Wednesday, July 18, 2012

Hukum Syara' Berkenaan Penetapan Awal dan Akhir Ramadan Dengan Ru’yatul Hilal



Sebagai bulan yang penuh keberkatan, rahmat dan keampunan, bulan Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya oleh umat Islam. Namun pada setiap tahun umat Islam berbeza-beza ketika menetapkan tarikh permulaan bulan Ramadan dan juga berbeza  ketika menentukan tarikh permulaan bulan Syawal. Masalah ini  bukan sahaja terjadi di peringkat Asia Tenggara malah berlaku di seluruh dunia Islam pada umumnya. Bagaimanakah kita menyelesaikan masalah perbezaan ini?
Jawapan:


’Sabab’ Perlaksanaan Puasa: Ru’yah Hilal                                                                                                         

Telah dimaklumi umum bahawa puasa Ramadan merupakan ibadah yang wajib ditunaikan setiap mukallaf (orang yang baligh dan berakal). Allah subhanahu wa taala telah berfirman:

 
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
"Bulan Ramadan, di dalamnya diturunkan al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan sebagai penjelasan-penjelasan bagi petunjuk dan sebagai pembeza (antara yang hak dan yang batil). Maka, barangsiapa di antara kamu berada di bulan itu , maka hendaklah ia berpuasa". (TMQ al-Baqarah [2]: 183-185).

Daripada Ibnu Umar radiallahu anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

 
بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
"Islam dibangunkan atas lima perkara: Kesaksian bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji, dan berpuasa di bulan Ramadan" (HR al-Bukhari no. 7; Muslim no. 21; al-Nasa’i no. 4915; Ahmad no. 4567).

Berdasarkan ayat Quran dan hadis di atas serta dalil-dalil yang lain, puasa Ramadan merupakan suatu ibadah yang wajib ditunaikan. Sebagaimana kedudukan puasa sebagai ibadah, syara’ bukan sekadar menjelaskan status hukumnya (iaitu fardhu ‘ain), tetapi ia juga secara menyeluruh  dan terperinci menjelaskan tentang tatacara perlaksanaannya, baik berkenaan  al-sababal-syarthal-mani’al-shihah wa al-butlan, dan al-‘azimah wa al-ruksahnya.

Berkenaan sabab puasa Ramadan (iaitu sebab dilaksanakan sesuatu hukum), syara’ telah  menjelaskan bahawa ru’yah al-hilal merupakan sabab bermulanya dan berakhirnya puasa Ramadan. Apabila bulan tidak dapat di-ru’yah (dilihat) maka puasa dilakukan setelah istikmal (digenapkan) bulan Sya’ban kepada 30 hari. Ketetapan ini berdasarkan kepada banyak dalil-dalil. Di antaranya adalah hadis-hadis berikut:

 
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ

"Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian terlindung (terhalang oleh awan), maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban menjadi 30 hari". (HR. Bukhari no. 1776 dari Abu Hurairah).
 
إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ
"Apabila kamu melihatnya (hilal), maka berpuasalah; dan apabila kamu melihatnya (hilal), maka berbukalah. Jika ada mendung menutupi kalian, maka hitunglah". (HR al-Bukhari no. 1767 dari Abu Hurairah)

 
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمِّيَ عَلَيْكُمْ الشَّهْرُ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ
"Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian terhalang oleh mendung, maka hitunglah tiga puluh hari". (HR Muslim no.1810, dari Abu Hurairah ra.)

 
لاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ
"Janganlah kalian berpuasa sehingga melihat hilal, jangan pula kalian berbuka sehingga melihatnya, jika kalian terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah hitungannya (bulan) menjadi tiga puluh hari".(HR. Bukhari no. 1773, Muslim no. 1795, al-Nasai no. 2093; dari Abdullah bin Umar ra.).

 
لاَ تُقَدِّمُوا الشَّهْرَ بِصِيَامِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ شَيْءٌ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ وَلاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْهُ ثُمَّ صُومُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ حَالَ دُونَهُ غَمَامَةٌ فَأَتِمُّوا الْعِدَّةَ ثَلاَثِينَ ثُمَّ أَفْطِرُوا وَالشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ

"Janganlah kalian mendahului bulan Ramadan dengan berpuasa satu atau dua hari kecuali seseorang di antara kalian yang biasa berpuasa padanya. Dan janganlah kalian berpuasa sehinggalah melihatnya (hilal). Jika ia (hilal) terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah bilangan tiga puluh hari kemudian berbukalah (ber‘Eidul Fitri) dan satu bulan itu 29 hari". (HR. Abu Dawud no. 1982, al-Nasa’i 1/302, at-Tirmidzi 1/133, al-Hakim 1/425, dari Ibnu Abbas dan dishahihkan sanadnya oleh al-Hakim dan disetujui oleh al-Dzahabi)
 
إِنَّمَا الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ فَلَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْهُ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدِرُوا لَهُ
"Sesungguhnya bulan itu ada 29 hari, maka janganlah kalian berpuasa sehingga melihatnya (hilal). Dan janganlah kalian berbuka sehingga melihatnya (hilal). Apabila mendung menutupi kalian, maka perkirakanlah.” (HR. Muslim 1797, HR Ahmad no. 4258, al-Darimi no. 1743, al-Daruquthni no. 2192, dari Ibnu Umar ra).

