Monday, September 7, 2026

Berbakti Kepada Ummah Dalam Kesibukan Dunia

Beberapa tahun lalu, seorang kenalan saya yang merupakan aktivis dalam harakah Islam pernah memberikan satu nasihat kepada saya. Katanya, jangan terlalu banyak menghabiskan fikiran, masa dan tenaga hanya untuk urusan keduniaan. Sediakanlah ruang dan waktu untuk agama.

Beliau kemudian melanjutkan pandangannya. Katanya, perbualan golongan pertengahan umur, sekitar 30 hingga 50 tahun, lazimnya banyak berkisar tentang usaha menambah pendapatan, hobi, kerjaya dan keluarga. Namun, amat jarang persoalan ummah menjadi sebahagian daripada perbualan harian kita.

Bagi saya, teguran itu ada asasnya dan wajar untuk kita renungkan. Islam bukanlah agama yang hanya berbicara tentang kesolehan dan kepentingan individu semata-mata. Ada tanggungjawab yang lebih luas terhadap keluarga, masyarakat dan ummah.

Namun, persoalan lanjut yang perlu kita fikirkan ialah: bagaimana untuk mengharmonikan tuntutan tersebut dengan kehidupan yang semakin sibuk? Kita hidup dalam zaman yang sarat dengan kebisingan maklumat, tuntutan kerjaya, komitmen keluarga dan tekanan ekonomi yang datang dari segenap arah. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana kita boleh terus memberikan sumbangan kepada agama dan ummah tanpa mengabaikan amanah-amanah lain yang turut dipertanggungjawabkan kepada kita?

Apabila mengimbau kembali kehidupan para sahabat Radhiallahu ‘anhum, kita mendapati bahawa sumbangan mereka kepada Islam hadir dalam pelbagai bentuk dan melalui pelbagai kapasiti.

Khalid ibn al-Walid tidak dikenali sebagai pengumpul hadis, tetapi beliau memainkan peranan besar di medan peperangan. Abdul Rahman ibn ‘Auf pula dikurniakan kemampuan sebagai seorang hartawan dan menggunakan kekayaannya untuk membiayai pelbagai keperluan umat. Abu Hurairah banyak menumpukan perhatian kepada periwayatan hadis. Zaid ibn Thabit berperanan sebagai penulis wahyu. Mus‘ab ibn ‘Umair pula diutus sebagai duta dan pendakwah kepada masyarakat di Madinah.

Dan masih ramai lagi para sahabat dengan peranan, kemampuan dan medan sumbangan masing-masing.

Daripada sini, saya melihat bahawa berbakti kepada ummah tidak semestinya mempunyai satu bentuk yang seragam. Tidak semua orang perlu menjadi aktivis. Tidak semua orang perlu menjadi penyumbang dana. Tidak semua orang perlu berada di medan perjuangan yang sama.

Ada yang menyumbang melalui ilmu. Ada yang melalui harta. Ada yang melalui kepakaran dan kerjaya. Ada yang mendidik anak-anak dan membina keluarga yang baik. Ada yang menulis, berdakwah, mengajar, mengurus organisasi, membantu masyarakat atau sekadar memberikan manfaat kepada manusia di sekelilingnya.

Yang penting, jangan sampai kesibukan mengejar kehidupan menyebabkan kita lupa bahawa kehidupan ini juga mempunyai tujuan yang lebih besar daripada sekadar mengurus kepentingan diri sendiri.

Pada saya, apa sahaja kebaikan yang dilakukan tidak seharusnya dipandang remeh. Istilah “berbakti kepada ummah” tidak wajar dihadkan hanya kepada mereka yang bergelar aktivis, penyumbang dana atau pejuang di medan tertentu. Setiap orang mempunyai ruang untuk menyumbang berdasarkan kemampuan, kedudukan dan amanah yang Allah berikan kepadanya.

Akhirnya, apa yang lebih penting bukan semata-mata sebesar mana sumbangan itu pada pandangan manusia, tetapi bagaimana ia dilakukan di sisi Allah.

Dua perkara perlu sentiasa dijaga: pertama, kebaikan itu dilakukan dengan cara yang benar, menepati syariat dan garis panduan yang ditetapkan Allah; dan kedua, ia dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Mungkin sumbangan kita kecil pada pandangan manusia. Tetapi jika dilakukan dengan cara yang benar dan dengan hati yang ikhlas, tidak ada satu pun kebaikan yang sia-sia di sisi Allah.

