Tuesday, October 20, 2026

𝐁𝐔𝐊𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐃𝐈𝐒𝐔𝐊𝐀𝐈

Saya membuka akaun Facebook ini sekitar tahun 𝟐𝟎𝟎𝟖, ketika media sosial baharu itu sedang hangat diperkatakan dan mula mengambil alih tempat Friendster. Antara “perang keyboard” terawal yang saya hadapi ialah pertembungan dengan golongan yang menghina Islam, termasuk golongan murtad, ultra-liberal, kelompok yang membawa agenda songsang serta para penyokong mereka. Saya pernah menyertai kumpulan Facebook “𝑀𝑢𝑟𝑡𝑎𝑑 𝑃𝑎𝑛𝑡𝑎𝑖 𝑇𝑖𝑚𝑢𝑟” yang menghimpunkan kelompok berkenaan, lalu terlibat dalam perdebatan dengan mereka. Ketika itu, beberapa figura yang dikenali dengan pandangan liberal, termasuk seorang peguam wanita yang cukup terkenal, turut muncul dalam perbincangan. Begitu juga sosok seperti Asiah Jalil dan kelompok Sisters in Islam. Saya tidak ingat secara tepat berapa lama selepas itu, tetapi akhirnya saya ditendang keluar oleh admin kumpulan tersebut. Namun, sejak awal lagi, tujuan saya berhujah bukanlah untuk mengubah pendirian golongan yang sudah memusuhi Islam, sebaliknya menyediakan hujah balas buat mereka yang mungkin terpengaruh dengan pemikiran tersebut.

Antara taktik yang kerap digunakan ketika itu ialah hujah berbentuk paradoks, yang kelihatan mencabar pemikiran tetapi sebenarnya dibina untuk mengelirukan. Contohnya, “𝐵𝑜𝑙𝑒ℎ𝑘𝑎ℎ 𝐴𝑙𝑙𝑎ℎ 𝑚𝑒𝑛𝑐𝑖𝑝𝑡𝑎 𝑝𝑒𝑟𝑖𝑠𝑎𝑖 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑚𝑢𝑠𝑡𝑎ℎ𝑖𝑙 𝑑𝑖𝑡𝑒𝑚𝑏𝑢𝑠𝑖 𝑜𝑙𝑒ℎ 𝑎𝑝𝑎-𝑎𝑝𝑎 𝑠𝑒𝑛𝑗𝑎𝑡𝑎, 𝑑𝑎𝑛 𝑝𝑎𝑑𝑎 𝑚𝑎𝑠𝑎 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑠𝑎𝑚𝑎 𝑚𝑒𝑛𝑐𝑖𝑝𝑡𝑎 𝑝𝑒𝑑𝑎𝑛𝑔 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑚𝑎𝑚𝑝𝑢 𝑚𝑒𝑛𝑒𝑚𝑏𝑢𝑠𝑖 𝑠𝑒𝑔𝑎𝑙𝑎 𝑝𝑒𝑟𝑖𝑠𝑎𝑖 𝑑𝑖 𝑎𝑙𝑎𝑚 𝑖𝑛𝑖?” Apa sahaja jawapan yang diberikan akan cuba diputar untuk membawa kepada kesimpulan bahawa Allah kononnya mempunyai kelemahan. Bagi saya, masalahnya bukan pada ketidakmampuan menjawab, tetapi pada soalan yang dibina berasaskan percanggahan logik sejak awal. Apabila soalan yang salah diajukan, jawapan yang diberikan juga boleh dimanipulasi untuk menghasilkan kesimpulan yang salah. Paradoks seperti ini hanyalah salah satu helah dalam perdebatan, khususnya apabila matlamatnya bukan mencari kebenaran, tetapi mengelirukan lawan dan mempengaruhi penonton yang tidak menyedari kecacatan hujah tersebut.

.

Memasuki tahun 𝟐𝟎𝟏𝟏, gelombang Arab Spring membawa dimensi baharu kepada pertembungan saya di media sosial. Ketika itu, muncul pelbagai kelompok ekstrem yang seolah-olah mahu memasuki syurga secara ekspres, dengan menggunakan slogan “𝑗𝑖ℎ𝑎𝑑 𝑓𝑖 𝑠𝑎𝑏𝑖𝑙𝑖𝑙𝑙𝑎ℎ” untuk membenarkan tindakan ganas mereka. Sukar dibayangkan bagaimana orang yang mengaku memperjuangkan Islam boleh menampilkan pemikiran dan tingkah laku yang begitu jauh daripada akhlak Islam. Perjuangan melalui jalan damai pula dianggap pengecut, bacul dan tidak syarie. Salah satu fokus utama saya ketika itu ialah perkembangan di Syria. Dalam masa yang sama, saya yang kerap berulang-alik ke Mesir kerana isteri masih belajar di sana turut merasai sendiri tempias Arab Spring. Saya malah pernah beberapa kali ditahan pihak berkuasa Mesir dan dipanggil oleh Amnu Daulah (أمن الدولة, Amn al-Dawla) kerana dianggap “mencurigakan”. Pengalaman tersebut menjadikan apa yang berlaku di rantau itu bukan sekadar berita yang dibaca di skrin, tetapi realiti yang turut saya rasai secara langsung.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 pada 𝟐𝟎𝟏𝟐–𝟐𝟎𝟏𝟑, bahang politik tanah air pula semakin membara. Saya tidak berada dalam mana-mana blok politik tradisional, sebaliknya bersama sebuah harakah Islam yang tidak menganggap sistem demokrasi sebagai sistem yang sesuai untuk umat Islam. Akibat pendirian itu, saya dibantai dari kiri dan kanan. Walaupun saya cuba mengemukakan pandangan tanpa memfitnah, memaki hamun atau menggunakan bahasa yang kasar, perbezaan pendapat tetap mengundang serangan. Ketika itu, budaya politik seolah-olah berpegang pada prinsip, “Kalau bukan puak aku, maka mereka musuh aku.” Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS bertembung dengan Barisan Nasional yang ketika itu merangkumi UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB, PRS, SPDP, PBS dan UPKO. Hari ini, konfigurasi politik sudah banyak berubah, tetapi pengalaman menyaksikan para penyokong bertelagah dengan penuh kebencian masih menjadi ingatan. Betapa ramai yang menghabiskan tenaga bermusuhan sesama sendiri atas nama perjuangan, sedangkan landskap politik akhirnya tetap berubah mengikut masa dan keadaan.

Tahun 𝟐𝟎𝟐𝟎, tiba musim pandemik COVID-19. Apabila vaksin mula diperkenalkan, saya melihatnya sebagai sinar harapan untuk keluar daripada sekatan pergerakan dan kehidupan yang begitu menyeksakan. Namun, pada masa yang sama, muncul golongan antivaksin yang berpegang teguh pada kepercayaan mereka, walaupun risiko penyakit itu nyata. Ada yang dijangkiti lalu meninggal dunia, ada yang menjangkiti ahli keluarga sendiri, dan ada juga yang enggan membawa ibu bapa yang sudah lanjut usia atau anak-anak mendapatkan vaksin seperti yang disarankan oleh pihak kesihatan. Akibatnya, sebahagian kematian yang berpotensi dicegah tetap berlaku. Lebih membimbangkan, institusi kesihatan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula dilabel sebagai ejen Dajjal dan pihak yang zalim. Dalam suasana ketakutan dan ketidakpastian, fakta kesihatan bertembung dengan teori konspirasi, manakala nasihat profesional dianggap sebagai ancaman. Sekali lagi, saya menyaksikan bagaimana sesuatu isu yang sepatutnya ditangani dengan ilmu dan pertimbangan rasional berubah menjadi medan permusuhan, sehingga pandangan yang berbeza bukan lagi dinilai berdasarkan bukti, tetapi berdasarkan kepercayaan dan sentimen kelompok masing-masing.