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, para fuqaha berkesimpulan bahawa penetapan awal dan akhir Ramadan adalah didasarkan kepada ru’yah al-hilal (melihat anak bulan). Imam al-Nawawi menyatakan,“Tidak wajib berpuasa Ramadan kecuali dengan melihat hilal. Apabila mereka dilitupi mendung, maka mereka wajib menyempurnakan Sya’ban (menjadi tiga puluh hari), kemudian mereka berpuasa".[1]

Ali al-Shabuni berkata, “Bulan Ramadan ditetapkan dengan ru’yah hilal, sama ada  melalui (kesaksian hilal oleh) seseorang yang adil atau dengan menyempurnakan hitungan Sya’ban menjadi tiga puluh hari; dan tidak dianggap dengan hisab dan astronomi; berdasarkan sabda Rasulullah sallallhu ’alaihi wassalam. ‘Sumû li ru’yatihi wa afthirû li ru’yatihi…”.[2]

Menurut pendapat jumhur, kesaksian ru’yah hilal Ramadan dapat diterima dari seorang saksi Muslim yang adil.[3] Ketetapan itu didasarkan oleh beberapa hadis Nabi Sallallahu ’alaihi wa Sallam. Dari Ibnu Umar radiallahu anhu:

 
تَرَاءَى النَّاسُ الْهِلَالَ فَأَخْبَرْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنِّي رَأَيْتُهُ فَصَامَهُ وَأَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ
"Orang ramai telah melihat hilal, kemudian aku sampaikan kepada Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam, 'Sesungguhnya aku melihatnya (hilal)'. Kemudian beliau berpuasa dan memerintahkan orang ramai untuk berpuasa". (HR Abu Dawud no. 1995; al-Darimi no, 1744; dan al-Daruquthni no. 2170).

Dalam hadis ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa berdasarkan kesaksian Ibnu Umar radiallahu anhu. Ini bermakna, kesaksian seorang Muslim dalam ru’yah hilal boleh diterima.

Dari Ibnu Abbas radiallahu anhu:

 
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي رَأَيْتُ الْهِلَالَ قَالَ أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ أَتَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ قَالَ نَعَمْ قَالَ يَا بِلَالُ أَذِّنْ فِي النَّاسِ أَنْ يَصُومُوا غَدًا
"Telah datang seorang Arab Badwi kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, 'Sungguh aku telah melihat hilal'. Rasulullah bertanya, 'Adakah engkau bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah?' Orang tersebut menjawab, 'Ya'. Lalu Rasulullah bersabda, 'Wahai Bilal, umumkan kepada manusia agar mereka berpuasa esok.” (HR Imam yang lima, disahihkan oleh Khuzaimah & Ibnu Hibban).

Dalam hadis tersebut diberitakan, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak sebarangan dalam menerima kesaksian seseorang tentang ru’yah. Sebaliknya beliau hanya mahu menerima kesaksianru’yah orang itu setelah diketahui bahawa dia adalah seorang Muslim. Sekiranya status Muslim tidak menjadi syarat diterimanya kesaksian ru’yah Ramadan, maka sudah pasti Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak perlu melontarkan pertanyaan mempersoalkan keislamannya

Tidak Terikat dengan
Matla’
Perbincangan berikutnya adalah berkenaan dengan matla’ (tempat melihat bulan). Sebahagian ulama Syafi’iyyah berpendapat, jika sesuatu kawasan melihat bulan, maka daerah-daerah yang termasuk dalam jejari 24 farsakh dari pusat ru’yah boleh mengikut hasil ru’yah daerah tersebut. Manakala daerah-daerah yang berada di luar daripada jejari kawasan itu boleh melakukan ru’yahnya sendiri dan tidak perlu mengikuti hasil ru’yah daerah yang lain.

