala daulah Islam bertembung dengan tamadun Barat khususnya Yunani dan Rome.


Wahabi pula mudah dikenali dengan versi membida'ahkan bermacam amalan yang wujud di tengah masyarakat, sesuai dengan sejarah kemunculan aliran mazhab ini yang berdepan dengan kecelaruan aqidah akibat terlalu banyak fahaman syirik menular di tengah kaum muslimin. Pendokong fahaman ini kemudiannya dipergunakan oleh British dalam misi mereka memisahkan Hijaz dari Khilafah Uthmaniah dan seterusnya mempertahankan dinasti Saud sehingga bumi Hijaz terus menyaksikan pelbagai siri pengkhianatan terhadap kaum muslimin, khususnya dalam siri penaklukan ke atas wilayah-wilayah kaum muslimin.


Aku tidak berminat menerangkan perbahasan yang berlaku di antara kedua puak ini sejak berdekad lamanya, sekadar untuk menjelaskan secara ringkas asal-usul kedua aliran mazhab aqidah ini. Persamaan mereka yang berlaku pada hari ini ialah, keduanya cenderung berbaik dengan golongan pemerintah, menjawat jawatan mufti dan penasihat agama kepada kerajaan sekular, dan membisu dalam banyak isu penting melibatkan kemaslahatan umat, khususnya siyasah (politik).


Kini, muncul harakah Islam dipanggil Hizbut Tahrir, yang berterus-terusan menyeru kepada penyatuan kembali seluruh wilayah kaum muslimin di bawah kekuasaan seorang Khalifah, amirul mukminin, maka kedua puak yang berseteru ini kelihatan bergabung menghadapi common enemy, persis kerjasama Russia dan Amerika dalam membunuh kaum muslimin di Syiria ketika ini.


Allah sebaik-baik penolong dan pembalas. Moga Allah menghancurkan pakatan musuh-musuh Islam, sekalipun mereka berselimut di bawah selimut pihak berkuasa agama ataupun mufti~!!!!

Saturday, November 14, 2015

Fajar Khilafah Dari Kota Yang Ranap

ISIS dicipta di kala rakyat Syria serta para pejuang dari Syam dan seluruh pelusuk dunia berkumpul di Syria dan melaungkan revolusi yang tidak sama seperti yang berlaku di wilayah-wilayah lain.
Mereka sepakat mahukan sebuah daulah Islam, iaitu KHILAFAH, lalu ISIS datang "out of thin air" lalu menobatkan diri sebagai KHILAFAH. Dengan wajah yang bengis dan menakutkan, dengan keanggotaan yang jelas tersangat jahil, sebahagian besar serangan tentera Basyar serta kuasa luar tidak disasarkan kepada ISIS sebaliknya kepada mujahideen lain.

Terbaru, ISIS dikaitkan dengan serangan di Paris, sesuai untuk menjadikan peristiwa ini sebagai "catalytic event" dalam menjayakan propaganda War On Islam, sekaligus memburukkan imej KHILAFAH di mata dunia. Beberapa perkara untuk diperhatikan di sini:
1. ISIS itu Khilafah palsu. Sama ada dari segi sistemnya, mahupun realitinya.
2. "Khilafah" versi ISIS terus disebut-sebut agar wajah khilafah diburukkan sebelum kaum muslimin sendiri mengenalinya
3. Panji Ar Rayah (panji hitam) yang digunakan ISIS kelihatan lebih menakutkan dari mana-mana lambang gangster atau angkatan tentera walhal ia sepatutnya dilihat sebagai panji keadilan dan keamanan kerana panji itulah yang menjadi kebanggaan tentera kaum muslimin yang membebaskan sebahagian dunia ini dari kekuasaan pemerintah yang zalim di zaman kegemilangan Islam dahulu.

Aku menjangkakan "Aus dan Khazraj" di zaman ini ialah gabungan mujahideen dan sebahagian anggota tentera yang ikhlas dari negeri-negeri umat Islam untuk menyokong tegaknya kembali Khilafah Ar Rashidah buat ke sekian kalinya nanti.

