Thursday, December 4, 2025

Cincin Rasulullah s.a.w. yang Hilang

Dalam sejarah Islam, terdapat satu kisah yang sering diceritakan oleh para ulama, iaitu kisah mengenai cincin Rasulullah s.a.w. yang digunakan baginda sebagai cap mohor untuk surat-surat rasmi kepada raja-raja di zaman itu untuk tujuan dakwah dan diplomatik. Selepas kewafatan baginda, cincin ini disimpan oleh para khalifah sebagai alat rasmi untuk urusan diplomatik.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan r.a., cincin itu terlucut dari jarinya dan jatuh ke dalam sebuah telaga berhampiran Masjid Nabawi (dipanggil sebagai Biʾr al‑Arees di zaman terkemudian yang bermaksud, Telaga Cincin). Para sahabat berusaha mencarinya selama berhari-hari, namun ia tidak pernah dijumpai semula. Walaupun ia sebuah peninggalan yang sangat berharga, kehilangan itu tidak menjejaskan sedikit pun kewibawaan pemerintahan Uthman r.a., apatah lagi kekuatan Khilafah Islam.

Ini persoalan yang penting untuk kita ambil ibrah. 

Kerajaan Islam tidak bergantung kepada tanda kuasa, mahkota, atau simbol kebesaran seperti yang diamalkan kerajaan Rom, Parsi, atau kerajaan-kerajaan dunia ketika itu. Tiada mahkota emas, tiada tongkat diraja, tiada jubah berpermata sebagai syarat memerintah.

Kekuatan pemerintahan Islam terletak pada intipatinya, bukan simbolnya.

Islam membina tamadun melalui wahyu, dari hal yang sekecil-kecilnya seperti adab ke tandas, hinggalah kepada urusan keluarga dan muamalat, Sehingga kepada perkara sebesar-sebesarnya seperti sistem pemerintahan, keadilan, ekonomi, ketenteraan, dan hubungan antarabangsa.

Segala urusan negara dibina atas petunjuk Allah, bukan perhiasan dunia. Justeru, hilangnya cincin Rasulullah s.a.w. bukanlah hilangnya legitimasi, tetapi ia mengingatkan kita bahawa Islam tidak berdiri dengan simbol — ia berdiri dengan prinsip, akhlak, dan wahyu.

Inilah rahsia bagaimana Khilafah Islam mampu berkembang menjadi tamadun besar dunia: kerana asasnya bukan benda, tetapi hidayah.

 Allahu'alam 



No comments:

Post a Comment