Pendapat tersebut disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan dari Kuraib:

 
أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بَعَثَتْهُ إلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ فَقَالَ : فَقَدِمْتُ الشَّامَ فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ ، ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ : مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ ؟ فَقُلْتُ : رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ، فَقَالَ : أَنْتَ رَأَيْتَهُ ؟ فَقُلْتُ : نَعَمْ ، وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ ، فَقَالَ : لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ أَوْ نَرَاهُ ، فَقُلْتُ : أَلَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ ؟ فَقَالَ : لَا ، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
"Bahawa Ummul Fadl telah mengutusnya untuk menemui Mu’awiyah di Syam. Kuraib berkata, 'Aku memasuki Syam lalu menyelesaikan urusan Ummul Fadhl. Ternyata bulan Ramadan tiba sedangkan aku masih berada di Syam. Aku melihat hilal pada malam Jumaat. Setelah itu aku memasuki kota Madinah pada akhir bulan Ramadan. Ibnu ‘Abbas lalu bertanya kepadaku dan menyebut persoalan hilal’. Dia bertanya, ‘Bilakah kalian melihat hilal?’ Aku menjawab, ‘Kami melihatnya pada malam Jumaat.’ Dia bertanya lagi, ‘Adakah kamu sendiri melihatnya?’ Aku menjawab lagi, ‘Ya, dan orang ramai juga melihatnya. Lalu mereka berpuasa, begitu juga Mu’awiyah.’ Dia berkata lagi, ‘Tapi kami (di Madinah) melihatnya pada malam Sabtu. Maka kami terus berpuasa setelah kami menyempurnakan bilangan tiga puluh hari atau sehingga kami melihatnya (hilal).’ Lalu aku bertanya, ‘Tidak cukupkah kita berpedoman pada ru’yah dan (mengikut) puasa Mu’awiyah?’ Dia menjawab, ‘Tidak, (sebab) demikianlah Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam telah memerintahkan kepada kami’. ( HR. Muslim no. 1819; Abu Dawud no. 1985; at-Tirmidzi 629; al-Nasa’i no. 2084; Ahmad no. 2653).

Hadis yang diriwayatkan oleh Kuraib ini dijadikan sebagai dalil bagi membolehkan kita untuk mempunyai perbezaan dalam penentuan awal dan akhir Ramadan kerana disebabkan perbezaan matla’. Apabila dikaji dengan lebih teliti, sesungguhnya pendapat sebegini mengandungi beberapa kelemahan. Antaranya:

Pertama, dalam hadis ini terdapat syubhat, adakah hadis ini tergolong sebagai hadis marfu’ ataumauquf. [Hadis Marfu' adalah hadis yang sanad/jalurnya sampai kepada Nabi manakala Hadis Mauqufadalah hadis yang sanadnya terhenti setakat sahabat sahaja]. Jika diteliti dari segi lafaznya, perkataan Ibnu ‘Abbas iaitu “Hakaza amarana Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam” (demikianlah Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam memerintahkan kepada kami), seolah-olah menunjukkan ia sebagai hadis marfu’. Namun jika dikaitkan dengan munculnya perkataan itu, kesimpulan sebagai hadis marfu’ perlu dipersoalkan.

Jika diteliti, perkataan “La, hakaza amarana Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam”,  ia merupakan jawapan daripada Ibnu Abbas terhadap pertanyaan Kuraib dalam mengungkapkan suatu peristiwa yang terjadi pada waktu beliau, iaitu terjadinya perbezaan antara penduduk Madinah dan penduduk Syam dalam mengawalkan puasa. Penduduk Syam melihat hilal pada malam Jumaat, sementara penduduk Madinah melihatnya pada malam Sabtu. Ketika kejadian itu ditanyakan kepada Ibnu Abbas, mengapa penduduk Madinah tidak mengikuti ru’yah penduduk Syam sahaja, kemudian keluarlah jawapan Ibnu Abbas tersebut.

Bertitik tolak dari kisah tersebut, maka kemarfu’an hadis ini perlu dipersoalkan: “Adakah peristiwa yang serupa memang pernah terjadi pada waktu Rasulullah sallallahu ’alaihi wassalam dan adakah demikian keputusan baginda Sallallahu ’alaihi wa Sallam dalam menentukan keputusan berkenaan perbezaan itu?” “Atau adakah itu merupakan kesimpulan Ibnu Abbas atas sabda Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam tentang  penentuan awal dan akhir Ramadan, sehingga menjadikan perkataan Ibnu Abbas itu merupakan penerapan hasil ijtihad beliau terhadap kejadian  ini?”

Di sinilah berlakunya syubhat hadis ini, adakah tergolong sebagai status marfu’ atau mauquf. Untuk menjadi lebih jelas, kita boleh membandingkan hadis ini dengan hadis lain yang tidak mengandungisyubhat, yang sama-sama menggunakan ungkapan “amarana Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam”. Hadis dari Ibnu Umar yang berkata:
 
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِزَكَاةِ الْفِطْرِ أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ
"Rasulullah sallallahu ’alaihi wassalam memerintahkan kami dalam zakat fitrah agar ditunaikan sebelum keluarnya orang ramai  untuk solat". (HR Abu Dawud).

Hadis ini tidak diragui sebagai hadis marfu’. Ini disebabkan hadis ini mempunyai suatu ketentuan hukum atas suatu perbuatan. Berbeza halnya dengan hadis Ibnu Abbas di atas, yang mengandungi jawapan beliau tentang suatu kejadian yang terjadi di waktu beliau. Dapat dilihat bahawa perkataan Ibnu Abbas tersebut merupakan ijtihad beliau dalam membuat kesimpulan terhadap kejadian yang terjadi pada ketika itu. Kesimpulan tersebut juga disampaikan oleh sebahagian ulama, seperti asy-Syaukani yang menggolongkan hadis ini sebagai ijtihad Ibnu Abbas.[4]

Sebagai suatu 'ijtihad', kaum Muslimin diperbolehkan untuk bertaklid kepada ijtihad Ibnu Abbas. Namun jika ia diambil untuk dijadikan sebagai 'dalil syarak' di mana darinya digali hukum-hukum syara’, jelas ini tidak diperbolehkan. Ini adalah kerana sahabat Nabi bukanlah orang yang ma’sum. Ijtihadnya tidak termasuk sebagai dalil syara’.[5] Dalil syarak hanya digali (sumbernya) dari Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya dari Ijtihad seorang sahabat.

Kedua, jika dalam hadis ini kaum Muslimin diizinkan untuk mengikut ru’yah di daerah masing-masing, pertanyaan seterusnya yang akan muncul adalah: “Berapakah jarak minimum (jarak terdekat) di antara satu daerah dengan daerah yang lain yang mana  mereka diperbolehkan untuk berbeza?” “Jika dalam hadis tadi jarak antara Madinah dan Syam diperbolehkan bagi penduduknya untuk berbeza ketika memulakan  dan menamatkan puasa, bagaimana pula jika jaraknya lebih dekat?” Hadis ini juga tidak memberikan jawapannya. Oleh kerana itu, para ulama yang menggunakan hadis Kuraib ini pun berbeza pendapat tentang jarak minimumnya (jarak terdekatnya).

Ada yang mengatakan jarak yang diperbolehkan untuk berbeza puasa itu adalah perbezaan matla’. Ini ditegaskan oleh ulama Iraq dan dibenarkan oleh an-Nawawi dalam al-Raudhah dan Syarh al-Muhadzdzab. Ada pula yang menggunakan ukuran jarak mengqasarkan solat. Hal ini ditegaskan Imam al-Baghawi dan dibenarkan oleh al-Rafi’i dalam as-Saghir dan an-Nawawi dalam Syarh al-Muslim. Selain itu ada juga yang membezakan pada perbezaan faktor iklim dan sebagainya. Perlu diberi perhatian, semua batasan perbezaan jarak tersebut tidak ada yang didasarkan pada nas yang sarih (jelas).

Berdasarkan dua alasan ini, maka hadis Kuraib tidak boleh dijadikan sebagai 'dalil syarak' bagi membolehkan adanya perbezaan penetapan awal dan akhir puasa berdasarkan perbezaan matla’. Dalam penetapan awal dan akhir puasa, adalah lebih tepat jika menggunakan dalil-dalil hadis yang jelasmarfu’ kepada Nabi Sallallahu ’alaihi wa Sallam. Imam al-Amidi mengatakan, “Hadis yang telah disepakati kemarfu’annya lebih kuat daripada hadis yang masih diperselisihkan kemarfu’annya. Hadis yang dituturkan dengan lafaz asli dari Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam lebih kuat daripada hadis yang diriwayatkan bil makna (melalui makna).”[6]

Berkaitan hadis dari Ibnu Abbas, terdapat hadis lain yang diriwayatkan oleh beliau sendiri yang tidak diragukan kemarfu’annya, seperti hadis:

 
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَصُومُوا قَبْلَ رَمَضَانَ صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ حَالَتْ دُونَهُ غَيَايَةٌ فَأَكْمِلُوا ثَلَاثِينَ يَوْمًا
"Dari Ibnu ‘Abbas radiallahu anhu berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, 'Janganlah kalian berpuasa sebelum Ramadan. Berpuasalah kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kerana melihatnya (hilal). Jika ia (hilal) terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah bilangan tiga puluh hari.” (HR at-Tirmidzi no. 624; Ibnu Hibban no. 2301)

