Monday, March 17, 2025

Memungut Cukai Itu Haram Mutlak?

Syaikul Islam, 𝐈𝐛𝐧𝐮 𝐓𝐚𝐢𝐦𝐢𝐲𝐲𝐚𝐡 Rahimahullah (w. 728H) adalah seorang ulama besar dalam mazhab Hanbali yang banyak membahaskan isu keadilan dalam pemerintahan Islam, termasuk hukum pemungutan cukai (maks). Beliau terkenal dengan pendiriannya yang keras terhadap penindasan dan kezaliman, termasuk dalam urusan kewangan negara.

Ibnu Taimiyyah berpandangan bahawa pemungutan cukai secara zalim adalah haram, kerana ia termasuk dalam perbuatan merampas harta rakyat tanpa hak. Beliau menegaskan bahawa pemerintah hanya boleh mengambil harta rakyat melalui cara yang dibenarkan oleh syarak, seperti:

i. 𝐙𝐚𝐤𝐚𝐭 – Kewajipan utama ke atas umat Islam.

ii. 𝐉𝐢𝐳𝐲𝐚𝐡 – Cukai yang dikenakan kepada non-Muslim sebagai pertukaran perlindungan.

iii. 𝐊𝐡𝐚𝐫𝐚𝐣 – Cukai ke atas tanah yang diperoleh melalui pembukaan secara ketenetraan oleh kaum muslimin.

iv. 𝐔𝐬𝐲𝐮𝐫 – Cukai perdagangan yang dikenakan ke atas Non-Muslim yang berdagang di negara Islam.

Beliau mengutuk keras pemungut cukai yang menindas rakyat, dengan merujuk kepada hadis:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ

"𝑇𝑖𝑑𝑎𝑘 𝑎𝑘𝑎𝑛 𝑚𝑎𝑠𝑢𝑘 𝑠𝑦𝑢𝑟𝑔𝑎 𝑝𝑒𝑚𝑢𝑛𝑔𝑢𝑡 𝑐𝑢𝑘𝑎𝑖 (𝑚𝑎𝑘𝑠)."

[HR Ahmad, Abu Dawud, dan al-Hakim]

Menurut Ibnu Taimiyyah, hadis ini menunjukkan bahawa pengambilan cukai tanpa hak adalah dosa besar yang membawa kepada azab di akhirat.

Walaupun tegas dalam mengharamkan cukai yang menindas, Ibnu Taimiyyah tidak mengharamkan cukai secara mutlak seperti pandangan yang dikeluarkan oleh Syaikh Taqiyuddin An-Nabhani Rahimahullah.

Kedua ulama ini berpandangan bahawa dalam keadaan darurat, pemerintah boleh mengenakan cukai sementara, 𝒅𝒉𝒂𝒓𝒊𝒃𝒂𝒉 dengan syarat:

i. Ia benar-benar diperlukan untuk kemaslahatan umum (contohnya, mempertahankan negara).

ii. Tiada sumber lain yang mencukupi, seperti zakat, ghanimah, atau sumber kerajaan Islam yang sah.

iii. Tidak menzalimi rakyat atau membebankan golongan miskin.

Ibnu Taimiyyah menyimpulkan dalam penulisan beliau:

Apabila pemimpin mengambil harta rakyat tanpa hak, itu adalah kezaliman. Tetapi apabila ada keperluan mendesak dan tiada jalan lain untuk menampung perbelanjaan jihad atau keperluan negara, maka rakyat wajib membantu pemerintah dengan kadar yang adil.

Rujukan: Majmu’ al-Fatawa (Ibnu Taimiyyah, Jilid 28, hlm. 266) & Al-Siyasah al-Shar’iyyah (Ibnu Taimiyyah, hlm. 38)

Dalam Majmu’ al-Fatawa (Jilid 29, hlm. 251), beliau menyatakan:

وَأَمَّا الْمَكْسُ الَّذِي يُؤْخَذُ بِاسْمِ الْعُشُورِ وَغَيْرِهَا مِنَ الظُّلْمِ الَّذِي أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِهِ

"Adapun Maks yang diambil dengan nama usyur (cukai perdagangan) dan lainnya adalah satu bentuk kezaliman yang telah disepakati oleh umat Islam sebagai haram.

