Tuesday, June 26, 2012

Dawlah Islam Yang Hakiki- KHILAFAH


     Untuk mengkaji "negara Islam" sebagai wacana politik dan kenegaraan dalam perspektif Islam, maka perlu mengkaji beberapa persoalan penting yang berkenaan dengan sejarah penggunaan istilah "Negara Islam" dalam wacana pemikiran Islam. Penggunaan istilah dawlah, dawlah Islamiah, al khilafahdarl al-Islam dan Bilad Islamiah sering digunakan untuk merujuk makna yang sama. Penulisan ini cuba merungkiakan Hakikat "Negara Islam" yang sebenar ketika muncul tuduhan istilah dawlah tidak ada dalam al-Quran dan Sunnah dan ada pula pihak yang menggambarkan "Negara Islam" dengan gambaran yang bercanggah dengan Islam.

     Perkataan dawlah dalam bahasa arab untuk menterjemahkan perkataan state dalam Bahasa Inggeris belum pernah digunakan oleh orang arab khususnya zaman permulaan Islam. Quran menggunakan perkataan dulah dalam konteks mal (kekayaan). Menurut Ibn al-Manzur yang menghimpun semua perkataan arab yang asli dalam karyanya Lisan al-Arab juga membuktikan perkataan dawlah tidak pernah digunakan oleh orang arab dengan pengertian state.

     Sekalipun tidak dapat dipastikan dengan jelas bila perkataan dawlah dengan pengertian state diperkenalkan kepada kaum muslimin, antara yang terawal menggunakan istilah ini ialah Ibn Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah Ibn Khaldun pada 779 H atau sekitar abad ke-8 H. Sekalipun demikian, Ibn Khaldun mengasingkan pembahasan ad-dawlah (negara), al-mulk (kerajaan) dengan al-khilafah wa al imamah.

     Plato dan Aristotle tidak mentakrifkan state (negara), kecuali menerangkan gagasan umum tentang sebuah negara yang mereka idam-idamkan. Plato menerangkan, negara lahir sebagai akibat manusia yang saling memerlukan dan pembahagian kerja secara sosial. Sementara aristotle berpendapat, negara merupakan organisasi tubuh dengan desa2 dan keluarga sebagai komponennya.

     Mungkin kerana perkataan state mempunyai ciri2 pembahagian kekuasaan politik dan sebagainya, perkataan tersebut diterjemah kepada lafaz dawlah yang memiliki ciri2 al-udbah (penggiliran) dan al-ghalabah (kemenangan/kekuasaan). Dengan demikian, perkataan dawlah bukanlah perkataan yang dinyatakan oleh nas dan untuk mentakrifkannya tidak dapat berpandukan nas itu kecuali berpandukan realiti bahawa negara merupakan kumpulan manusia dengan ciri2nya.

     Sekalipun kekuatan (al-ghalabah) atau kekuasaan (al-sultah) dijalankan oleh orang tertentu, ia pasti bukan berasal dari seorang malainkan dari sekelompok manusia yang merupakan entiti atau struktur. Dengan realiti manusia dan tabiat kekuatan maka perkataan dawlah dapat ditakrifkan sebagai: Entiti dan struktur (kiyan) pentadbiran yang berfungsi menerapkan kumpulan pemahaman (mafahim), standard (maqayis) dan qana'ah diyakini dan diterima oleh umat.

     Takrifan ini merupakan realiti sebuah negara, ia boleh dipakai untuk negara kapitalis, sosialis mahupun Islam. Berdasarkan pemahaman, standard dan qana'ah inilah identiti sesebuah negara dapat ditentukan.

     Dengan demikian dapat dikatakan perkataan dawlah memang tidak terdapat dalam nas syarak tetapi tidak bererti keterangan berkenaan dengan realiti tersebut tidak ada dalam Islam kerana Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Yang benar, realiti yang dimaksudkan oleh perkataandawlah (negara) diterangkan dengan menggunakan perkataan yang unik, iaitu al -khilafah.

     Perkataan al-khilafah terdapat dalam hadis riwayat al-Bazzar:
"Sesungguhnya permulaan (urusan) agama kamu adalah bermula dengan kenabian dan rahmat, kemudian akan ada khilafah dan rahmat, kemudian akan ada kerajaan dan kesengsaraan (jabariah).