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang tidak diragukan kemarfu’annya. Berdasarkan hadis-hadis tersebut, kaum Muslimin diperintahkan untuk berpuasa dan berbuka kerana ru’yah hilal semata-mata dan bukan kerana selainnya. Semua perintah dalam hadis tersebut berbentuk umum. Hal itu dapat dilihat daripada seruan hadis-hadis itu yang menggunakan perkataan sumu dan afthiru (dhamir jama’ahberbentuk waw al-jama’ah). Pihak yang diseru oleh hadis tersebut adalah seluruh kaum Muslimin. Disebabkan ia berbentuk umum, maka seruan hadis ini berlaku umum untuk seluruh kaum Muslimin, tanpa wujudnya perbezaan antara orang Syam dengan orang Hijaz, antara orang Indonesia dengan orang Iraq, orang Mesir dengan Pakistan.

Demikian juga, perkataan li ru’yatihi (kerana melihatnya). Perkataan ru’yah adalah ism al-jins. Ketikaism al-jins itu di-mudhaf-kan, termasuk kepada dhamir (kata ganti), maka perkataan itu termasuk dalamsighah umum, [7] yang memberikan makna ru’yah sesiapa sahaja. Ini bererti, apabila sudah ada orang yang melihat hilal, tidak kira sesiapa pun asalkan dia  seorang Muslim yang adil, maka kesaksiannya itu mewajibkan Muslimin yang lain untuk berpuasa dan berbuka. Terlihatnya hilal Ramadan atau hilalSyawal oleh seorang Muslim tidak kira di mana pun ia berada, maka ru’yah tersebut mewajibkan seluruh kaum Muslimin untuk berpuasa dan berbuka, tanpa terkecuali. Tidak kira sama ada seseorang itu tinggal di negeri yang dekat atau negeri yang jauh dari tempat terjadinya ru’yah.

Imam asy-Syaukani mengatakan,
“Sabda baginda ini tidaklah dikhususkan untuk penduduk sesuatu daerah tertentu tanpa menyertakan daerah yang lain. Bahkan sabda baginda ini merupakan khitab (seruan) yang ditujukan kepada sesiapa sahaja di antara kaum Muslimin di mana khitab (seruan) itu telah sampai kepadanya. ‘Apabila penduduk sesuatu negeri telah melihat hilal, maka (dianggap) seluruh kaum Muslimin telah melihatnya. Ru’yah penduduk negeri itu berlaku bagi kaum Muslimin yang lain’.”
Imam asy-Syaukani menyimpulkan, “Pendapat yang layak dijadikan pegangan adalah, apabila penduduk sesuatu negeri telah melihat bulan sabit (hilal), maka ru’yah ini berlaku juga untuk seluruh negeri-negeri yang lain.”[8]

Imam asy-Shan’ani berkata, “Makna dari ucapan ‘kerana melihatnya’ adalah “apabila ru’yah dilihat di antara kalian”. Hal ini menunjukkan bahawa ru’yah pada sesuatu negeri adalah ru’yah bagi semua penduduk negeri dan hukumnya adalah wajib.”[9]

Pemahaman tersebut juga dikuatkan oleh beberapa hadis yang menunjukkan tidak berlakunya perbezaan matla’. Diriwayatkan daripada sekumpulan sahabat Ansar:
 
غُمَّ عَلَيْنَا هِلَالُ شَوَّالٍ فَأَصْبَحْنَا صِيَامًا فَجَاءَ رَكْبٌ مِنْ آخِرِ النَّهَارِ فَشَهِدُوا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ رَأَوْا الْهِلَالَ بِالْأَمْسِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُفْطِرُوا مِنْ يَوْمِهِمْ وَأَنْ يَخْرُجُوا لِعِيدِهِمْ مِنْ الْغَدِ
"Hilal bulan Syawal tertutup oleh mendung bagi kami sehinggakan kami tetap berpuasa pada keesokan harinya. Menjelang petang datanglah beberapa musafir dari Mekah ke Madinah. Mereka memberikan kesaksian di hadapan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa mereka telah melihat hilal semalam (petang). Maka Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam memerintahkan mereka (kaum Muslimin) untuk segera berbuka dan melaksanakan solat ’Eid pada keesokan harinya". (HR Ahmad disahihkan oleh Ibnu Mundir dan Ibnu Hazm).