Sistem cukai moden yang menjadikan cukai sebagai sumber utama negara bertentangan dengan prinsip ekonomi Islam, kerana Islam mengutamakan zakat, jizyah, kharaj, dan sumber halal lain untuk menampung keperluan negara. Cukai tetap seperti dalam sistem moden hari ini adalah lebih hampir kepada Maks yang diharamkan, berbanding Dharibah yang bersifat sementara dan hanya dalam keadaan darurat.

Adapun para ulama kontemporari dalam hal ini sedikit berbeza:

1. 𝐃𝐫. 𝐘𝐮𝐬𝐮𝐟 𝐀𝐥-𝐐𝐚𝐫𝐚𝐝𝐚𝐰𝐢 dalam Fiqh al-Zakah menegaskan bahawa cukai hanya boleh dikenakan jika benar-benar diperlukan dan tidak boleh melebihi kadar yang adil. Jika cukai menjadi beban yang berat dan menindas rakyat, ia berubah menjadi Maks yang diharamkan.

2. 𝐒𝐲𝐞𝐢𝐤𝐡 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐀𝐳𝐢𝐳 𝐛𝐢𝐧 𝐁𝐚𝐳 menegaskan bahawa negara Islam sepatutnya mengutamakan zakat sebagai sumber utama, bukan cukai.

3. 𝐃𝐫. 𝐖𝐚𝐡𝐛𝐚𝐡 𝐙𝐮𝐡𝐚𝐢𝐥𝐢 cukai yang dikutip mesti digunakan untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi pemerintah atau projek yang tidak perlu. Jika cukai disalahgunakan, ia kembali kepada kezaliman Maks yang diharamkan.

Saya berpandangan, sistem percukaian moden berada dalam "grey zone" antara Maks dan Dharibah. Jika ia dikenakan secara zalim, maka ia adalah Maks yang disepakati haram dari segi hukum. Manakala sekiranya ia dikenakan untuk memenuhi kemaslahatan umum, pada kadar yang munasabah, ia mendekati konsep dharibah yang dibenarkan ketika darurat, walaupun pada hakikatnya tidaklah sama. Daulah Islam seharusnya kembali kepada sistem Islam, di mana sumber negara diperoleh daripada zakat, jizyah, kharaj, fai’, dan hasil negara lain sebelum mengenakan cukai. 

Allahua'lam.


Sunday, February 9, 2025

Al-I'jaz Al-Bayani dalam Al-Qur'an

 Pengertian Al-I'jaz Al-Bayani

Al-I'jaz al-bayani adalah salah satu aspek kemukjizatan Al-Qur'an yang berkaitan dengan keunggulan bahasa, gaya penyampaian, dan keindahan retorikanya. Secara bahasa, i'jaz berarti melemahkan atau membuat sesuatu tidak mampu menandinginya, sementara bayani berasal dari kata bayan, yang berarti kejelasan atau kefasihan dalam berbicara. Dengan demikian, al-i'jaz al-bayani merujuk pada ketidakmampuan manusia untuk menandingi keindahan dan kefasihan bahasa Al-Qur'an.


Karakteristik Al-I'jaz Al-Bayani dalam Al-Qur'an

1. Keindahan Struktur Bahasa

Al-Qur'an menggunakan susunan kata yang unik dan tidak dapat ditiru oleh manusia. Gaya bahasanya tidak sepenuhnya mengikuti pola puisi Arab klasik (sya'ir) maupun prosa (natsr), melainkan memiliki irama dan keindahan tersendiri.


