Monday, August 5, 2024

Hidup Israel???

Selain berhimpun menyatakan solidariti, perlu ada tindakan lebih tegas dari negara Malaysia untuk mendokong saudara kita di Palestine. Apalagi dengan drama tersasul yang mencacatkan suasana, kerjasama perniagaan dengan BlackRock, slogan dan pidato hanyalah sekadar perkataan kosong yang tidak memberi kesan.


Sebagai negara kecil yang tidak memiliki kekuatan ketenteraan dan ekonomi yang kuat, jarak pula amat jauh dari bumi Al Quds, negara ini belum bersedia terjun ke kancah konflik secara fizikal, tetapi segala bentuk tekanan politik dan ekonomi boleh dilaksanakan, terutama dengan kerjasama tetangga serumpun, Indonesia di seberang Selat Melaka.
Satu lagi cara yang boleh digunakan ialah Diplomasi Rakyat (People-to-People Diplomacy), iaitu menggalakkan pertukaran budaya, kerjasama akademik, kerjasama NGO dan harakah Islam untuk membina hubungan dan sokongan di peringkat akar umbi. Ini boleh mendesak regim-regim arab yang berada di sekitar Al Quds untuk mendengar suara rakyat mereka sendiri yang mahukan pembebasan Palestine.
Amatlah memalukan apabila 475,000,000 penduduk dari 22 negara arab di sekitar Al Quds terpaksa membisu apabila saudara kita dibatai sedangkan populasi yahudi hanya kira-kira 15,000,000 jika dikira dari yang menetap di tanah yang dirampas, dan diaspora yauhudi di seluruh dunia.
Benarlah peringatan dari Rasulullah s.a.w:
“Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.” Maka seorang bertanya : “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda s.a.w menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?” Baginda menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.” (Sahih - Hadis riwayat Abu Daud, Kitab al-Malahim: Bab: Fi Tada al Umam ‘Alal Islam, jld. 4, ms. 484, no: 4297)

No comments:

Post a Comment