Saturday, February 3, 2024

Tinggalkan Adat Yang Menyusahkan

 Menjadi sunnah dalam ajaran Islam, jiran tetangga dan sahabat handai membantu keluarga yang kehilangan orang tersayang dengan menjamu mereka dan mengurangkan kesusahan yang mereka alami. Dari perintah Rasulullah s.a.w:

“Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Jaafar (isteri-isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang menyedihkan mereka.” [HR Ahmad] 

Sekiranya diadakan "adat" keluarga si mati mengadakan kenduri, sedangkan ada dalam masyarakat, keluarga yang kurang berkemampuan, dikhuatiri menyusahkan mereka. Sebaliknya, jika ia diadakan oleh pihak lain, pada kadar membantu, ia merupakan sunnah. Tabung sumbangan kematian ialah untuk membantu ahli waris, bukan untuk digunakan menjamu orang ramai.

Dalam perihal"konvo" anak-anak. Saya kira, ia wajar diadakan, tetapi dengan kadar sederhana. Meraikan anak-anak, menghargai prestasi mereka di sekolah adalah baik, tetapi jangan lah sampai membebankan. Saya perhatikan, pihak PASTI mengutip sumbangan ikhlas dari ibubapa untuk mengadakan majlis, dan orang ramai bergotong-royong memasak untuk jamuan sempena majlis konvo anak-anak. Sangat sederhana tetapi meriah.

Tak perlulah majlis besar, diadakan di hotel hingga dikhuatiri membebankan ibubapa yang kurang berkemampuan. Ia bukan isu berkira, tetapi lebih utama untuk menimbulkan keadaan serba salah bagi ibubapa yang kurang dari sudut kewangan.

Adat dan tradisi yang menyusahkan seharusnya ditinggalkan, diganti dengan sunnah. By nature, Islam mengatur urusan masyarakat secara sederhana, tanpa perlu bersikap bakhil. 

Saturday, November 18, 2023

Bukan Semua Immigrant Itu Seperti Yahudi

Saya kurang setuju untuk disamakan komuniti cina yang berhijrah ke Malaysia seperti bangsa Yahudi yang masuk ke Palestine sepepas kekejaman Nazi. Di Palestine, terdapat Yahudi Ortodox yang hidup berdampingan dengan masyarakat Kristian dan Islam selama ribuan tahun di Palestine. Golongan Yahudi yang pindah masuk itu sebilangan besar merupakan penyokong Zionis yang menggunakan propaganda kononnya Zionis berjuang untuk agama Yahudi.


Mitos ini dibantah oleh kaum Yahudi sendiri, yang memahami agama mereka. Zionisme ialah fahaman ultra nasionalis Yahudi, yang sebenarnya tidaklah berakar dari agama Yahudi kecuali menggunakan slogan agama dan bangsa untuk meraih sokongan.


Cina Malaysia pula, mereka yang dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh penjajah British sebagai buruh di lombong dan estet, pada asalnya tidaklah bercadang untuk kekal selamanya di negara ini. Immigrant ketika era penjajah itu terus mengekalkan budaya dan cara hidup negara asal mereka, disokong institusi pendidikan vernacular. Pasca era penjajahan, keadaan berubah, dan penduduk Tanah Melayu menerima immigrant sebagai rakyat negara ini, dengan kesepakatan tertentu yang disebut "kontrak sosial". Tidak berlaku asimilasi budaya, sebaliknya persetujuan yang disepakati ialah co-exist dalam keadaan aman dan sama-sama menumpahkan ketaatan kepada negara ini.

Beberapa persamaan, iaitu dibawa masuk oleh British, tidak adanya asimilasi sosial dan budaya, serta ciri dominasi ke atas ekonomi menjadikan sebahagian pemikir Melayu beranggapan, golongan immegrant sebagai ancaman, persis apa yang berlaku di Palestin.
Pun begitu, kita harus tengok dalam perspektif yang lebih luas, tanpa terburu-buru untuk bersikap prejudis terhadap sesiapa sahaja. Berbeza dengan Yahudi di Israel yang rata-rata memiliki dua kerakyatan, warga cina di Malaysia ialah rakyat Malaysia yang tidak memiliki kerakyatan asing. Ia tidak diterima dari segi perlembagaan di negara Malaysia. Dari segi ekonomi, sumbangan golongan ini terhadap kemajuan ekonomi negara ialah fakta yang tidak boleh diketepikan.


Idea asimilasi budaya juga tidaklah begitu utama, malah hampir mustahil untuk dilakukan setelah lebih 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, sebaliknya, negara Malaysia seharusnya dibangun dengan identiti yang menerima kepelbagaian budaya sebagai identiti negara. Diversiti sebagai kekuatan, bukan kelemahan.


Dalam sebuah negara Islam, sepatutnya usaha dakwah dilakukan secara sistematik. Golongan non-muslim diberi kefahaman yang betul tentang Islam, dipelihara nyawa, harta, agama serta kehormatan mereka, manakala umat Islam memaparkan sikap yang selari dengan ajaran Islam, sehingga bangsa-bangsa yang berhijrah ke wilayah umat Islam berasa aman, selamat dan lembut hati untuk menerima Islam. Pun begitu, setelah segala kebaikan diberikan, jika terdapat unsur jahat yang cuba menggugat kedudukan Islam di dalam wilayah umat Islam sendiri, tidakan tegas wajib dikenakan. Kaedah lembut dan tegas harus seimbang untuk menjaga kemaslahatan umum.

Wednesday, November 1, 2023

𝐈𝐦𝐞𝐣 𝐍𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐞𝐧𝐲𝐞𝐧𝐭𝐚𝐩 𝐉𝐢𝐰𝐚

 Dalam masa kira-kira sebulan kebelakangan ini, saya anggarkan, kebanyakan dari kita melihat gambar dan video tentang kematian dalam kuantiti yang sangat banyak. Ianya sangat ngeri, tragis, membakar kemarahan dan kesedihan manusia yang berjiwa insan. 

Dalam perihal ini, ada hadis untuk kita jadikan ibrah:

Dalam hadis riwayat Muslim dikatakan bahawa Za'id bin Tsabit berkata-  Pada saat Nabi s.a.w berada di kebun Bani Najjar sambil naik keldai dan kami menyertainya, tiba-tiba keldai itu meyimpang dari jalanan, lari dan hampir saja menghempaskan beliau. Ternyata di situ terdapat kuburan enam, lima atau empat orang. Baginda s.a.w bertanya, "Siapa yang mengenal penghuni kubur ini?" Seorang lelaki menjawab, "Saya." Baginda bertanya lagi, "Bila mereka meninggal?" Ia menjawab, "Ketika mereka syirik." Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya umat ini diuji dalam kuburannya, dan kalau bukan kerana kalian akan takut menguburkan (jenazah), sungguh aku akan berdoa kepada Allah agar Ia memperdengarkan azab kubur yang ku dengar kepada kalian. " [𝐇𝐑 𝐌𝐮𝐬𝐥𝐢𝐦] 

Jangan sesekali lupakan penderitaan warga Pa1estine, atau sesiapa sahaja, di manapun mereka berada. Keadilan harus ditegakkan, kekejaman wajib dihentikan.

Cuma, dalam konteks kehidupan seharian, kita tidak boleh merosakkan emosi dengan kengerian secara berterusan. Sebagaimana Rasulullah s.a.w tidak mahu umat baginda ngeri akibat mendengar suara dari kuburan seperti dalam hadis di atas. 

Al Quds pasti akan dibebaskan. Jangan putus asa dari berdoa dan berusaha membangkitkan kesedaran sehingga kejahatan dikalahkan dalam keadaan yang terpaling hina. Satu hari nanti, pasukan tentera yang benar-benar teguh keimanan mereka akan mengalahkan Zi0nist, hingga tidak ada penjuru planet ini mampu menjadi tempat untuk mereka bersembunyi. Demi Allah, ia pasti akan berlaku!!!