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam memerintahkan kaum Muslimin agar membatalkan puasa setelah mendengar informasi ru’yah hilal bulan Syawal dari beberapa orang yang berada di luar Madinah al-Munawarah. Peristiwa itu terjadi ketika ada serombongan orang dari luar Madinah yang memberitakan bahawa mereka telah melihat hilal Syawal di suatu tempat di luar Madinah al-Munawarah sehari sebelum mereka sampai ke Madinah. Daripada Ibnu ‘Abbas:

 
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي رَأَيْتُ الْهِلَالَ قَالَ الْحَسَنُ فِي حَدِيثِهِ يَعْنِي رَمَضَانَ فَقَالَ أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ قَالَ نَعَمْ قَالَ أَتَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ قَالَ نَعَمْ قَالَ يَا بِلَالُ أَذِّنْ فِي النَّاسِ فَلْيَصُومُوا غَدًا
“Datang seorang Badwi kepada Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam sambil berkata, 'Sesungguhnya aku telah melihat hilal. (Hasan, perawi hadis menjelaskan bahawa hilal yang dimaksudkan oleh orang Badwi tersebut adalah hilal Ramadan). Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam bersabda, 'Adakah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah?' Dia berkata, 'Benar.' Baginda meneruskan pertanyaannya seraya berkata, 'Adakah  engkau bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah?' Dia berkata, 'Ya benar.' Kemudian Rasulullah bersabda, 'Wahai Bilal umumkan kepada orang ramai untuk berpuasa esok.' (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi, disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban).

Dalam hadis tersebut, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak menanyakan asal-usul si saksi, adakah dia melihatnya di daerah matla’ yang sama dengan baginda atau berjauhan. Akan tetapi baginda terus memerintahkan kaum Muslimin untuk berpuasa setelah orang yang melakukan/melihatru’yah itu adalah seorang Muslim.

Berdasarkan beberapa perbahasan tersebut, maka pendapat yang rajih adalah pendapat yang tidak mengakui bolehnya perbezaan matla’. Pendapat ini juga dipilih oleh jumhur ulama, yakni dari kalangan Hanafiyyah, Malikiyyah, dan Hanabilah. Mereka tidak menganggap adanya perbezaan penentuan awal dan akhir puasa disebabkan perbezaan matla’.[10] Ketiga-tiga mazhab (Abu Hanifah, Maliki, Ahmad) itu berpendapat bahawa awal Ramadan ditetapkan berdasarkan ru’yah, tanpa mempertimbangkan perbezaan matla’.

Sayyid Sabiq menyatakan, “Menurut jumhur, tidak dianggap wujudnya perbezaan matla’ (ikhtilaf al-mathali’). Oleh kerana itu apabila  penduduk sesuatu negeri melihat hilal, maka wajib ke atas seluruh negeri berpuasa kerana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, ”Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbukalah kerana melihatnya.” Seruan ini bersifat umum mencakupi seluruh umat. Jadi sesiapa sahaja di antara mereka yang melihat hilal; di tempat mana sekalipun, maka ru’yah itu berlaku bagi mereka kesemuanya.”[11]

Abdurrahman al-Jaziri mengatakan, “Apabila ru’yah hilal telah terbukti di salah satu negeri, maka negeri-negeri yang lain juga wajib berpuasa. Dari segi pembuktiannya, tidak ada lagi perbezaan antara negeri yang dekat dengan yang jauh apabila (berita) ru’yah hilal itu memang telah sampai kepada mereka dengan cara (dipercayai) yang mewajibkan puasa. Tidak diperhatikan lagi di sini wujudnya perbezaan matla’ hilal secara mutlak. Demikianlah pendapat tiga imam mazhab (Abu Hanifah, Malik, Ahmad). Para pengikut mazhab Syafi’i mempunyai pendapat yang lain. Mereka mengatakan, ‘Apabila ru’yah hilal di sesuatu daerah telah terbukti, maka atas dasar pembuktian ini, penduduk yang terdekat di sekitar daerah tersebut wajib berpuasa. Ukuran dekatnya di antara dua daerah diukur mengikut kesamaan matla’, iaitu jarak kedua-duanya kurang dari 24 farsakh. Adapun penduduk daerah yang jauh, maka mereka tidak wajib berpuasa dengan ru’yah ini, kerana terdapat perbezaan matla’.”[12].

Al-Qurthubi menyatakan, “Menurut mazhab Malik rahimahullah – diriwayatkan oleh Ibnu Wahab dan Ibnu al-Qasim – apabila penduduk kota Basrah (Iraq) melihat hilal Ramadan, lalu berita itu sampai ke Kufah, Madinah, dan Yaman, maka wajib atas kaum Muslimin berpuasa berdasarkan ru’yah tersebut. Atau melakukan qadha puasa jika berita tersebut terlambat sampai.”[13]

Tentang pendapat mazhab Hanafi, Imam Hashfaky menyatakan, “Bahawasanya perbezaan matla’ tidak dapat dijadikan pegangan. Begitu juga melihat bulan sabit di siang hari, sebelum zohor, atau menjelang zohor. Dalam soal ini, penduduk di wilayah Timur (benua Asia) harus mengikuti (ru’yah) kaum Muslimin yang berada di Barat (Timur Tengah) jika ru’yah mereka dapat diterima (sah) menurut syara’ “.[14]

Tidak jauh berbeza menurut mazhab Hanbali, apabila ru’yah telah terbukti di suatu tempat yang jauh atau dekat, maka seluruh kaum Muslimin wajib mengikut melakukan puasa Ramadan.[15]

Sebahagian pengikut mazhab Maliki, seperti Ibnu al-Majisyun menambahkan syarat, ru’yah itu harus diterima oleh seorang Khalifah. “Tidak wajib ke atas penduduk sesuatu negeri untuk mengikut rakyat negeri lain kecuali hal itu telah terbukti diterima oleh al-Imam al-A’zham (Khalifah). Setelah itu, seluruh kaum Muslimin wajib berpuasa. Ini adalah kerana  seluruh negeri bagaikan satu negeri. Dan keputusan Khalifah berlaku bagi seluruh kaum Muslimin” [16]

Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa berkata, “Orang-orang yang mengatakan bahawa ru’yah tidak digunakan bagi kesemuanya (negeri-negeri yang lain) seperti kebanyakan pengikut-pengikut mazhab Syafi’i; dan di antara mereka ada yang menghadkan dengan jarak qasar solat, ada yang membataskan dengan perbezaan matla’ seperti Hijjaz dengan Syam, Iraq dengan Khurasan”, sesungguhnya kedua-duanya adalah lemah (dha’if) kerana jarak qasar solat tidak berkait dengan hilal…Apabila seseorang telah menyaksikan (hilal) pada malam ke-30 bulan Sya’ban di sesuatu tempat, baik dekat mahu pun jauh, maka ia wajib berpuasa. Demikian juga sekiranya ia menyaksikan hilal pada waktu siang menjelang maghrib, maka ia wajib imsak (berpuasa) untuk waktu yang berbaki, sama sahaja baik untuk (negeri) satu iklim atau banyak iklim.”[17]

Jelaslah, menurut pendapat yang rajih dan dipilih jumhur, jika penduduk negeri-negeri Timur jauh (benua Asia) melihat bulan sabit Ramadan, maka ru’yah wajib diikuti oleh kaum Muslimin yang berada di negeri-negeri di sebelah Barat (Timur Tengah), tanpa terkecuali. Sesiapapun di kalangan kaum muslimin yang berhasil melakukan ru’yatul hilal, maka ru’yah tersebut merupakan hujah bagi orang yang tidak melihatnya. Kesaksian seorang muslim di suatu negeri tidak lebih utama dari kesaksian seorang muslim di negeri yang lain.

Akibat Nasionalisme dan Garis Sempadan Negara-Bangsa

Perlu diberi perhatian, perbezaan awal dan akhir puasa yang berlaku di negeri-negeri Islam sekarang ini bukanlah disebabkan oleh perbezaan matla’ sebagaimana yang dibahaskan oleh para ulama terdahulu. Ini adalah kerana, perbahasan ikhtilaf al-mathali’ (perbezaan matla’) oleh para fuqaha’ terdahulu adalah berkaitan tempat terbitnya bulan, sehingga yang diperhatikan adalah jarak satu daerah dengan daerah yang lain. Apabila suatu daerah itu berada pada jarak tertentu dengan daerah yang lain, maka penduduk dua daerah tersebut tidak harus berpuasa dan berbuka puasa. Sama sekali tidak dikaitkan dengan sempadan negara.
 
Berbeza halnya dengan saat ini. Perbezaan untuk memulakan dan mengakhiri Ramadan disebabkan oleh pembahagian dan persempadanan wilayah negeri-negeri Islam. Di setiap negeri Islam terdapat institusi pemerintah yang memiliki autoriti untuk menentukan itsbat (penetapan) awal dan akhir Ramadan. Biasanya sidang itsbat tersebut hanya mendengar kesaksian ru’yah hilal daripada orang-orang yang berada dalam wilayah negeri tersebut. Jika di negeri tersebut tidak ada seorang pun yang memberikan kesaksiannya tentang ru’yah hilal, maka ia terus digenapkan, tanpa menunggu terlebih dahulu adakah di negeri-negeri yang lain – bahkan yang berada di sebelahnya sekalipun – terdapat kesaksian dari warganya yang telah melihat hilal atau belum. Hasil dari keputusan tersebut maka ia diumumkan ke seluruh negeri masing-masing. Akibatnya, terjadilah perbezaan dalam memulakan dan mengakhiri puasa Ramadan antara negeri-negeri kaum Muslimin.