Pada tahun 𝟐𝟎𝟐𝟑, 𝑻𝒂𝒖𝒇𝒂𝒏 𝑨𝒍-𝑨𝒒𝒔𝒂 mencetuskan gelombang krisis yang membawa kepada tindak balas ketenteraan Israel yang amat ganas terhadap rakyat Palestin. Konflik tersebut kemudiannya berkembang dalam landskap geopolitik yang lebih luas, termasuk perang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang terus mencorakkan ketegangan serantau hingga ke hari ini. Di media sosial, saya sekali lagi berhadapan dengan pertempuran naratif, khususnya dengan para cybertrooper atau cytro yang cuba mengangkat sudut pandang Barat dan membentuk persepsi masyarakat terhadap konflik tersebut. Perjuangan di ruang digital ini bukan sesuatu yang mudah kerana naratif yang diulang-ulang, permainan emosi dan pemilihan fakta secara terpilih mampu mempengaruhi orang ramai.

Memasuki era 𝟐𝟎𝟐𝟓–𝟐𝟎𝟐𝟔 pula, saya melihat satu lagi gelombang yang semakin membimbangkan, iaitu xenofobia dan sentimen antiimigran. Benihnya sudah mula tumbuh ketika pandemik, kemudian semakin subur apabila krisis kesihatan disusuli tekanan ekonomi. Di seluruh dunia, slogan “𝑘𝑖𝑡𝑎 𝑙𝑎𝑤𝑎𝑛 𝑚𝑒𝑟𝑒𝑘𝑎” menjadi modal politik yang berkesan untuk menghimpunkan pengikut dan meraih kuasa. Di Malaysia, kebencian terhadap pelarian Rohingya, misalnya, bukan sahaja tertumpu kepada masalah yang dikaitkan dengan sebahagian daripada mereka, malah turut melimpah kepada pihak berkuasa seperti polis, imigresen dan pelbagai kementerian. Namun, dalam kemarahan itu, perhatian terhadap punca asal krisis sering tenggelam, termasuk genosid terhadap Rohingya di Myanmar, peranan kelompok nasionalis Buddha ekstrem seperti 𝑴𝒂 𝑩𝒂 𝑻𝒉𝒂 yang dikaitkan dengan Ashin Wirathu, serta tindakan junta tentera Myanmar. Apabila kemarahan hanya tertumpu kepada mereka yang kelihatan di hadapan mata, pihak yang mencetuskan krisis dan bertanggungjawab terhadap penderitaan manusia pula berisiko terlepas daripada perhatian.

Setelah hampir dua dekad melalui pelbagai fasa pertembungan di Facebook, saya memahami bahawa media sosial bukan sekadar tempat berkongsi cerita atau meluahkan pendapat. Ia juga medan perebutan pemikiran, pertarungan naratif dan ujian terhadap prinsip yang kita pegang. Bagi saya, akaun Facebook ini ialah akaun peribadi yang diharapkan menjadi ladang amal jariah, tempat menyampaikan ilmu, berkongsi pandangan dan memberikan manfaat kepada orang lain. Saya sedar bahawa bukan semua orang akan bersetuju, apatah lagi menerima apa yang disampaikan. Ada kalanya, usaha menegakkan kebenaran dibalas dengan cacian, ugutan dan fitnah. Namun, selagi niat dan usaha ini masih boleh memberikan manfaat kepada sesiapa yang membacanya, saya berharap ia terus menjadi sebahagian daripada amal yang berkekalan. Saya tidak mengharapkan semua orang menyukai saya, apatah lagi bersetuju dengan setiap pandangan saya. Cukuplah jika ada insan yang mendapat manfaat, berfikir dengan lebih kritis, tidak mudah terpedaya dengan manipulasi, dan terdorong untuk mencari kebenaran dengan ilmu serta akhlak. Mudah-mudahan, itulah nilai yang kekal daripada perjalanan panjang saya di Facebook ini.

Gambar: Kereta perisai di bandar Kaherah pada 2012, ketika gelombang Arab Spring memuncak



No comments:

Post a Comment