(Perbincangan diadaptasi dari buku Bunga Rampai Pemikiran Islam tulisan Muhammad Ismail)





Thursday, September 3, 2026

Islam Kaffah: Sebuah Refleksi Tentang Ilmu dan Perbezaan

Sudah agak lama saya tidak mencoret di platform ini. Kekangan masa dan tenaga, dalam suasana dunia yang semakin bising dan padat dengan maklumat, kadangkala menjadikan proses menapis, menyaring dan menilai maklumat bagi memperoleh ketepatan yang sebaik mungkin sebagai suatu cabaran yang tersendiri.

Saya cuma ingin membuat sedikit refleksi mengenai konsep Islam Kaffah, iaitu gagasan penerapan Islam secara menyeluruh dan komprehensif (syumul). Dari sudut ideal, gagasan ini sememangnya dekat dengan cita rasa hati dan jiwa yang mencintai Islam. Ia juga menjadi sebahagian daripada agenda yang disambut dan diperjuangkan oleh para hamlu dakwah sepanjang zaman, yang tidak jarang terpaksa membayar harga yang sangat mahal. Mereka digoncang, diancam, diugut, diseksa, bahkan ada yang mengorbankan nyawa demi sebuah perjuangan yang diyakini.
Namun demikian, memahami makna dan batasan Islam Kaffah bukanlah suatu perkara yang sederhana. Ia telah menjadi bahan perbahasan yang luas dalam tradisi keilmuan Islam sejak sekian lama. Terdapat, pada satu sisi, pendekatan yang cenderung kepada interpretasi yang tegar dan literal terhadap nas syarak, termasuk menjadikan pelbagai amalan politik, pentadbiran dan muamalat Rasulullah SAW serta Khulafa al-Rasyidin sebagai model normatif yang perlu diterjemahkan secara langsung dalam konteks semasa.
Pada sisi yang lain pula, terdapat pendekatan yang lebih menekankan konsep fiqh al-taysir serta mempertimbangkan perubahan realiti, konteks dan zaman dalam memahami serta mengaplikasikan nas. Di antara kedua-dua kecenderungan ini pula terdapat pelbagai posisi dan pendekatan yang lain. Malah, terdapat juga kecenderungan yang terlalu melonggarkan interpretasi terhadap nas syarak sehingga berpotensi mengabaikan, atau bahkan mencacatkan, maqasid al-syariah yang menjadi sebahagian daripada tujuan pensyariatan itu sendiri.
Sebagai muqallid muttabi‘: dalam erti kita sebagai orang awam yang pada asasnya bergantung kepada kefahaman dan interpretasi para ilmuwan yang lebih berautoriti , kita sebenarnya masih mempunyai ruang untuk menilai pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh ilmuwan yang berkelayakan dan dipercayai, sebelum membuat kesimpulan berdasarkan kemampuan ilmu yang kita miliki.
Sebagai contoh, dalam persoalan fiqh, seseorang yang dikatakan bermazhab Syafi‘i pada zaman ini tidak semestinya berpegang secara mutlak kepada keseluruhan pandangan Imam al-Syafi‘i yang terdahulu. Dalam sejarah perkembangan mazhab itu sendiri, terdapat perbezaan antara qaul qadim dan qaul jadid Imam al-Syafi‘i. Bahkan, perkembangan ini menunjukkan bahawa perubahan pandangan berdasarkan penelitian semula terhadap dalil, konteks dan metodologi ijtihad bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi keilmuan Islam.
Bagi saya, walaupun terdapat keutamaan untuk menegakkan hujah dan mempertahankan apa yang diyakini benar, tidak semestinya setiap perbezaan pandangan perlu sentiasa dijadikan titik pemisah sehingga kita terlupa akan begitu banyak perkara yang menyatukan kita sebagai umat Islam.
Malah, salah satu tanda kematangan seseorang yang berilmu ialah kesediaannya untuk menilai semula pandangan yang dipegang. Kesediaan untuk mengubah pendirian apabila berhadapan dengan hujah yang lebih kuat adalah suatu bentuk intelektual humility yang sepatutnya diraikan, bukan dianggap sebagai kelemahan. Sekurang-kurangnya, seseorang itu perlu mempunyai kesediaan untuk meneliti secara jujur pandangan yang tidak selari dengan pendiriannya sendiri, tanpa terlebih dahulu membina prasangka terhadap pihak yang berbeza.
Perbezaan pandangan tidak semestinya menjadikan kita musuh.
Barangkali, dalam tradisi ilmu yang panjang ini, kita perlu belajar membezakan antara berbeza pada perkara yang kita fahami sebagai prinsip, dengan bermusuhan kerana perbezaan kefahaman.
Kerana pada akhirnya, kematangan dalam beragama bukan sekadar kemampuan untuk mempertahankan apa yang kita yakini, tetapi juga kemampuan untuk mengakui bahawa kefahaman kita sentiasa mempunyai ruang untuk diperhalusi.
Allahua'lam.