Insyallah, masanya sudah sangat dekat sehinggakan Amerika dan Russia yang selama ini bercakaran juga terpaksa bergabung bagi membendung bangkitnya gergasi yang tidak mungkin mampu mereka kalahkan itu nanti.... Harum fajar khilafah sudah dihidu oleh mereka yang menginfakkan diri mereka sepenuhnya kepada perjuangan ini.

Kita mungkin tidak sehebat A'la, berusia 10 yang menemui syahid di medan perang kerana melindungi jasad Rasulullah s.a.w dengan batang tubuhnya. Kita mungkin tidak sehebat ibunya yang penuh redha merelakan suami dan anak tersayang untuk syahid demi agama Allah. Curahkan segala yang termampu, mudah-mudahan Allah menerimanya sebagai amal soleh.

Sunday, November 8, 2015

Uqubat Islam selain Hudud

1. Jinayat: Penganiayaan atau penyerangan terhadap badan yang mewajibkan qishash (balasan setimpal) atau diyat (denda). Penganiayaan itu mencakup penganiayaan terhadap jiwa dan anggota tubuh. Maksud dari jinayat di sini adalah hukuman yang dijatuhkan atas penganiayaan tersebut. Dalam hukuman-hukuman dalam ‘uqubat terdapat hak seorang hamba. Dan selama berkaitan dengan hak hamba, maka bagi pemilik hak (shâhibul haq) boleh memberikan ampunan, dan menggugurkan haqnya. Allah Swt berfirman: “Dan barangsiapa mendapatkan kemaafan dari saudaranya.” (QS. al-Baqarah [2]: 178)

Dikeluarkan oleh Thabarâni, “Bahwa ‘Ali ra didatangi seorang lelaki muslim yang telah membunuh seorang ahlu dzimmiy, dan terbukti (bahwa lelaki itu pelakunya), kemudian beliau ra memerintahkan untuk membunuhnya, kemudian datanglah saudara (kafir dzimmiy) tersebut dan berkata, “Saya maafkan.” `Ali ra bertanya, “Apakah mereka mengancammu, menakut-nakutimu, atau menggertakmu? Lelaki itu menjawab, “Tidak! Akan tetapi pembunuhannya tidak aku terima, tetapi kemudian mereka menjelaskan kepadaku kemudian aku redha. Kemudian Ali ra berkata, “Kamu lebih tahu, barangsiapa di bawah perlindungan kami, darahnya seperti darah kami, diyatnya seperti diyat kami.”Ini menunjukkan bahwa kemaafan bagi pelaku penganiayaan dari shahibul haq mengugurkan hukuman (jinâyât) tersebut

2. Ta’zîr: Hukuman bagi kemaksiatan yang di dalamnya tidak ada had dan kifârat. Melakukan perbuatan maksiat perlu dilihat dahulu, apabila Allah Swt. telah menetapkan hukuman tertentu bagi kemaksiatan tersebut, maka ia termasuk ke dalam hudud.


3. Mukhâlafât: Hukuman yang dijatuhkan oleh penguasa kepada orang yang menentang perintah Khalifah atau wakilnya. Mukhâlafat tidak masuk dalam bab ta’zîr, sebab mukhâlafat bukanlah pelanggaran terhadap perintah Allah Swt. Sedangkan ta’zîr khusus bagi pelanggaran terhadap perintah-perintah dan larangan-larangan Allah Ta’ala. Ini termasuk melanggar peraturan jalan raya, peraturan racun dan lain-lain yang melibatkan kemaslahatan umum. Perintah Khalifah wajib ditaati selama mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Khalifah bebas melakukan ijtihad atau menggunapakai ijtihad dari mujtahid untuk memutuskan hukuman yang sesuai dalam uqubat dalam kes berbentuk Mukhâlafat ini.




Allahualam.


Sumber: Nidhamul 'Uqubat, karya Abdurahman Al-Maliki