Tuesday, October 25, 2016

Pilihanraya: Nak Ubah Apa?


Isu dakwat kekal yang tidak kekal adalah salah satu contoh temberang paling besar dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Selain itu, persempadanan pilihanraya yang sangat memberi keuntungan kepada parti pemerintah, penggunaan premis kerajaan seperti sekolah untuk program parti, ugutan terhadap kakitangan awam, rasuah yang dilunakkan dengan istilah "politik wang" dan bermacam lagi. Belum lagi dikira janji-janji pilihanraya yang sesungguhnya hanyalah pembohongan secara terang.

“Tidak selayaknya seorang Mukmin itu dipatuk dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari&
Muslim].

Mungkin ada yang bertanya baik secara sinis mahupun ikhlas, apakah perjuangan Islam di luar Parlimen berhasil dan bagaimana caranya? Jawapannya, apa yang utama di sini bukanlah hasil (kemenangan), tetapi apakah jalan yang diambil itu benar (syarie) atau tidak. Ini kerana kemenangan itu datangnya dari Allah SWT dan Dia tidak akan bertanya kenapa kita gagal, tetapi Dia akan bertanya apakah usaha yang kita lakukan itu menurut apa yang Dia perintahkan atau tidak? Rasulullah s.a.w adalah suri teladan yang wajib kita ikuti, bukan sahaja dalam solat, puasa dan haji, tetapi juga dalam menegakkan negara. Ternyata, perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sehingga tegaknya Negara Islam di Madinah bukanlah dilakukan melalui jalan yang diperuntukkan oleh sistem Jahiliyyah pada waktu itu, bukan juga dengan cara bergabung dengan pemerintahan kufur yang ada dan bukan juga dengan cara tadarruj (incremental).

Malah, selogiknya dan seandainya mahu, pada waktu itu Rasulullah s.a.w telah pun ditawarkan dengan kekuasaan oleh kafir Quraisy, namun ternyata baginda tidak mahu berkompromi dengan sistem kufur walau pun sedikit. Sesungguhnya perjuangan Rasulullah s.a.w adalah di luar daripada sistem kufur yang sedia ada, kerana jalan itulah yang diperintahkan oleh Allah SWT dan ternyata jalan perjuangan itu telah membuahkan hasil (dalam mendirikan negara dan menerapkan Islam).

Jadi, jika ada persoalan perjuangan manakah di luar daripada Parlimen, di luar daripada pilihan raya dan di luar daripada sistem demokrasi yang telah berjaya? Maka jawapannya adalah perjuangan Rasulullah s.a.w

Sejarah juga merakamkankan betapa banyak parti politik Islam yang berjuang dalam demokrasi terus gagal menerapkan hukum Allah, hatta setelah mereka berkuasa sekalipun. Realiti juga berbicara bahawa negara-negara Eropah berubah dari negara teokrasi ke negara-bangsa yang sekular tanpa melalui Parlimen. Rusia berubah dari  sistem feudal ke sistem komunis, lalu berubah lagi menuju sistem kapitalis, juga tanpa melalui Parlimen.

Demikian juga perubahan di Turki dari sebuah Negara Islam (Khilafah Islamiyyah) menjadi negara republik sekular, juga di luar Parlimen dan di luar proses demokrasi. Daulah Khilafah (Turki) berubah menjadi negara sekular juga sama sekali bukan kerana kelompok Turki Muda berjuang menuntut perubahan melalui Parlimen. Turki Muda di bawah pimpinan Mustafa Kamal Ataturk berjaya menguasai Turki setelah didukung oleh kekuatan penjajah British. Mereka meniupkan semangat assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam masyarakat dan berjaya meracuni pemikiran masyarakat sehingga dengan cara itu, mereka kemudian berjaya merombak bentuk negara dan undang-undang yang berlaku, menurut hawa mereka. Dengan dukungan dari kuffar British, Kamal Ataturk akhirnya berjaya meraih pemerintahan, lalu mengisytiharkan Republik Turki sekular, yang sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan Khilafah Islamiyyah yang telah berdiri dan menaungi dunia selama lebih 1300 tahun.


1. Sistem demokrasi memang akan memberi peluang kepada umat Islam untuk berkuasa, tetapi ia tidak akan pernah sekali-kali memberi peluang kepada umat Islam untuk menerapkan Islam secara kaffah (keseluruhan) dalam negara.

2. Islam tidak akan sekali-kali dapat diterapkan melalui jalan demokrasi, lebih-lebih lagi jika pemimpin yang menaiki tampuk pemerintahan ini merupakan agen Barat mahupun yang mendapat restu daripada musuh-musuh Islam.

3. Adalah sangat penting untuk membina pandangan umum (public opinion) di kalangan umat agar kesedaran mereka hanya mengarah kepada Islam semata-mata di samping menghambat atau menyekat mana-mana pihak yang cuba menyeru kepada perkara-perkara selain daripada Islam. Ini adalah untuk menjamin supaya negara yang didirikan bukan sahaja akan dijaga oleh pemerintah, malah didukung dan disokong oleh seluruh warganegara daulah secara umumnya.

4. Adalah mustahil untuk mengekalkan kekuasaan pemerintahan sekiranya ahlul quwwah (pemilik kekuasaan/persenjataan) seperti tentera tidak sehaluan untuk bersama-sama dengan pemerintah. Ini ditambah burukkan lagi sekiranya ahlul quwwah ini terdiri daripada individu-individu yang menumpahkan taat setia mereka kepada kaum kuffar dan musuh umat Islam seperti Amerika dan para sekutunya.

Cukuplah dengan apa yang telah berlaku di Algeria, Turki dan Mesir. Tidak sepatutnya seorang Muslim dipatuk daripada lubang yang sama sebanyak dua kali. Kembalilah semula kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh contoh yang terbaik buat kita yakni junjungan Muhammad s.a.w.

Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment