Wednesday, April 13, 2016

Realiti bukan sumber berfikir, hanya objek berfikir

Pada mulanya, agak sukar untuk aku memahami apa yang Syaikh Taqiyuddin An Nabhani rahimahullah sampaikan dengan pernyataan di atas.

Secara mudahnya, menjadikan realiti sebagai sumber berfikir ialah dengan menundukkan tindakan, perasaan dan segala sumber yang ada agar bersesuaian dengan realiti. Contohnya, untuk melaksanakan hudud, dalam realiti sebuah negara sekular, maka perlu melalui proses pilihanraya, menang, bentang di parlimen, seterusnya melaksanakannya dengan kelulusan dewan.

Beberapa perkara timbul di sini:

1. Siapa beri hak kepada dewan untuk meluluskan hukum Allah?
2. PRU berulangkali tidak memberi kemenangan kepada parti Islam. bahkan bagi parti Islam yang menang sekalipun, tetap tidak mampu mengubah realiti kufur kepada realiti Islam (FIS di Algeria, Hamas di Palestine dan FJP di Mesir).
3. Majoriti orang fasik berhak mengundi untuk menolak hukum Allah.

Menjadikan realiti sebagai OBJEK berfikir, kita memahami, penerapan sistem Islam secara menyeluruh adalah mustahil di dalam kerangka sistem sekular secara historis, empirikal dan realiti. Penerapan secara berjuzuk pula mengakibatkan fitnah yang berterusan terhadap agama Allah dan tidak mampu menghasilkan kebangkitan hakiki.

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):49].

Thursday, April 7, 2016

Baiat Syar’i Hanya untuk Khalifah

Mengikat kesetiaan ahli organisasi dengan "bai'at" (dalam makna bahasa) atau ikrar taat setia adalah perkara yang diterima hukum syarak. Melanggar perjanjian bererti berkhianat dan ia dikira berdosa, selama mana ketaatan itu bukan dalam perkara maksiat.

Kata baiat berasal dari akar kata yang terdiri dari huruf ba-ya-‘a. maknanya berkisar pada membeli  atau menjual. Bai'at diertikan perjanjian dan ikrar kesetiaan  kerena seseorang yang melakukannya  seakan ‘menjual’ apa dimilikinya kepada orang lain yang dipercayainya dan memberikan seluruh jiwa, ketaatan dan urusannya dengan sepenuh hati. Ketika bai’at dikembalikan kepada bahasa, maka seluruh dimensi kehidupan manusia tidak akan lepas dari bai’at. Adapun pengertian bai’at menurut fiqih siyasah adalah sumpah setia seseorang kepada seorang khalifah.

Pada masa Rasulullah Saw, proses bai’at pernah dilakukan dua kali yang dinamakan Bai’at Al-Aqabah dan Bai’at Ar-Ridwan oleh para sahabat dengan tujuan untuk lebih memperkukuh ikatan sahabat kepada Rasulullah Saw karana menghadapi tentangan yang lebih berat dari kaum musyrikin.

Istilah bai'at itu sendiri membawa maksud yang lebih besar dari berikrar memberi ketaatan kepada organisasi dari pandangan syarak. Bai'at adalah method pengangkatan khalifah dalam Islam. Bai'at adalah akad perwakilan dan kerelaan antara semua kaum Muslim dan seorang khalifah yang akan menjalankan tugasnya setelah dipilih oleh masyarakat dan telah memenuhi semua persyaratan yang diperiksa oleh Mahkamah Mazhalim, termasuk kemampuan calon untuk menjadi khalifah. Bai'at tidak dapat dilakukan dalam sistem selain sistem Islam. Sebabnya, baiat adalah hukum di antara hukum-hukum Islam berdasarkan sudut pandang kehidupan. Wajib atas kaum Muslim ada bai'at di leher mereka

 “Sesiapa sahaja yang melepaskan dirinya dari ketaatan (kepada Khalifah) maka dia akan bertemu dengan Allah di hari kiamat tanpa hujjah. Sesiapa sahaja yang mati tanpa bai’ah di lehernya maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah” [HR Muslim]

“Dahulu, Bani Israel dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi meninggal, digantikan dengan Nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku. (tetapi) nanti akan ada ramai Khalifah’. Para sahabat bertanya: ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu sahaja” [HR Bukhari] 

Dari dalil di atas, keutamaan dalam memberi baiat kepada pemerintah yang menerapkan hukum Allah sangat penting sehingga digambarkan, berlepas diri dari ketaatan ini adalah seumpama mati jahiliah (berdosa besar). Manakala baiat yang wajib ditaati hanya yang pertama. 