Tuesday, October 17, 2023

𝗣𝗘𝗥𝗕𝗘𝗭𝗔𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡

Hari ini timbul polemic berkenaan perkahwinan Abe Sabri Yunus dan Angeline Tan yang dikatakan tidak sah, dan ditambah dengan perkataan yang mengaibkan ke atas pasangan mempelai ini, hanya disebabkan akad nikah yang berlangsung dikatakan tidak sah. Alasannya, qabul (pengakuan penerimaan keatas ijab) yang disebut oleh Sabri Yunus dikatakan terlalu ringkas, dan tidak sempurna menurut mazhab Shafie. Cumanya, golongan yang kononnya teguh berpegang kepada mazhab Shafie ni selalu lupa, dalam dunia ini ada banyak mazhab dalam Islam, yang diterima sebagai ahli sunnah.

.

Dah ramai asatizah dan ilmuan memberi komentar dalam isu ini. Termasuk Dr Zulkifli, Prof Dr Rozaimi dan SS Dr Maza sendiri. Saya tak minat ulas mengenai isu ni tetapi nak relate dengan pengalaman sendiri berdepan dengan pandangan rigid sebahagian firkah (sekte) umat Islam.

.

Saya pernah “ditekan” untuk menerima pandangan bahawa transaksi emas hanya boleh dilakukan secara fizikal, face to face sesuai dengan mafhum hadis mengenai jual-beli emas, yang mensyaratkan “yadan bi yadin” yang bermaksud tangan ke tangan. Pandangan ini menolak secara total transaksi online dalam urus niaga emas kerana menurut mereka, ia tidak menepati ciri “lani” atau immediate yang menatijahkan wujud unsur riba dalam transaksi jual-beli emas. (Emas merupakan salah satu item ribawi dalam syariat Islam). 

.

Pandangan ulama mutaakhir pula menerima transaksi online dengan anggapan, ia memenuhi syarat lani, walaupun majlis serah terima tidak dilaksanakan secara berdepan. Alasannya, selagi tidak ada penangguhan dalam pemindahan hak, dan boleh dibuktikan secara hukum melalui resit, DO, Invoice dan sebagainya, maka tidak timbul soal “penangguhan” atau serah terima mesti dilakukan secara fizikal. Satu lagi syarat yang wajib dipenuhi, emas itu mestilah emas fizikal, dan bukannya emas digital yang tidak wujud. Untuk lebih kefahaman, sebaik Sahaja transaksi online selesai, pemilikan emas telah beralih dari penjual kepada pembeli, dan sekiranya pembeli meninggal dunia sebelum emas fizikal dapat dipegang dalam simpanannya, hukum faraid yang berlaku ke atas harta itu ialah, emas difaraidkan kepada waris pembeli, bukan dikembalikan kepada penjual. 

.

Bagi saya, kedua pandangan ini memenuhi kewajipan untuk patuh kepada syariat Islam. Pandangan yang tidak membolehkan transaksi online dalam urusniaga emas situ syarie, pandangan yang membolehkan juga syarie. Ia salah satu cabang ijtihad dalam urusan muamalat. Memaksakan pandangan sendiri ke atas orang lain adalah pemandulan pemikiran, satu bentuk ghuluw (melampau). Lagipun, seseorang mujtahid walaupun sosok seagung Imam Shafie Rahimahullah, juga menukar pandangan beliau setelah datangnya info baharu, dan berlaku perkembangan kefahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu. Itulah yang disebut qaul Qadim dan qaul Jadid dalam mazhab Shafie.

.

Ahli ilmu yang matang sedia menerima hakikat bahawa perbezaan pandangan itu bukan punca perbalahan. Ia menunjukkan keluasan tsaqafah Islam, yang digali dari khazanah hukum bersumberkan Al Quran dan Sunnah, yang dijadikan pedoman untuk kehidupan manusia sepanjang zaman. Maka tidaklah menghairankan Ketika para Khulafa Ar Rashideen memerintah, polisi yang diamalkan tidak lah 100% sama seperti yang Rasulullah s.a.w laksanakan Ketika baginda menjadi ketua negara. Contohnya, Khalifah Umar Al Khattab RA tidak memberikan ghanimah kepada tentera ketika futuhat di wilayah Iraq, walaupun ghanimah memang diberikan kepada tentera ketika pemerintahan Rasulullah s.a.w, bahkan ada surah dalam Al Quran diberi nama Surah Al Anfal, yang bermaksud, Rampasan Perang. 

