Monday, September 7, 2026

Berbakti Kepada Ummah Dalam Kesibukan Dunia

Beberapa tahun lalu, seorang kenalan saya yang merupakan aktivis dalam harakah Islam pernah memberikan satu nasihat kepada saya. Katanya, jangan terlalu banyak menghabiskan fikiran, masa dan tenaga hanya untuk urusan keduniaan. Sediakanlah ruang dan waktu untuk agama.

Beliau kemudian melanjutkan pandangannya. Katanya, perbualan golongan pertengahan umur, sekitar 30 hingga 50 tahun, lazimnya banyak berkisar tentang usaha menambah pendapatan, hobi, kerjaya dan keluarga. Namun, amat jarang persoalan ummah menjadi sebahagian daripada perbualan harian kita.

Bagi saya, teguran itu ada asasnya dan wajar untuk kita renungkan. Islam bukanlah agama yang hanya berbicara tentang kesolehan dan kepentingan individu semata-mata. Ada tanggungjawab yang lebih luas terhadap keluarga, masyarakat dan ummah.

Namun, persoalan lanjut yang perlu kita fikirkan ialah: bagaimana untuk mengharmonikan tuntutan tersebut dengan kehidupan yang semakin sibuk? Kita hidup dalam zaman yang sarat dengan kebisingan maklumat, tuntutan kerjaya, komitmen keluarga dan tekanan ekonomi yang datang dari segenap arah. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana kita boleh terus memberikan sumbangan kepada agama dan ummah tanpa mengabaikan amanah-amanah lain yang turut dipertanggungjawabkan kepada kita?

Apabila mengimbau kembali kehidupan para sahabat Radhiallahu ‘anhum, kita mendapati bahawa sumbangan mereka kepada Islam hadir dalam pelbagai bentuk dan melalui pelbagai kapasiti.

Khalid ibn al-Walid tidak dikenali sebagai pengumpul hadis, tetapi beliau memainkan peranan besar di medan peperangan. Abdul Rahman ibn ‘Auf pula dikurniakan kemampuan sebagai seorang hartawan dan menggunakan kekayaannya untuk membiayai pelbagai keperluan umat. Abu Hurairah banyak menumpukan perhatian kepada periwayatan hadis. Zaid ibn Thabit berperanan sebagai penulis wahyu. Mus‘ab ibn ‘Umair pula diutus sebagai duta dan pendakwah kepada masyarakat di Madinah.

Dan masih ramai lagi para sahabat dengan peranan, kemampuan dan medan sumbangan masing-masing.

Daripada sini, saya melihat bahawa berbakti kepada ummah tidak semestinya mempunyai satu bentuk yang seragam. Tidak semua orang perlu menjadi aktivis. Tidak semua orang perlu menjadi penyumbang dana. Tidak semua orang perlu berada di medan perjuangan yang sama.

Ada yang menyumbang melalui ilmu. Ada yang melalui harta. Ada yang melalui kepakaran dan kerjaya. Ada yang mendidik anak-anak dan membina keluarga yang baik. Ada yang menulis, berdakwah, mengajar, mengurus organisasi, membantu masyarakat atau sekadar memberikan manfaat kepada manusia di sekelilingnya.

Yang penting, jangan sampai kesibukan mengejar kehidupan menyebabkan kita lupa bahawa kehidupan ini juga mempunyai tujuan yang lebih besar daripada sekadar mengurus kepentingan diri sendiri.

Pada saya, apa sahaja kebaikan yang dilakukan tidak seharusnya dipandang remeh. Istilah “berbakti kepada ummah” tidak wajar dihadkan hanya kepada mereka yang bergelar aktivis, penyumbang dana atau pejuang di medan tertentu. Setiap orang mempunyai ruang untuk menyumbang berdasarkan kemampuan, kedudukan dan amanah yang Allah berikan kepadanya.

Akhirnya, apa yang lebih penting bukan semata-mata sebesar mana sumbangan itu pada pandangan manusia, tetapi bagaimana ia dilakukan di sisi Allah.

Dua perkara perlu sentiasa dijaga: pertama, kebaikan itu dilakukan dengan cara yang benar, menepati syariat dan garis panduan yang ditetapkan Allah; dan kedua, ia dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Mungkin sumbangan kita kecil pada pandangan manusia. Tetapi jika dilakukan dengan cara yang benar dan dengan hati yang ikhlas, tidak ada satu pun kebaikan yang sia-sia di sisi Allah.

(Perbincangan diadaptasi dari buku Bunga Rampai Pemikiran Islam tulisan Muhammad Ismail)





No comments:

Post a Comment