Semua sistem yang tidak menerapkan Islam secara utuh, dengan tolok ukur halal dan haram, tidak dianggap sebagai sistem Islam, meskipun perwatakan Islam mendominasi penampilan para penguasa, atau model pemerintahan. Penerapan hukum-hukum tersebut, dengan model kosong, akan menyebabkan kerosakan dan perosakan. Hal itu akan menjadikan hukum-hukum Islam sama dengan hukum-hukum sistem sekular, yang melihat semua perkara berdasarkan kepentingan.

Ada pun tidak berbai’at kepada khalifah al ‘uzhma, telah terjadi pada masa-masa awal Islam. Imam Ath Thabari menceritakan, bahwa Ali Radhiallah ‘Anhu berkata pada Sa’ad bin Abi Waqqash Radhiallahu ‘Anhu: “Berbai’atlah Engkau!” Sa’ad menjawab: “Aku tidak akan berbai’at sebelum orang-orang semua berbai’at. Tapi demi Allah tidak ada persoalan apa-apa bagiku.” Mendengar itu Ali berkata: “Biarkanlah dia.” 

Lalu Ali menemui Ibnu Umar dan berkata yang sama, maka jawab Ibnu Umar Radhiallahu ‘Anhuma: “Aku tidak akan berbai’at sebelum orang-orang semua berbai’at.” Jawab Ali: “Berilah aku jaminan.” Jawab Ibnu Umar : “Aku tidak punya orang yang mampu memberi jaminan.” Lalu Al Asytar berkata: “Biar kupenggal lehernya!” Jawab Ali : “Akulah jaminannya, biarkan dia.” (Imam Ibnu Hazm, Al Fashl fil Milal wal Ahwa’ An Nihal, 4/103) 

Imam Al Waqidi mencatat ada 7 orang sahabat yang tidak memberikan bai’at pada Khalifah Ali Radhiallahu ‘Anhu yaitu: Sa’ad bin Abi Waqqash, AbdullaH bin Umar, Shuhaib bin Sinan, Zaid bin Tsabbit, Muhammad bin Maslamah, Salamah bin Aqwa’ dan Usamah bin Zaid Radhiallahu ‘Anhum. (Tarikh Ar Rusul, 4/429)

Para sahabat ini, tidak ada satu pun manusia yang mengatakan mereka sebagai pemberontak, tidak pula dikatakan khawarij, apalagi kafir, walau mereka menolak berbai’at kepada khalifah.

Baiat yang sebenarnya mewajibkan terlebih dulu tegaknya Negara Islam yang sebenarnya. Mā lā yatimmul-wājibu illā bihi fahuwa wājib (Suatu kewajiban yang tidak sempurna kecuali dengan sesuatu maka sesuatu itu adalah wajib). Bai'at terhadap Khalifah adalah wajib atas kaum Muslim. Tidak mungkin ada baiat terhadap Khalifah jika tidak ada Khilafah yang sesuai dengan metode kenabian, yang menegakkan syariah Allah, mengurusi dan menjamin masyarakat, yang dengan penegakan hukum-hukum ini masyarakat menyadari hubungannya dengan Allah, dengan menjauhi larangan-larangan-Nya, dan melaksanakan perintah-perintah-Nya.

-Allahualam-

Wednesday, March 23, 2016

Semuanya Halal

Demokrasi ialah sistem politik yang lahir dari ideology sekular kapitalis, yang memisahkan ajaran agama dari kehidupan. Dalam demokrasi, manusia berhak membantah atau argue apa-apa sahaja aturan walaupun ia hukum qat'ie dari Allah seperti hukuman rejam ke atas penzina muhsan. Tidak menghairankan jika manusia akan mempersoalkan kewajipan lain dengan berpandukan akal semata-mata.

Matlamat hidup dalam Islam ialah meraih redha Allah semata-mata melebihi segala matlamat lain, termasuk nilai nyawa seseorang muslim itu sendiri. Maksudnya, seorang muslim yang soleh bersedia meletakkan keutamaan meraih redha Allah melebihi perkara yang paling mereka sayang seperti harta, masa, tenaga bahkan nyawa sendiri.

Sedangkan, matlamat hidup dalam ideology kapitalis ialah memenuhi keperluan dan kehendak sepuas-puas hati. Mereka mahu mengadakan sex dengan mana-mana pasangan. Tak cukup dengan itu, mereka mahu sesama jantina. Tidak pelik jika nanti, mereka mahu mengadakan sex dengan anjing atau babi, asalkan tidak menggangu kebebasan orang lain katanya....

Demokrasi sebagai sistem politik yang lahir dari ideology sesat ini, boleh saja menghalalkan segala-galanya, sekalipun berzina dengan anjing dan babi, asalkan mendapat persetujuan majoriti. Demokrasi juga boleh "mengesahkan" hukum Allah, seolah-olah manusia yang berada dalam dewan DUN/parlimen itu lebih berhak dari Allah dalam menentukan hukum.