.

Ada isu yang lebih utama untuk didahulukan, semoga dengan munculnya pelbagai pandangan yang berasaskan hujah dan dalil, umat Islam akan lebih matang dan berilmu. Dengan kata lain, akan terlupus kebodohan dan ketaksuban di tengah umat, apabila tradisi ilmu dibudayakan.




Tuesday, August 29, 2023

Dunia Tidak Berfungsi Dalam Keadaan Binary

Dalam komunikasi, melihat kepada "addressee factor", iaitu pihak yang menerima mesej yang kita sampaikan amatlah mustahak. Penerimaan seseorang tidak banyak bergantung kepada intipati maklumat yang disampaikan, sebaliknya lebih kepada nada/intonasi penyampaian. Ini antara seni dalam komunikasi.

Ramai sekali orang bodoh, bercakap dengan gaya penuh keyakinan, walaupun intipatinya hanya sampah. Dalam dunia akademik, ia dipanggil Dunning–Kruger effect, iaitu keyakinan seseorang berkait dengan ilmu yang dimiliki dalam sesuatu subjek.
Melihat ke belakang, pengalaman saya sendiri ketika menemukan "enlightenment" mengenai ideology Islam, rasa membuak-buak ingin menyamaikan kepada seluruh manusia bahawa inilah al haq. Inilah kebenaran. Bila bertembung dengan idea yang bertentangan, ditentang habis-habisan, seringkali terlupa tujuan dan maksud asal apa yang disebut sebagai perjuangan mengembalikan kehidupan Islam itu. Terlupa bahawa akhlak yang baik, memelihara silaturrahim, sikap berbelas kasihan serta ehsan adalah juga sebahagian dari ajaran Islam.
Then, masa berlalu. Seiring peningkatan usia, perluasan pengalaman dan pertambahan ilmu, saya mula fahami bahawa dunia ini tidaklah sentiasa berfungsi dalam bentuk binary, iaitu hak dan bathil, benar atau salah, hitam atau putih, syurga atau neraka. Sebaliknya, ada rantaian kisah, ilmu, pendapat, realiti dan perspektif syarak yang jauh lebih kompleks. Meletakkan segalanya dalam bentuk simple, tidak selalunya tepat.
Contoh mudah untuk memahami isu ini ialah, pandangan berdasarkan nas yang melarang penjarakan saf solat. Ia pandangan yang kuat berdasarkan nas syarak, akan tetapi syarak ialah aturan yang berinteraksi dengan kehidupan manusia. Maka, ketika wabak baru bermula, tanpa adanya known medical intervention yang boleh mencegah atau merawat, perkiraan yang betul tidaklah sebatas pentarifan nas syarak semata-mata, tetapi wajib didasari realiti semasa. Apalagi ia melibatkan risiko musibah wabak yang membawa maut, terutama bagi golongan dengan comorbidity. Walaupun syariat Islam bukanlah semata-mata memelihara maslahat manusia, syariat Islam juga tidak harus dilihat bertentangan dengan pemeliharaan kemaslahatan manusia sehingga ke tahap merisikokan nyawa sendiri dah orang lain. Ini lah yang saya maksudkan "non-binary".
Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Yang penting, jangan terlalu taksub sehingga langsung tidak memperkirakan apa-apa pandangan lain. Dalam dunia intelektual, orang yang matang akan memperkirakan hujah ilmiah dari pelbagai sudut, sebelum membuat konklusi.



