Pada waktu itu, sekalipun mereka mampu mengangkat senjata untuk melawan mushrikin Makkah, Rasulullah s.a.w tidak membenarkan.
Kebenaran berperang sama ada berbentuk difensive atau offensive berlaku setelah turunnya ayat:
“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi (kaum Muslimin), kerana sesungguhnya mereka telah dianiayai”. [TMQ Al-Haj: 39-40]
“Mafhum Mukhalafah” (hukum yang tersirat adalah yang sebaliknya dari hukum yang tersurat – disebut juga dengan dalil khithab) dari ayat ini menjelaskan bahawa sebelum hijrah, kaum Muslimin tidak diizinkan untuk berperang. Mafhum Mukhalafah ini merupakan hujjah yang wajib dilaksanakan serta dijadikan pedoman bagi setiap gerakan Islam. Lebih dari itu, Allah SWT berfirman:
“Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka: ‘Tahanlah tanganmu (dari berperang), dan dirikanlah solat'” [TMQ An Nisa : 77].
Dengan tidak diizinkan melakukan tindakan fizikal pada waktu itu, menunjukkan adanya larangan tegas dari melakukan tindakan ini dalam usaha mendirikan Daulah Islam pada setiap masa. Sedangkan keizinan melakukan tindakan fizikal yang hanya muncul setelah Daulah Islam tertegak menunjukkan bahawa aktiviti fizikal merupakan salah satu hal yang tidak termasuk langkah-langkah suatu gerakan Islam, sebaliknya termasuk aktiviti dan tanggungjawab Daulah Islam.
Dari sini kita dapat memahami bahawasanya syari’at Islam telah membezakan dengan jelas antara hukum yang ditaklif kepada gerakan dengan hukum yang dibebankan kepada individu dan penguasa. Namun perlu ditegaskan pula bahawa perbezaan hukum-hukum terhadap jema’ah, kelompok dakwah dan parti politik Islam dengan hukum-hukum yang berkaitan individu di dalam suatu gerakan, hanya terbatas pada gerakan yang mengembang dakwah Islam yang bertujuan mendirikan Islam dalam kehidupan bernegara dalam memenuhi seruan Allah didalam Surah Ali Imran ayat 104.
Kita sedia maklum, apa yang berlaku di Rakhine adalah antara tragedi tragis yang terus melanda kaum muslimin. Tanpa kekuatan sebuah daulah Islam, kita sebenarnya tersangat vulnerable terhadap sebarang ancaman dari musuh. Jika masyarakat dunia hanya terlopong menjadi saksi kekejaman yang menimpa Palestine, Syria dan umat Islam Rohingya, apakah kita boleh harapkan mereka akan bertindak mempertahankan kita di Malaysia sekiranya malapetaka yang sama berlaku ke atas kita?
Marilah kita sama-sama menolak penggunaan kekerasan, ketenteraan, atau perjuangan bersenjata sebagai tatacara untuk mendirikan kembali Khilafah Islam, di samping ianya bercanggah dengan thariqah (tatacara) dakwah Rasulullah, malah ianya juga akan mengorbankan dan memicu peperangan saudara sesama kaum Muslimin. Marilah kita sama-sama bergerak secara intelektual dalam mengkaji bagaimana Islam merupakan sebuah cara hidup yang lengkap bagi kita. Lupakah anda bahawa kita, kaum muslimin, merupakan umat terbaik? Lupakah anda bahawa kita umat yang dimuliakan oleh Allah? Umat yang dikeluarkan oleh Allah untuk mengajak manusia lain ke arah kebenaran? Umat yang terbaik ini telah disiapkan Allah dengan Al-Quran yang mulia dan RasulNya kekasih pilihan Allah.
Umat yang terbaik hanya layak dengan sistem yang terbaik, yakni Islam; umat yang terbaik kerana kita sentiasa mengambil yang terbaik. Jadi, apakah anda merasakan sistem kapitalisme adalah sistem terbaik untuk anda? Kami yakin bahawa sebagai kaum muslimin yang sayang kepada Islam anda juga melihat Islam sebagai sebuah cara hidup terbaik. Umat Islam akan sentiasa menjadi umat yang terbaik selama mereka mengambil Islam sebagai cara hidup. Lihatlah bagaimana umat Islam dahulu ketika mereka berpegang kepada Islam telah menjadi pentas rujukan negara Barat dalam semua bidang. Sejarah membuktikan bahawa Islamlah satu-satunya cara hidup yang dapat membawa kita ke persada antarabangsa, memacu umat manusia ke jalan yang benar dan menempa keredhaan Allah swt. Nabi Allah telah menjanjikan bahawa akan berdiri kembali pada suatu masa, setelah segala kekejaman dan penderitaan, khilafah ala minhaj nubuwwah.
Allahualam.
No comments:
Post a Comment