 “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):49].

Lalu, atas alasan apa untuk umat Islam turut bermati-matian mempertahankan sistem yang rosak ini????


Sunday, March 6, 2016

MEMECAHKAN PERMASALAHAN UTAMA

Masalah kekejaman Zionist terhadap Palestine tidak akan selesai kecuali dengan adanya sebuah daulah Islam yang akan melindunginya serta menyatukan kaum muslimin di bawah kepimpinan
seorang khalifah....

Masalah keruntuhan moral, buang anak, mat rempit, dan bermacam lagi hanya dapat diatasi dengan terlaksananya uqubat Islam dan sistem sosial (Nidham al-ijtimaie) yang mengatur sistem sosial manusia hanya berasaskan panduan dari wahyu.

Masalah sistem ekonomi ribawi yang penuh spekulatif dan menindas hanya dapat diselesaikan dengan dterapkan sebuah sistem ekonomi Islam yang mengawal distribusi kekayaan agar tidak berlonggok di tangan segelintir manusia dan memakmurkan dunia dengan sistem ekonomi berasaskan real trade yang stabil, berasaskan read trade.

Masalah pemimpin yang korup, menindas, berat sebelah dan sebagainya hanya dapat diatasi dengan mewujudkan mahkamah madhalim, iaitu mahkamah khusus untuk menagani perselisihan rakyat dengan pemerintah atau pegawainya, yang diadili dengan hukum Islam semata-mata.

Masalah jenayah hanya dapat diselesaikan dengan menerapkan sistem uqubat Islam yang tidak membezakan darjat manusia dalam perlaksanaannya, serta bersifat zawâjir (pencegah kejahatan) dan jawâbir (penebus dosa).

Maka, permasalahan paling utama umat manusia hari ini ialah, TIDAK DITERAPNYA HUKUM ALLAH SEBAGAI CARA HIDUP (ad deen). Islam hanya dipinggirkan sebatas perkara ritual dan akhlak semata-mata.

Wednesday, February 10, 2016

Hadis Akhir Zaman



قَالَ عَبْدُ اللَّهِ: " كَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا لَبِسَتْكُمْ فِتْنَةٌ يَهْرَمُ فِيهَا الْكَبِيرُ، وَيَرْبُو فِيهَا الصَّغِيرُ، وَيَتَّخِذُهَا النَّاسُ سُنَّةً، فَإِذَا غُيِّرَتْ قَالُوا: غُيِّرَتِ السُّنَّةُ ". قَالُوا: وَمَتَى ذَلِكَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ؟ قَالَ: «إِذَا كَثُرَتْ قُرَّاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ فُقَهَاؤُكُمْ، وَكَثُرَتْ أُمَرَاؤُكُمْ، وَقَلَّتْ أُمَنَاؤُكُمْ، وَالْتُمِسَتِ الدُّنْيَا بِعَمَلِ الْآخِرَةِ» قال حسين سليم أسد : إسناده صحيح

Abdullah bin Mas’ud ra. Berkata: Bagaimanakah keadaan kamu apabila fitnah telah menyelubungi kamu. Orang tua menjadi nyanyuk dan kanak-kanak kecil membesar dalam suasana fitnah. Manusia menjadikan fitnah tersebut sebagai satu Sunnah. Apabila fitnah itu diubah, mereka berkata: “Sunnah telah diubah”. Para tabi’ien bertanya: “Bilakah perkara ini akan berlaku wahai Abu Abdul Rahman?”. Jawabnya: “Apabila ramai para qurra’ dan sedikit para fuqaha’. Ramai para pemimpin dan sedikit orang yang amanah. Serta dunia dicapai dengan menggunakan amalan akhirat”.

(Riwayat al-Darimi. Husain Salim Asad berkata: isnadnya sahih)

Wednesday, February 3, 2016

Rasuah

Ada yang bertanyakan tentang dalil "derma" RM 2.6 Billion sebagai rasuah. Berikut antara dalil yang biasa kita dengar:

1. " Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

2. Nabi bersabda kepada seorang gabenornya bernama Ibn Lutbiah yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :

"Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda

" Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)

"Ya Tuhanku, adakah telah aku sampaikan (kepada umatku akan hal ini) sebanyak tiga kali..(Al-Bukhari, no 2597 & Muslim no 1832)

3. "Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur" [Riwayat Ahmad].

Buat sesiapa yang taksub sangat membela pemerintah yang menyeleweng, moga peringatan dari Rasulullah s.a.w ini diambil ibrah:

Daripada Huzaifah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda : "Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh minum (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan bertemuku di haudh" minum bersamaku di telaga khautsar. (Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya)

Allahualam.


Sunday, January 17, 2016

Peristiwa Hari Jumaat

Adaptasi dari kisah diceritakan oleh oleh Ustaz Zul Ramli dalam rancangan Usrah Nurani 15 January 2016....


Ada seorang lelaki tua di sebuah negara kafir, di mana kaum muslimin merupakan minoriti (tempatnya tidak dinyatakan) sangat membenci Islam. Masjid di kawasan itu cuma diimarahkan setiap hari Jumaat untuk solat Jumaat sahaja.

Si Lelaki Tua itu selalu mencampakkan najis atau bangkai ke dalam masjid kerana kebenciannya terhadap Islam dan kaum muslimin. Setiap kali Jumaat, AJK masjid dan ahli qariah akan membersihkan masjid dari bangkai dan najis yang dibuang oleh lelaki tua itu sebelum masjid dapat digunakan untuk solat Jumaat. Kebencian lelaki tua itu semakin memuncak takala anak perempuannya sendiri memeluk Islam. Sebagai tanda protes, dia menggantung bangkai anjing yang sangat busuk di mimbar masjid pada satu pagi Jumaat, menyebabkan seluruh masjid menjadi busuk.

Satu pagi, pada hari Jumaat, apabila AJK masjid serta ahli qariah sedang bergotong-royong membersihkan masjid, lelaki tua itu memanggil-manggil Imam masjid dari luar pintu masjid. Imam menjenguk keluar dan didapti lelaki tua itu bersungguh-sungguh mengajaknya keluar. Imam yang ketika itu sedang sibuk membersihkan masjid, turun melayan, dengan rasa keberatan.

Lelaki tua itu duduk mencangkung, berbaju t-shirt dan meminta Imam turut mencangkung. Kemudian, dia bertanya, "bagaimana untuk aku menjadi seorang muslim?". Pertanyaan itu disambut dengan rasa curiga oleh Imam kerana sudah sekian lama mengenali perangai lelaki tua itu. Lelaki tua mengulangi pertanyaan, "bagaimana untuk masuk Islam?". Imam pun melayan dalam serba salah, "ucaplah lailahalillah muhammadunabduhuwarosuluh...." Lalu lelaki tua perlahan-lahan ikut melafazkan kalimah syahadah itu. Kemudian, Imam menerangkan makna syahadah itu. Lelaki tua itu kemudiannya bangun dan berkata dengan nada agak kuat, "sekarang, aku sudah Islam!!!!" Kemudian dia pun berlalu pergi.

Imam kembali ke dalam masjid untuk menyambung kerja yang belum selesai. Apabila diceritakan kisah itu kepada mereka yang berada di dalam masjid, mereka tergelak. "Mabuk agaknya orang tua tu..." Ujar salah seorang dari mereka.

Pagi itu, seperti kebiasaannya, anak kepada lelaki tua itu akan membawa makanan yang istimewa untuk orang tuanya pada setiap pagi Jumaat. Takala dia masuk ke dalam rumah orang tuanya itu, ayahnya tidak kelihatan. Dia tercari-cari pula di tingkat atas rumahnya. Didapati ayahnya sedang berbaring dalam keadaan qiam. Dia menggerakkan tubuh orang tua itu, tetapi ternyata dia tidak bergerak. Lalu diperiksa nafasnya, barulah diketahui, ayahnya telah meninggal dunia.

Si anak bergegas keluar untuk memaklumkan perkara itu kepada saudara-mara dan jiran. Ketika melalui masjid, yang sememangnya berdekatan dengan rumah orang tuanya itu, kelihatan Imam sedang bersiap-siap untuk solat Jumaat. Si anak teragak-agak untuk memberitahu Imam kerana dia juga tahu akan perbuatan ayahnya mengotorkan masjid. Namun, dia bertindak memberitahu imam akan kematian ayahnya itu.

Sebaik mendengar berita itu, tiba-tiba Imam terduduk, lalu menangis. Si anak kehairanan dan bertanya, "kenapa?". Lalu Imam memberitahu, "ayahmu datang kepadaku pagi tadi, dalam jam 10 pagi dan mengucap dua kalimah syahadah di hadapanku. Dia mati sebagai seorang Islam...."

Doktor mengesahkan, lelaki tua itu meninggal sekitar jam 12 tengah hari, iaitu hanya beberapa jam selepas dia memeluk Islam.

Allah memilih lelaki tua itu untuk diberi keampunan, sekalipun seluruh hidupnya membenci dan dendam terhadap Islam.

Moga kita juga diberi kematian yang baik... AMIN.