     Perkataan Khilafah dalam hadis di atas menunjukkan sistem pemerintahan. Dalam hadis sahih riwayat Imam Muslim juga menyatakan:
" Dahulu Bani Israel dipimpin oleh para nabi, apabila para nabi itu wafat, mereka digantikan oleh nabi yang baru. Sedangkan setelahku, tidak ada lagi seorang nabi dan akan ada Khilafah yang banyak"

     Hadis ini menerangkan fasa pemerintahan yang pertama adalah pemerintahan dengan sistem kenabian tetapi setelah tidak ada lagi nabi yang diutus, sistem itu diteruskan oleh Khilafah (jamaknyakhulafa') iaitu orang yang menjawat jawatan pengurusi, al-khilafah. Juga difahami bahawa sistem yang diwariskan oleh nabi untuk menguruskan umatnya adalah sistem khilafah yang menjadi pewaris nabi dalam urusan pemerintahan dan bukannya kenabian. Ini kerana urusan kenabian itu merupakan lantikan Allah sedangkan masalah pemerintahan adalah perlantikan dari manusia.

     Ibn Khaldun menggunakan perkataan dawlah Islamiah (negara Islam) dengan perkataan dawlahyang disifatkan dengan sifat Islam untuk menyebut al-khilafah. Ini dapat difahami kerana perkataan dawlah itu bersifat umum meliputi Islam dan bukan Islam. Beliau membezakan siyasah aqliyyah (politik pemerintahan akal) dengan siyasah syr'iyah (politik dan pemerintahan syarak).

     Oleh kerana itu perkataan dawlah Islamiyyah (negara Islam) hanya mempunyai satu makna, iaitu al-khilafah sebagaimana maksud sarjana yang pertama menggunakan istilah ini. Sedangkan yang berlaku hari ini penggunaan perkataan "negara Islam" dengan makna selain al-khilafah merupakan kekeliruan sama ada ketidaktahuan tentang makna dawlah Islamiyyah atau kerana niat jahat untuk menipu umat Islam dari realiti sebenar.

     Perkataan dar al-Islam sesungguhnya merujuk kepada nas syarak iaitu as-sunnah. Untuk menjelaskan maksud penggunaan perkataan ini perlu diterangkan makna lafaz dar itu sendiri. Dari segi makna bahasa, lafaz dar bererti al-mawdi (tempat), kabilah dan sebahagian lagi dengan makna syarak (al-haqiqah as-as-syar'iyyah). Ada dua hadis yang menjadi perbincangan ahli fiqah dalam hal ini:

1. Hadis riwayat an-Nasai
"Dahulu Madinah adalah Dar Syirik (negeri kufur).

2. Hadis Riwayat Muslim
"Ajaklah mereka kepada Islam. Jika mereka memenuhi ajakan mu terimalah mereka, dan cegahlah (tanganmu) untuk memerangi mereka.Kemusdian ajaklah mereka untuk berhijrah dari negeri mereka (negeri kufur) kepada negeri kaum Muhajirin (negeri Islam) dan beritahukanlah kepada mereka, jika mereka melakukan yang berkenaan, mereka berhak memperolah hak dan kewajipan yang sama dengan kaum muhajirin".

     Kenyataan Rasulullah dalam nas yang pertama setelah Madinah menjadi Dar al Islam setelah wilayah itu menerapkan hukum Islam secara menyeluruh dengan baginda SAW dan kaum muslimin memegang "keamanan" untuk urusan dalaman dan luaran. Rahsia perintah baginda memerintah orang yang telah memeluk Islam untuk berhijrah dari negeri mereka yang tidak menerapkan hukum Islam kepada negeri yang menerapkan hukum Islam (Madinah) adalah kerana mereka bukan pemegang keamanan di negeri mereka.

     Berdasarkan hadis diatas, ulama fikah menerangkan status dar al-Islam dengan dar-kufur dengan standard penerapan hukum Islam dan keamanan. Dapat disimpulkan perkataan daral-Islam berertibilad (negeri), wilayah atau daerah al-khilafah yang mempunyai kekuasaan yang merdeka dari semua bentuk pengaruh asing dalam mewujudkan keamanan dalam urusan dalaman dan luar dan menerapkan hukum Islam secara kaffah.

     Berdasarkan huraian diatas, didapati tidak wujudpun satu negara pada hari ini yang menepati realitiad-adwlah Islamiyyah atau al-Khilafah. Begitu juga ketika ini tidak wujud satu negeri atau wilayahpun yang menepati realiti yang dimaksudkan dar al-Islam (Negeri Islam). Yang ada hari ini hanyalah realiti yang dimaksudkan oleh perkataan bilad Islamiyyah.Wallahualam

Adaptasi dari jurnal Liwa' Ul Haq Bilangan 1, tulisan Hafidz Abdurrahman

1 comment: