Hari ini 7 October 2024, genaplah setahun dari Taufan Al Aqsa, iaitu titik permulaan peperangan yang terbesar pernah berlaku sejak tertubuhnya negara haram Isreal.
Sejak awal lagi, bermacam persoalan timbul tentang bagaimana pasukan Hamas mampu melancarkan serangan berskala besar manakala di pihak negara haram pula, tindakbalas amat perlahan ketika serangan dilancarkan, seakan-akan mereka memang memerlukan serangan ini untuk tujuan politik. Beberapa minggu sebelum itu, tunjuk perasaan dan rusuhan berlaku di merata ceruk negara haram, kerana pelbagai isu dalaman. Peristiwa Taufan Al Aqsa ini mengubah landskap politik negara haram 180 darjah. At least buat seketika, memanjangkan hayat Syaitanyahu yang terpalit dengan pelbagai skandal.
Regim pengganas melancarkan serangan balas yang berpuluh kali ganda, tanpa mampu dihalang oleh mana-mana pihak termasuklah United Nation. Genocide yang berlaku menyaksikan lebih 40,000 nyawa terkorban dan ratusan ribu yang lain masih hilang dan belum diketahui nasib mereka setakat ini. Lebih 1,000 masjid dimusnahkan, hampir kesemua sekolah, hospital dan segala fasiliti utama di Gaza dimusnahkan. Semua ini memang dijangka dari awal oleh pihak Hamas tetapi dalam apa-apa keadaan sekalipun, rakyat awam menjadi korban.
Saya tidak pasti apa sebenarnya percaturan politik Hamas, tetapi, meninjau dari sudut strategik, Hamas sebenarnya memenangi perang ini kerana mampu menghentikan rancangan "normalisasi" negara-negara arab dengan pihak negara haram, juga mampu mengarahkan perhatian dunia kepada bumi Al Quds, sehingga muncul gelombang massa yang menyokong perjuangan rakyat Pa1estine. Pemencilan negara haram dari komuniti dunia menyebabkan kesan yang berpanjangan hingga penduduk (para perampas tanah) berhijrah keluar beramai-ramai tanpa ada rancangan untuk kembali.
Krisis ini juga benar-benar mendedahkan golongan munafik dari kalangan umat Islam. Di pentas global, pelbagai pakatan dan pengkhianatan oleh regim-regim pemerintah umat Islam didedahkan. Umat lebih faham, para pengkhianat umat ini tidaklah sebetulnya berkhidmat untuk rakyat, sebaliknya hanya menjadi anjing yang setia kepada Zionist.
Di Malaysia pula, sokongan yang amat padu ditonjolkan, tetapi "trend" sokongan yang kononnya tidak berbelah-bahagi itu berkecai hanya kerana gara-gara video amukan seorang wanita Palestin yang berada di negara ini.
Sikap xenophobia rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang sebelum ini seakan hilang sama sekali kewarasan hingga mengaggap warga Rohingya yang juga mangsa genocide sebagai tersangat jijik, hina malah tidak lagi dipandang selayaknya seorang manusia. Ada yang bergembira apabila mendapat khabar bot pelarian Rohingya karam di tengah lautan. Kata-kata penghinaan bersemburan di merata ceruk dunia maya dan dunia realiti.
Setelah 365 hari berlalu, melihat kepada sokongan dari umat Islam yang semakin melemah, terutamanya umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan saudara kita di Palestin, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan malu. Golongan non-Muslim di luar negara bermati-matian berjuang membela, kita yang mengaku bersaudara dalam aqidah yang sama pakat-pakat meninggalkan rakyat Palestin sebab marahkan wanita yang menghentak kaki dan sebut "No Malaysia"? Alangkah lemahnya tekad perjuangan umat Islam di Malaysia.
Dalam masa yang sama, disebabkan sikap umat Islam ini jugalah, golongan kafir yang sebelum ni menyembunyikan kebencian mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin mula menunjukkan kebencian mereka. Ada yang secara terang-terangan menunjukkan dokongan terhadap Zionist, kononnya rakyat Palestin wajar dilayan sebegitu teruk.
Moga kemenangan berpihak kepada kebenaran. Al Quds pasti akan dibebaskan sama ada kita bersama membantu atau kita bersama para penzalim. Tempat untuk para penzalim dan para penyokong mereka hanyalah azab yang amat pedih di negeri akhirat yang kekal abadi.
No comments:
Post a Comment