Wednesday, July 12, 2023

 𝐗𝐄𝐍𝐎𝐏𝐇𝐎𝐁𝐈𝐀

Sikap xenophobia, atau ketakutan terhadap orang asing secara melampau adalah satu bentuk sikap yang menjadi pemicu sengketaan sesama manusia. Tragedi yang berlaku di Tukestan Timur, terhadap umat Islam Uyghur adalah salah satu kesan sikap ini. Wilayah yang dahulunya ditakluk oleh regim komunis ketika era Mau Tze Dong, kemudiannya dipaksakan berasimilasi dengan identiti Komunis China.
Mungkin ada yang mempersoalkan, kenapa layanan kerajaan komunis China berbeza terhadap muslim lain di China, tetapi begitu repressive terhadap Muslim Uyghur sehingga berjuta warga Ughyur dipenjarakan tanpa sebarang sebab yang wajar.
Ini kerana, bagi Parti Komunis China (CCP), mereka khuatir akan perbezaan kebudayaan yang mencirikan komuniti ini akan membahayakan kewujudan dan pengaruh Komunis kepada wilayah Turkestan Timur (Xinxiang).
Ini lah juga yang berlaku di wilayah Rakhine, iaitu wilayah yang didiami oleh muslim Rohingya, yang berada di bawah wilayah taklukan Burma. Di Myanmar, muslim yang berasal dari komuniti lain, yang ciri kebudayaan serta bahasa mereka tidak terlalu jauh berbeza dengan majoriti penduduk Burma yang beragama Buddha walaupun berbeza agama, tidak ditindas seperti kelompok Rohingya (disebut dengan panggilan Kala di sana).
Sebelum wabak melanda, kebencian terhadap kelompok ini tidaklah begitu teruk di Malaysia, namun, ketika lockdown berlaku, ketika warga Malaysia tertekan dengan musibah wabak yang berlaku, ditambah pelbagai masalah yang timbul akibat pandemik yang berlaku, suara-suara jelek di media sosial bergema begitu kuat sehingga seakan sepakat, Rohingya tidak perlu dibantu, harus dihalau, bukan masalah kita dan sebagainya.


Muncul pelbagai perkongsian pengalaman buruk tentang kelakuan warga Rohingya di merata ceruk Malaysia, menambah perisa untuk memberi justifikasi kebencian. Hatta, ketika berita bot pelarian Rohingya karam, tidak segan silu warga maya yang rata-ratanya beragama Islam, bukan sahaja tidak menumpah walau sedikit simpati, malah dikecam dihina semahunya.
Mereka seakan lupa bahawa:
Masjid di Rakhine yang dibakar pengganas Buddha dan Junta itu masjid umat Islam
Quran yang dipijak dan dibakar itu Quran yang kita juga beriman dengannya
Ulama yang dibunuh itu merupakan para pendakwah yang mengajarkan manusia tentang agama Allah
Segala fakta bahawa umat Islam itu bersaudara tidak lagi bererti walau sedikit, hanya sebab xenophobia yang menguasai akal. Barangkali, mereka khuatir kalau-kalau pelarian Rohingya akan menjadi Perdana Mentri atau sultan di negara ini.
Untuk mereka yang masih punya Iman, walaupun benar bangsa Rohingya ini bukanlah bangsa yang berpendidikan tinggi, bertamadun, baik hati, pembersih, tetapi selama mana mereka bahagian dari umat Islam mereka adalah sebahagian dari kita.
”Kaum Mukmin itu sesungguhnya bersaudara.” (TQS. Al-Hujurat [49]: 10).
“Perumpamaan kaum Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.” [HR Ahmad]



Sunday, July 2, 2023

 Allah jadikan kehidupan manusia dalam kepayahan ada kesenangan, dalam kesenangan pula ada kepayahan yang tersendiri. Satu perkara yang "aneh" tentang kasih sayang Allah, semakin Dia sayang akan seseorang, semakin berat ujian yang Dia timpakan.

"Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya, Dia akan mengujinya." Lalu mereka bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana ujian itu?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Dia menjadikan mereka yang dicintainya menghadapi kesusahan dan kesukaran dalam dunia."

[Sunan At-Tirmidzi]

Dari Anas bin Malik, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya para nabi diuji dengan kesusahan dan kesukaran sebagaimana yang dialami oleh seorang yang paling berat ujiannya dari kalangan mereka. Kemudian ujian itu turun kepada mereka sehingga para nabi itu seumpama orang yang paling tahan ujiannya di kalangan mereka."

[HR Bukhari]

Sekadar ingin menitipkan pesanan untuk diri sendiri, dan buat pembaca yang budiman, agar kita sentiasa bersabar, ingat Allah ketika hati dilanda kekusutan, kesedihan, kemarahan, di saat kita rasakan seolah tidak ada lagi tempat bergantung, sedangkan Allah adalah sebaik-baik tempat kita menggantungkan pengharapan.