2. Keserasian Bunyi dan Irama

Dalam Al-Qur'an, terdapat keseimbangan antara panjang dan pendeknya ayat serta keserasian bunyi yang memberikan efek ritmis. Hal ini dapat dirasakan dalam surah-surah pendek seperti Surah Al-Kawthar dan Al-Ikhlas yang memiliki aliran kata yang merdu dan mudah dihafal.


3. Ketepatan Pemilihan Kata

Setiap kata dalam Al-Qur'an dipilih dengan sangat tepat, sehingga tidak ada kata yang sia-sia atau bisa digantikan dengan sinonim tanpa mengubah makna yang mendalam. Pemilihan kata ini juga memperlihatkan makna yang luas dalam satu kalimat yang singkat.


4. Gaya Bahasa yang Beragam

Al-Qur'an menggunakan berbagai bentuk gaya bahasa seperti perumpamaan (tasybih), metafora (isti’arah), dan kiasan (kinayah). Penggunaan gaya bahasa ini tidak hanya memperindah makna tetapi juga memperkuat pesan moral dan spiritual dalam setiap ayat.


5. Kekuatan Argumentasi dan Ketegasan Makna

Al-Qur'an menyampaikan pesan dengan argumen yang kuat dan logis. Banyak ayat yang mengajak manusia untuk berpikir kritis dan merenungi alam serta kehidupan. Argumentasi dalam Al-Qur'an juga sering dikombinasikan dengan pertanyaan retoris yang menggugah kesadaran manusia.


Tantangan kepada Manusia untuk Menandinginya

Kemukjizatan Al-Qur'an dalam aspek al-i'jaz al-bayani juga dibuktikan dengan tantangan yang Allah berikan kepada manusia untuk menciptakan sesuatu yang serupa dengannya. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 23, Allah menantang manusia untuk membuat satu surah saja yang setara dengan Al-Qur'an, namun hingga kini tidak ada yang mampu melakukannya.


Kesimpulan

Al-I'jaz al-bayani dalam Al-Qur'an merupakan bukti nyata bahwa kitab suci ini berasal dari Allah, bukan hasil karya manusia. Keindahan bahasanya, ketepatan diksi, variasi gaya bahasa, serta kekuatan argumentasinya menjadikan Al-Qur'an sebagai kitab yang tak tertandingi dalam aspek kebahasaan. Oleh karena itu, banyak ahli bahasa, baik Muslim maupun non-Muslim, yang mengakui keunikan dan keistimewaan retorika Al-Qur'an yang tidak dapat direplikasi oleh manusia.




Tuesday, February 4, 2025

Henry Kissinger

Henry Kissinger marupakan antara manusia yang setaraf dengan Pol Pot, Hitler, Mussoleni, Mau Tze Dong serta manusia-manusia lain yang pernah hidup sebagai pemangsa yang teramat kejam. 

1. Perang Vietnam (1969–1975) : 3.8 juta nyawa

2. Pemboman Kemboja (1969–1973): 50,000 hingga 150,000 nyawa

3. Perang Saudara Pakistan Timur [Bangladesh] (1971): 300,000 hingga 3 juta nyawa

4. Kissinger menyokong serangan Indonesia ke atas Timor Leste (1975–1976): 100,000 hingga 200,000 nyawa, termasuk akibat kebuluran dan penyakit

5. Operasi Condor di Amerika Latin (1970-an): dianggarkan lebih 10 000 korban dibunuh atau "hilang" di seluruh Amerika Latin.

6. Perang Yom Kippur (1973): >10,000 nyawa

Walaupun demikian, saya tertarik dengan kenyataan Kissinger berkenaan asymmetrical warfare, " 𝑝𝑎𝑠𝑢𝑘𝑎𝑛 𝑡𝑒𝑛𝑡𝑒𝑟𝑎 𝑘𝑜𝑛𝑣𝑒𝑛𝑠𝑖𝑜𝑛𝑎𝑙 𝑑𝑖𝑘𝑖𝑟𝑎 𝑘𝑎𝑙𝑎ℎ 𝑠𝑒𝑘𝑖𝑟𝑎𝑛𝑦𝑎 𝑚𝑒𝑟𝑒𝑘𝑎 𝑡𝑖𝑑𝑎𝑘 𝑚𝑒𝑛𝑎𝑛𝑔, 𝑠𝑒𝑑𝑎𝑛𝑔𝑘𝑎𝑛 𝑝𝑎𝑠𝑢𝑘𝑎𝑛 𝑔𝑒𝑟𝑖𝑙𝑎 𝑑𝑖𝑘𝑖𝑟𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑎𝑛𝑔 𝑠𝑒𝑘𝑖𝑟𝑎𝑛𝑦𝑎 𝑡𝑖𝑑𝑎𝑘 𝑘𝑎𝑙𝑎ℎ (𝑠𝑢𝑟𝑣𝑖𝑣𝑒)".  Ini boleh menyimpulkan bahawa pasukan Ha Min Alif Sin memenangi perang di Gaza, sekalipun hampir keseluruhan Gaza telah diranapkan oleh tentera penjajah, dengan segala bentuk bantuan Amerika dan blok Barat.

Mantan Setiausaha Negara Amerika ini tidak pernah diheret ke muka pengadilan untuk dibicarakan seluruh jenayah yang dilakukannya, tetapi tentunya dia tidak sesekali terlepas dari mahkamah yang lebih agung, di hadapan Sang Pencipta. Setelah hidup hampir 100 tahun (1923-2023), sang penzalim ini telah kembali menemui Pencipta. 

Memetik kata-kata Buya Hamka;

"𝐾𝑖𝑡𝑎 𝑖𝑛𝑖 ℎ𝑎𝑛𝑦𝑎 𝑤𝑎𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑏𝑒𝑟𝑚𝑎𝑖𝑛 𝑑𝑖 𝑝𝑒𝑛𝑡𝑎𝑠 𝑑𝑢𝑛𝑖𝑎. 𝐴𝑝𝑎𝑏𝑖𝑙𝑎 𝑡𝑖𝑟𝑎𝑖 𝑑𝑖𝑡𝑢𝑡𝑢𝑝, 𝑙𝑒𝑛𝑦𝑎𝑝𝑙𝑎ℎ 𝑠𝑒𝑔𝑎𝑙𝑎 𝑙𝑎𝑘𝑜𝑛𝑎𝑛, 𝑡𝑖𝑛𝑔𝑔𝑎𝑙𝑎ℎ 𝑎𝑚𝑎𝑙 𝑠𝑒𝑏𝑎𝑔𝑎𝑖 𝑏𝑒𝑘𝑎𝑙𝑎𝑛."



Wednesday, January 22, 2025

Ucap Tahniah Kepada Donald Trump

 Perbuatan Ahmed Al-Sharaa atau lebih dikenali sebagai Abu Muhammad Al-Joulani iaitu pemimpin Hayat Tahrir Syam yang mengucapkan tahniah kepada Donal Trump sempena perlantikan semula sebagai Presiden Amerika tidak harus segera dikecam sebagai tali barut Amerika dan tuduhan melulu. Political gesture sebegini adalah amalan standard dalam kalangan para pemimpin dunia sejak zaman berzaman.

