Adaptasi dari kisah diceritakan oleh oleh Ustaz Zul Ramli dalam rancangan Usrah Nurani 15 January 2016....
Ada seorang lelaki tua di sebuah negara kafir, di mana kaum muslimin merupakan minoriti (tempatnya tidak dinyatakan) sangat membenci Islam. Masjid di kawasan itu cuma diimarahkan setiap hari Jumaat untuk solat Jumaat sahaja.
Si Lelaki Tua itu selalu mencampakkan najis atau bangkai ke dalam masjid kerana kebenciannya terhadap Islam dan kaum muslimin. Setiap kali Jumaat, AJK masjid dan ahli qariah akan membersihkan masjid dari bangkai dan najis yang dibuang oleh lelaki tua itu sebelum masjid dapat digunakan untuk solat Jumaat. Kebencian lelaki tua itu semakin memuncak takala anak perempuannya sendiri memeluk Islam. Sebagai tanda protes, dia menggantung bangkai anjing yang sangat busuk di mimbar masjid pada satu pagi Jumaat, menyebabkan seluruh masjid menjadi busuk.
Satu pagi, pada hari Jumaat, apabila AJK masjid serta ahli qariah sedang bergotong-royong membersihkan masjid, lelaki tua itu memanggil-manggil Imam masjid dari luar pintu masjid. Imam menjenguk keluar dan didapti lelaki tua itu bersungguh-sungguh mengajaknya keluar. Imam yang ketika itu sedang sibuk membersihkan masjid, turun melayan, dengan rasa keberatan.
Lelaki tua itu duduk mencangkung, berbaju t-shirt dan meminta Imam turut mencangkung. Kemudian, dia bertanya, "bagaimana untuk aku menjadi seorang muslim?". Pertanyaan itu disambut dengan rasa curiga oleh Imam kerana sudah sekian lama mengenali perangai lelaki tua itu. Lelaki tua mengulangi pertanyaan, "bagaimana untuk masuk Islam?". Imam pun melayan dalam serba salah, "ucaplah lailahalillah muhammadunabduhuwarosuluh...." Lalu lelaki tua perlahan-lahan ikut melafazkan kalimah syahadah itu. Kemudian, Imam menerangkan makna syahadah itu. Lelaki tua itu kemudiannya bangun dan berkata dengan nada agak kuat, "sekarang, aku sudah Islam!!!!" Kemudian dia pun berlalu pergi.
Imam kembali ke dalam masjid untuk menyambung kerja yang belum selesai. Apabila diceritakan kisah itu kepada mereka yang berada di dalam masjid, mereka tergelak. "Mabuk agaknya orang tua tu..." Ujar salah seorang dari mereka.
Pagi itu, seperti kebiasaannya, anak kepada lelaki tua itu akan membawa makanan yang istimewa untuk orang tuanya pada setiap pagi Jumaat. Takala dia masuk ke dalam rumah orang tuanya itu, ayahnya tidak kelihatan. Dia tercari-cari pula di tingkat atas rumahnya. Didapati ayahnya sedang berbaring dalam keadaan qiam. Dia menggerakkan tubuh orang tua itu, tetapi ternyata dia tidak bergerak. Lalu diperiksa nafasnya, barulah diketahui, ayahnya telah meninggal dunia.
Si anak bergegas keluar untuk memaklumkan perkara itu kepada saudara-mara dan jiran. Ketika melalui masjid, yang sememangnya berdekatan dengan rumah orang tuanya itu, kelihatan Imam sedang bersiap-siap untuk solat Jumaat. Si anak teragak-agak untuk memberitahu Imam kerana dia juga tahu akan perbuatan ayahnya mengotorkan masjid. Namun, dia bertindak memberitahu imam akan kematian ayahnya itu.
Sebaik mendengar berita itu, tiba-tiba Imam terduduk, lalu menangis. Si anak kehairanan dan bertanya, "kenapa?". Lalu Imam memberitahu, "ayahmu datang kepadaku pagi tadi, dalam jam 10 pagi dan mengucap dua kalimah syahadah di hadapanku. Dia mati sebagai seorang Islam...."
Doktor mengesahkan, lelaki tua itu meninggal sekitar jam 12 tengah hari, iaitu hanya beberapa jam selepas dia memeluk Islam.
Allah memilih lelaki tua itu untuk diberi keampunan, sekalipun seluruh hidupnya membenci dan dendam terhadap Islam.
Moga kita juga diberi kematian yang baik... AMIN.
No comments:
Post a Comment