Kaum Muslimin di Riau tidak berpuasa bersama-sama dengan kaum Muslimin di Kuala Lumpur. Walhal perbezaan waktu antara kedua-dua kota itu tidak sampai satu jam. Sedangkan pada waktu yang sama kaum Muslimin di Acheh boleh pula berpuasa bersama-sama dengan kaum Muslimin di Papua.  Ini tentu sekali sesuatu yang amat ganjil. Penentuan awal dan akhir Ramadan berkait rapat dengan peredaran dan perputaran bumi, bulan dan matahari. Ia sama sekali tidak ada kaitan dengan sempadan negara yang dibuat oleh manusia serta boleh berubah-ubah. Jelaslah, perbezaan awal dan akhir puasa yang terjadi pada ketika ini lebih disebabkan oleh sempadan khayalan yang direka oleh negara-negara kafir setelah runtuhnya Daulah Khilafah Islamiyyah. Sempadan negara bangsa itu jugalah yang telah mengoyak-ngoyakkan kesatuan kaum Muslimin dalam naungan satu Khilafah menjadi lebih dari lima puluh negara-negara kecil.

Khatimah

Perbezaan awal dan akhir puasa di negeri-negeri Islam adalah merupakan salah satu gambaran sebenar keadaan kaum Muslimin sekarang. Walaupun mereka satu umat, namun secara nyatanya umat Islam itu berpecah-belah. Ditambah pula dengan sebatinya fahaman nasionalisme yang direalisasikan melalui pembentukan negara-bangsa (nation state) di negeri-negeri Islam, keberadaan Khilafah sebagai penyatu umat Islam sehingga kini masih belum berdiri (setelah Khilafah Islamiyyah terakhir di Turki diruntuhkan oleh kaum kuffar). Ketiadaan Khilafah inilah yang menjadikan kaum Muslimin berpecah-belah menjadi lebih dari lima puluh negara-negara kecil, di mana masing-masing sibuk dengan urusannya sendiri.

Justeru itu, penyelesaian mendasar yang sebenar dalam menyelesaikan semua permasalahan kaum Muslimin tersebut sebenarnya berada di tangan mereka sendiri, iaitu dengan melakukan usaha bersungguh-sungguh bersama-sama dengan para pejuang yang mukhlis (ikhlas) bagi menghidupkan semula kehidupan Islam melalui pengembalian kewujudan Daulah Khilafah, mengangkat seorang Khalifah untuk menyatukan negeri-negeri mereka dan menerapkan syariat Allah ke atas mereka, sehingga kaum muslimin bersama-sama Khalifah dapat memikul risalah Islam melalui jihad kepada seluruh umat manusia. Dengan demikian, kalimah-kalimah orang kafir akan menjadi rendah dan hina. Dan sebaliknya, kalimah-kalimah Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadi tinggi dan mulia. Kaum Muslimin dapat hidup dengan cara terhormat dan mulia di dunia, mendapat redha Allah Subhanahu wa Ta'ala serta memperoleh pahala dariNya di akhirat kelak. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
"Dan katakanlah, 'bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah Subhanahu wa Ta'ala) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan". (TMQ at-Taubah [9]: 105).

WaLlahu a’lam bis sawab
________________________________________
[1] al-Nawawi, al-Majmû’Syarh al-Muhadzdzab,6/269
[2] Ali al-Shabuni, Rawâi’ al-Bayân, 1/210
[3] Mahmud bin Abdul Lathif, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Shalâh, 28; Ali al-Shabuni, Rawâi’ al-Bayân, 1/210
[4] al-Syaukani, Nayl al-Awthâr,7/25
[5] Dalil syara yang mu’tabar adalah al-Kitab, al-Sunnah, Ijma’ Sahabat, dan Qiyas.
[6] al-Amidi, al-Ihkâm fi Ushûl al-Ahkâm, jld. 2/364.
[7] al-Amidi, al-Amidi, al-Ihkâm fi Ushûl al-Ahkâm, 1/329
[8] Lihat pula pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani; Fath al-Bârî; Bab Shiyâm.
[9] Al-Shan’ani, Subul al-Salâm, jld. 2, hal. 310.
[10] al-Shabuni, Rawâi’ al-Bayân, 1/210
[11] Sayyid Sabiq, Fiqh al- Sunnah, 1/368.
[12] al-Jaziri, al-Fiqh ‘alâ al-Madzhâhib al-Arba’ah, 1/550
[13] al-Qurthuby, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, 2/296.
[14] al-Hashfaky, “al-Durr al-Mukhtâr wa Radd al-Muhtâr”, 2/131-132
[15] Mughn al-Muhtâj, 2/223-224
[16] al-Syaukani, Nayl al- Authar, 2/ 218.
[17] Ibnu Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 25/104-105.

Dari: Zam Al-Fateh

No comments:

Post a Comment