Salahuddin Al Ayubi mengirimkan deligasi doktor untuk merawat Richard The Lion Heart, musuh ketat beliau malah ketika itu peperangan antara tentera Salib dan tentera Islam masih lagi berlangsung. Walhasil, selepas "diplomatic gesture " itu, Perjanjian Jaffa (Treaty of Jaffa) dimeterai pada September 1192.
Sikap ini juga menunjukkan sikap neutraliti terhadap proses domestik, atau dengan kata lain, menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat negara berkenaan. Ini tidak bermaksud menyokong pemimpin yang baru dilantik itu.
Bahkan dalam tamadun Islam, konflik tidaklah menghalang komunikasi formal. Ucapan tahniah sebegini merupakan isyarat bahawa pihak yang berkonflik masih mengekalkan saluran komunikasi. Selain itu, ia mewujubkan sikap profesional walaupun wujud permusuhan. Rasulullah s.a.w memuji Abu Sufyan ketika Fathul Makkah walaupun ketika itu Abu Sufyan belum lagi memeluk Islam. Rasulullah s.a.w mengajarkan bahawa musuh bukanlah alasan untuk mengabaikan kebaikan atau kehebatan seseorang.
Selain itu, ucapan tahniah ini boleh membuka peluang dialog di masa hadapan. Kepimpinan baharu selalunya membawa pendekatan atau dasar baharu. Dalam kes ini, Amerika bukanlah negara yang boleh dipercayai, bahkan rekod berbohong dan melancarkan perang ke atas Iraq pada 2003 adalah contoh nyata sikap negara penjajah itu. Namun, suasana boleh berbeza sekiranya rakyat Amerika bertindak mendesak kerajaan mereka menilai semula dasar negara mereka.
Bagi saya, ucapan tahniah dari Joulani lebih kepada sikap pragmatik dalam mengendalikan realiti politik. China dan India mengekalkan komunikasi yang baik antara keduanya walaupun banyak sekali ketegangan antara keduanya. Begitu juga antara India dan Pakistan. Setiap kali pemimpin baharu dilantik, pihak lawan akan mengucapkan tahniah.
Sebagai hamlu dakwah dan aktivis politik, kita kena persiapkan diri dengan kematangan dalam memahami realpolitik. Ia sangat membantu untuk memandu ummah agar mengambil perhatian kepada idea yang disampaikan.



Sunday, December 8, 2024

𝐈𝐒𝐔 𝐒𝐘𝐑𝐈𝐀: 𝐈𝐑𝐀𝐍,𝐑𝐔𝐒𝐒𝐈𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐀𝐌𝐄𝐑𝐈𝐊𝐀

 Setakat ini, banyak perkara belum benar-benar difahami berkaitan dengan perkembangan terbaharu di Syria. Semalam, saya sempat ikuti TT Live Ahmad Faezal yang mengulas mengenai isu ini. Agak ramai juga "Russia Fanboy" datang kecam beliau kat situ sebab kononnya "pemberontak" yang menguasai Syria ini adalah proxy Amerika.

