Tuesday, August 29, 2023

Dunia Tidak Berfungsi Dalam Keadaan Binary

Dalam komunikasi, melihat kepada "addressee factor", iaitu pihak yang menerima mesej yang kita sampaikan amatlah mustahak. Penerimaan seseorang tidak banyak bergantung kepada intipati maklumat yang disampaikan, sebaliknya lebih kepada nada/intonasi penyampaian. Ini antara seni dalam komunikasi.

Ramai sekali orang bodoh, bercakap dengan gaya penuh keyakinan, walaupun intipatinya hanya sampah. Dalam dunia akademik, ia dipanggil Dunning–Kruger effect, iaitu keyakinan seseorang berkait dengan ilmu yang dimiliki dalam sesuatu subjek.
Melihat ke belakang, pengalaman saya sendiri ketika menemukan "enlightenment" mengenai ideology Islam, rasa membuak-buak ingin menyamaikan kepada seluruh manusia bahawa inilah al haq. Inilah kebenaran. Bila bertembung dengan idea yang bertentangan, ditentang habis-habisan, seringkali terlupa tujuan dan maksud asal apa yang disebut sebagai perjuangan mengembalikan kehidupan Islam itu. Terlupa bahawa akhlak yang baik, memelihara silaturrahim, sikap berbelas kasihan serta ehsan adalah juga sebahagian dari ajaran Islam.
Then, masa berlalu. Seiring peningkatan usia, perluasan pengalaman dan pertambahan ilmu, saya mula fahami bahawa dunia ini tidaklah sentiasa berfungsi dalam bentuk binary, iaitu hak dan bathil, benar atau salah, hitam atau putih, syurga atau neraka. Sebaliknya, ada rantaian kisah, ilmu, pendapat, realiti dan perspektif syarak yang jauh lebih kompleks. Meletakkan segalanya dalam bentuk simple, tidak selalunya tepat.
Contoh mudah untuk memahami isu ini ialah, pandangan berdasarkan nas yang melarang penjarakan saf solat. Ia pandangan yang kuat berdasarkan nas syarak, akan tetapi syarak ialah aturan yang berinteraksi dengan kehidupan manusia. Maka, ketika wabak baru bermula, tanpa adanya known medical intervention yang boleh mencegah atau merawat, perkiraan yang betul tidaklah sebatas pentarifan nas syarak semata-mata, tetapi wajib didasari realiti semasa. Apalagi ia melibatkan risiko musibah wabak yang membawa maut, terutama bagi golongan dengan comorbidity. Walaupun syariat Islam bukanlah semata-mata memelihara maslahat manusia, syariat Islam juga tidak harus dilihat bertentangan dengan pemeliharaan kemaslahatan manusia sehingga ke tahap merisikokan nyawa sendiri dah orang lain. Ini lah yang saya maksudkan "non-binary".
Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Yang penting, jangan terlalu taksub sehingga langsung tidak memperkirakan apa-apa pandangan lain. Dalam dunia intelektual, orang yang matang akan memperkirakan hujah ilmiah dari pelbagai sudut, sebelum membuat konklusi.