Wednesday, October 9, 2013

Wanita Paling Ramai Menjadi Ahli Neraka

Berikut adalah himpunan hadis mengenai ramainya dari kalangan wanita yang dihumban ke Neraka:

1. “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” [Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim]

2. “Allah tidak akan melihat kepada wanita yang tidak mensyukuri apa yang ada pada suaminya dan tidak merasa cukup dengannya.” [HR Nasa’i]

3. “Wanita yang meminta cerai pada suaminya tanpa sebab (yang syar’ie) maka haram baginya mencium wangi Syurga.” [Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi ]

4. "...wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. 

Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” [Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad]

5. Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah s.a.w melihat Syurga dan Neraka.

Ketika beginda melihat Neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya: “ … dan aku melihat Neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” 
Baginda s.a.w menjawab : “Kerana kekufuran mereka.”

Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

Ketika beginda selesai berkhutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. dan anjuran untuk mentaatiNya. Baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda : 

“Bersedekahlah kamu semua. Kerana kebanyakan kamu adalah kayu api Neraka Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia pun bertanya : 
“Mengapa demikian, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab : “Kerana kamu banyak mengeluh dan kamu tidak taat terhadap suami.” [Hadis Riwayat Al- Bukhari]


6. Dalam hadis daripada Jabir bin Abdullah, katanya: “Aku hadir bersama-sama Rasulullah mengerjakan sembahyang pada hari raya (selepas sembahyang dan berkhutbah). Baginda kemudian pergi (ke barisan belakang) hingga sampai ke tempat kaum perempuan. Lalu Baginda menasihati dan mengingatkan mereka, serta Baginda (menggalakkan mereka bersedekah), sabdanya: “(Bersedekahlah kamu kerana sesungguhnya kebanyakan kamu menjadi kayu bakaran api neraka.”
Pada saat itu, seorang perempuan yang berkedut kedua-dua pipinya, bangun dari tengah kaum perempuan lalu bertanya: “Mengapa (kami dimurkai Allah seberat itu), Ya Rasulullah? “Baginda menjawab: “Kerana kamu selalu saja mengadu (tidak cukup nafkah), dan kamu pula tidak mengenang budi suami (sedikit pun).”
Jabir (rawi hadis ini) berkata: “Golongan perempuan itu pula tampil bersedekah barang perhiasan badan mereka, mereka meletakkan pada baju Bilal: subang dan anting-anting serta cincin mereka.” [Hadis riwayat Muslim]
Maka, ramai dari kalangan wanita "tidak berpuas hati" dengan perkara ini dan pihak orientalis dan musuh-musuh Islam mudah mempergunakan isu ini untuk menghentam Islam kononnya merendahkan mertabat kaum wanita.

Untuk lebih adil, kita tinjau pula beberapa hadis berikut:
1. “Perempuan apabila solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka masuklah dia akan syurga mana-mana pintu yang dikehendakinya.”[ Ibn Hibban,disahihkan oleh al-Albaniy]

2. “Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik-baik perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solehah.” [HR. Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad]

3. Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang): Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”
Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”

Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)

4. (Sebaik-baik wanita) adalah yang menyenangkan (suami)-nya jika ia melihatnya, mentaati (suami)-nya jika ia memerintahnya dan ia tidak menyelisihi (suami)-nya dalam hal yang dibenci suami pada dirinya dan harta suaminya.’” [HR. Ahmad, al Hakim, an Nasa’i dan ath Thobrani dan di Shohihkan oleh al Albani]

4. Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”  [HR Bukhari]

Dalam satu kisah dimana Saidina Umar Al Khattab RA pernah didatangi seorang lelaki yang ingin mengadukan hal isterinya. Apabila hampir tiba di rumah Umar, dia tercegat di hadapan pintu rumah pemimpin Islam itu. Dari luar rumah, dapat didengari suara leteran isteri orang ternama itu. Pada masa itu, isteri Umar ialah Ummu Kalsum binti Ali, anak kepada Ali bin Abi Talib. Yang anehnya, suara Umar langsung tidak kedengaran.

   "Sekiranya beginilah keadaannya semasa berhadapan dengan leteran isteri sedangkan di luar beliau dikenali sebagai seorang yang berani dan tegas, bagaimana pula saya? " Lelaki itu berfikir sendirian.

   Kemudian, dia melangkahkan kaki meninggalkan rumah Umar. Ketika itu, Umar membuka pintu. Lantas beliau menyapa dan bertanya tujuan kedatangan lelaki tersebut.

   "Tujuan saya datang ialah untuk mengadu perangai buruk isteri saya yang suka berleter. Tetapi apabila terdengar isteri tuan sedang berleter sedangkan tuan tidak berkata apa-apa, lalu bagaimana pula keadaan saya? " Lelaki itu meluahkan perasaannya.

   "Saya bersabar mendengar leterannya kerana beliau ada hak ke atas saya," Umar menjelaskan keadaan.

   "Isteri saya memasak, mengadun roti, membasuh pakaian dan menyusukan anak, sedangkan kebanyakan yang dilakukannya itu tidak diwajibkan ke atasnya. "

   Lelaki itu mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan mendengar penjelasan Umar.

   "Isteriku juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan haram. Itulah sebabnya saya bersabar dengan leterannya."

   "Benar segala apa yang tuan katakan. Isteri saya juga melakukan semua itu," akur lelaki itu.

   "Bersabarlah. Leteran mereka hanya sekejap sahaja." Umar menenangkan.

Ummu Kalsum adalah wanita mulia yang terdidik dari kalangan alhul bait. Namun sebagai manusia biasa, sebagai seorang wanita, adalah satu perkara lumrah untuk beremosi dalam sesuatu keadaan. Maka di sini, bukanlah dikira derhaka bagi seorang isteri dalam kondisi seperti kisah diatas. Pokok pangkalnya, saling berkasih sayanglah kerana Allah. 


Allahualam. 

No comments:

Post a Comment