First of all, kalau nak berbicara tentang politik, ada banyak grey area. Ia tak semudah hitam atau putih, baik atau jahat, Khilafah atau kafir. Politik memerlukan pertimbangan dinamika kuasa, realiti sosial, konsensus (untuk membuka lembaran kerjasama), serta maqasit syariah yang memelihara nyawa, akal, harta dan keharmonian masyarakat.
Tanpa menafikan kefardhuan mendirikan Khilafah sebagai istitusi pemerintahan yang menegakkan Islam, keputusan dogmatik cenderung menjadi tidak rasional sehingga meruntuhkan kemakmuran dan kestabilan yang cuba dibina.
𝐀𝐝𝐚𝐤𝐚𝐡 𝐈𝐫𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐑𝐮𝐬𝐬𝐢𝐚 𝐢𝐭𝐮 𝐛𝐚𝐢𝐤?
Dalam konteks perang saudara di Syria, sekurang-kurangnya 500,000 nyawa menjadi korban. Iran dan Russia membantu regim Basyar membantai rakyatnya sendiri dengan serangan secara langsung, ataupun kepungan yang menyebabkan ribuan mati kebuluran. Jadi, Iran dan Russia ni baik ke? Jawapan mudah: TIDAK
𝐈𝐫𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐭𝐮 𝐬𝐚𝐮𝐝𝐚𝐫𝐚 𝐤𝐢𝐭𝐚 𝐝𝐢 𝐆𝐚𝐳𝐚. 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚 𝐬𝐮𝐧𝐧𝐢 𝐭𝐚𝐤 𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐚𝐩𝐚 𝐜𝐮𝐦𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐲𝐚𝐥𝐚𝐤 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐣𝐚𝐮𝐡. 𝐌𝐚𝐤𝐚, 𝐈𝐫𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐩𝐢𝐡𝐚𝐤 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫?
Dari satu sisi, ketika Iran berdepan dengan negara haram, kita wajar ambil posisi memihak kepada Iran. Bukan untuk menjadi fanboy, tetapi ia pilihan lebih wajar. Kita perlu ketepikan isu sektarian untuk melihat isu Gaza dan banyak isu lain tanpa melupakan fakta kekejaman yang berlaku di Syria.
𝐑𝐮𝐬𝐬𝐢𝐚 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐰𝐚𝐧 𝐛𝐥𝐨𝐤 𝐁𝐚𝐫𝐚𝐭 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐲𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐔𝐤𝐫𝐚𝐢𝐧𝐞. 𝐃𝐢𝐭𝐚𝐦𝐛𝐚𝐡 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐟𝐚𝐤𝐭𝐚 𝐔𝐤𝐫𝐚𝐢𝐧𝐞 𝐦𝐞𝐫𝐮𝐩𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐧𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐞𝐧𝐮𝐡 𝐤𝐨𝐫𝐮𝐩𝐬𝐢, 𝐝𝐢𝐩𝐞𝐫𝐢𝐧𝐭𝐚𝐡 𝐨𝐥𝐞𝐡 "𝐝𝐞𝐞𝐩 𝐬𝐭𝐚𝐭𝐞" 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐫𝐞𝐩𝐫𝐞𝐬𝐬𝐢𝐯𝐞. 𝐌𝐚𝐤𝐚, 𝐑𝐮𝐬𝐬𝐢𝐚 𝐝𝐢 𝐩𝐢𝐡𝐚𝐤 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫?
Sekali lagi, pilihan yang wajar untuk ambil posisi berpihak kepada Russia dalam krisis di Ukraine. Tapi, ia tidak melupuskan jenayah dan kekejaman yang dilakukan di Syria. Ketika era Russian Empire, Circassian genocide berlaku dengan menyasarkan umat Islam Circassian hingga angka korban dianggarkan mencecah 1,000,000 orang. Boleh juga dihitung peperangan Afghan-Soviet 1979-1989 untuk melihat baik/buruk empire Russia ni.
𝐓𝐚𝐩𝐢, 𝐬𝐞𝐦𝐮𝐚 𝐤𝐞𝐤𝐞𝐣𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐑𝐮𝐬𝐬𝐢𝐚 𝐭𝐮 𝐝𝐢𝐛𝐚𝐰𝐚𝐡 𝐫𝐞𝐠𝐢𝐦 𝐥𝐚𝐦𝐚. 𝐒𝐞𝐤𝐚𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐚𝐡 𝐥𝐚𝐢𝐧. 𝐌𝐚𝐧𝐚 𝐛𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐥𝐞𝐭𝐚𝐤 𝐤𝐞𝐬𝐚𝐥𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐠𝐞𝐧𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐥𝐚𝐥𝐮 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐠𝐞𝐧𝐞𝐫𝐚𝐬𝐢 𝐬𝐞𝐤𝐚𝐫𝐚𝐧𝐠?
Ini pernyataan separuh masak. Dengan argumen yang sama, kita tidak boleh salahkan Amerika yang menjarah Iraq dan Afghanistan sebab ia dilakukan ketika era Bush, sedangkan sekarang ni era presiden yang lain. banyak empayar atau negara hari ini masih mewarisi sistem, struktur, dan naratif yang dibentuk oleh tindakan generasi terdahulu. Misalnya, sekiranya ketidakadilan sejarah tidak diakui atau ditebus, ia terus memberi kesan kepada masyarakat yang terkesan.
Tidaklah secara automatik, generasi sekarang bertanggungjawab secara langsung terhadap kesalahan sejarah, tetapi penting bagi mereka untuk mengiktiraf sejarah tersebut dan mengambil langkah untuk memperbaiki kesannya, seperti mengakui kekejaman, menawarkan permohonan maaf, atau memberikan reparasi.
𝐀𝐦𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐚𝐣𝐚 𝐩𝐚𝐬𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐅𝐫𝐞𝐞 𝐒𝐲𝐫𝐢𝐚𝐧 𝐀𝐫𝐦𝐲 (𝐅𝐒𝐀). 𝐌𝐚𝐤𝐚, 𝐩𝐞𝐦𝐛𝐞𝐫𝐨𝐧𝐭𝐚𝐤 𝐢𝐧𝐢 𝐚𝐝𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐩𝐫𝐨𝐱𝐲 𝐀𝐦𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚?
Ada pelbagai kelompok bersenjata dengan pelbagai latarbelakang dan agenda. Memang benar, Amerika menancapkan kukunya ke bumi Syria untuk mempengaruhi landskap politik di sana. Tetapi, untuk membuat kesimpulan pukal bahawa pemberontak (tentera pembebasan) yang berjuang menumbangkan Basyar sebagai proxy Amerika adalah oversimplified. Apalagi ketika mereka mendapat dokongan sebahagian besar rakyat Syria. Setakat data yang ada, pengaruh Amerika wujud dalam konflik ini, tetapi kita belum melihat kawalan yang significant oleh negara penjajah itu setakat ini. Yang pasti, tumbangnya diktator yang kejam itu diraikan penuh kegembiraan oleh rakyat Syria.
Sebagai kesimpulan, kita Cuma memahami dan memerhati dari jauh. Mungkin perkembangan di kemudian hari membawa kesimpulan yang lain. Allahualam, kita doakan yang terbaik.
𝑺𝒂𝒃𝒓𝒊 𝒀𝒂𝒂𝒄𝒐𝒃
9 December 2024





Sunday, December 1, 2024

Konflik Syria 2024


Konflik di Syria bermula pada 2011 apabila protes rakyat terhadap rejim Presiden Bashar al-Assad ditindas dengan kekerasan. Gerakan yang asalnya menuntut reformasi demokratik bertukar menjadi perang saudara selepas kumpulan pembangkang dan kumpulan bersenjata bangkit menentang kerajaan. Situasi menjadi semakin kompleks dengan penglibatan pihak luar seperti Rusia, Iran, Amerika Syarikat, Turki, dan kumpulan militan seperti ISIS.

Pihak Terlibat:

Di satu pihak adalah rejim Assad yang disokong oleh Rusia dan Iran, yang menyediakan sokongan ketenteraan dan strategik. Lawan mereka ialah gabungan kumpulan pembangkang, termasuk Hayat Tahrir al-Sham (HTS) pimpinan Al Julani, kumpulan Islamis, dan pemberontak yang disokong oleh Turki. AS pula menyokong militia Kurdish yang terlibat dalam melawan ISIS. Konflik ini menjadi proksi bagi persaingan geopolitik kuasa-kuasa besar.

Strategi dan Perubahan:

Rejim Assad telah menggunakan serangan udara besar-besaran dan pengepungan untuk mendapatkan semula kawalan wilayah, manakala Rusia memberikan sokongan udara sejak 2015, yang membantu Assad meraih kemenangan strategik seperti penawanan Aleppo pada 2016. Namun, baru-baru ini, pada November 2024, pemberontak HTS dan sekutunya melancarkan serangan besar dan berjaya menawan kembali sebahagian besar Aleppo, menandakan titik perubahan selepas bertahun-tahun kebuntuan.

Situasi Kemanusiaan:

Perang ini telah meragut lebih 500,000 nyawa dan memaksa jutaan rakyat Syria meninggalkan rumah mereka. Kira-kira 14,000 orang dilaporkan melarikan diri akibat serangan terbaru di Aleppo, dengan kesan besar terhadap penduduk awam termasuk kematian dan kecederaan kanak-kanak.

Hala Tuju Konflik:

Masa depan konflik ini kekal tidak menentu. Kemenangan HTS di Aleppo menunjukkan kelemahan rejim Assad, walaupun ia mendapat bantuan Rusia. Walau bagaimanapun, langkah penyelesaian seperti rundingan damai sering gagal kerana perbezaan ideologi antara pihak yang bertelagah. Pada masa sama, campur tangan kuasa luar meningkatkan kebimbangan bahawa perang ini boleh terus berlanjutan sebagai konflik proksi.

Kesimpulan:

Perang di Syria adalah contoh bagaimana protes boleh berubah menjadi konflik bersenjata akibat campur tangan luar dan kegagalan diplomasi. Dengan pertempuran yang kembali sengit, masa depan Syria masih tidak pasti, bergantung pada kemampuan pihak terlibat mencari penyelesaian politik yang inklusif. Peperangan di Aleppo pada 2024 juga menunjukkan dinamik baharu yang boleh mencorak hala tuju konflik ini pada masa depan.




Tuesday, October 15, 2024

Perang Serantau

Amerika mengirimkan THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) ke negara haram Israel untuk mengukuhkan pertahanan negara itu dari serangan ballistic missile. Ramai penganalisa geo-politik berpendapat, kemungkinan perang di timur tengah akan merebak dan Israel sedang merencanakan tindakbalas terhadap serangan Iran 1 Oktober lalu. Lagipun, Netanyahu memang bergantung kepada keberlanjutan perang untuk memanjangkan hayat politiknya. Setakat hari ini, belum ada sebarang tanda peperangan akan dihentikan, dan negara haram itu, begitu bebas melakukan apa sahaja, melanggar seluruh garis merah undang-undang antarabangsa tanpa perlu khuatir akan implikasi perundangan.

Negara-negara teluk pula kelihatan lebih lantang menyuarakan kekhuatiran peperangan yang berlaku memberi kesan kepada ekonomi mereka secara langsung, dan mungkin mengheret mereka kepada peperangan serantau (regional war). Kelompok pemimpin arab menegaskan, jika berlaku perang, serangan ke atas Iran tidak boleh dilakukan dari pengkalan yang berada di wilayah mereka. Satu langkah yang "paling berani" dilakukan setakat ini selain pidato kutukan kosong yang telahpun kita dengar puluhan tahun.

Walaupun rakyat negara-negara arab secara umumnya menyokong perjuangan saudara mereka yang dibantai, para pemimpin mereka belum mampu untuk memberi tindakbalas yang tegas seperti sekatan ekonomi, menghentikan bekalan minyak, apalagi respon secara ketenteraan.

Bagi kaum muslimin, pertolongan Allah itu sentiasa dekat. Itulah yang Dia janjikan dan Allah tidak sesekali mungkir janji, walaupun ketika ini, realiti yang tidak sanggup kita lihat terpampang di hadapan mata dan kaum muslimin berada pada titik paling bawah, seperti makanan yang dikunyah musuh.

Diriwayatkan oleh Khabab bin al-Aratt r.a., ketika para sahabat mengadu kepada baginda, Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang umat terdahulu yang diuji dengan sangat berat. Baginda bersabda:

"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang disisir dengan sikat besi sehingga memisahkan daging dan tulang mereka, dan ada yang digergaji kepalanya hingga terbelah dua. Namun semua itu tidak membuat mereka berpaling dari agamanya. Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan ini (Islam), hingga seseorang berjalan dari Sana’a ke Hadramaut, tidak ada yang ia takutkan kecuali Allah, dan serigala atas kambingnya, tetapi kamu terlalu tergesa-gesa." [Riwayat Bukhari no. 3612]

Amatlah malang jika kaum muslimin memilih untuk mencari titik perbalahan dan perpecahan ketika penyatuan menjadi persoalan hidup-mati jutaan umat ketika ini.