Sunday, February 12, 2017

RUU 355: Pembaikan Yang Rosak

RUU 355 menjadi polemik terbaru dalam dunia politik di Malaysia kebelakangan ini. RUU ini secara umumnya diperkenalkan untuk meningkatkan kadar hukuman bagi mahkamah syariah di Malaysia.

Propaganda yang dilancarkan Parti Islam Semalaysia (PAS) di merata ceruk negara ini berkisar mengenai kewajipan menyokong RUU ini, dan dalam masa yang sama, menjelaskan kepada warganegara non-muslim bahawa ia bukanlah hudud.

Menggunakan sentimen agama (Islam), kaum muslimin mudah terpesona apabila digambarkan RUU ini akan memberi faedah, kelebihan kepada umat Islam, selain "ke arah" pematuhan syariat Islam secara sempurna. Dengan kata lain, ke arah perlaksanaan hudud sepenuhnya di Malaysia.

Ironinya, corong yang sama juga menggambarkan kepada non-muslim bahawa ia bukanlah hudud. Ia tidak akan melibatkan non-muslim, dan ia bukan "back door hudud".

Ini adalah satu cubaan segolongan pejuang Islam yang mengambil jalan Islah (  ألإصلاح ), iaitu pembaikan dalam memperjuangkan hukum Allah. Mereka boleh jadi golongan mukhliseen (orang-orang yang ikhlas), tetapi ternyata jalan islah ini sesungguhnya tidak cocok dalam membicarakan isu ini.

Ada dua jalan perubahan dalam Islam iaitu islah dan inqilabiyyah. Dengan kata lain, berubah secara bertahap, atau berubah secara total.

Inqilabiyyah ( انقلبية ) Ia bermaksud menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah. Ini bermakna Islam tidak boleh berkompromi dengan jahiliyyah atau kufur.

Berjuang dalam kerangka sekular demokrasi, tidak ada yang dikatakan inqilabiyyah, kerana jalan ini memerlukan sistem demokrasi itu sendiri dicabut secara keseluruhannya.

Untuk memudahkan pemahaman, kita boleh mengambil perbandingan, proses Islah bagi seorang muslim yang fasiq (berdosa) ialah dengan bertaubat. Ia sesuatu yang benar kerana orang itu sudahpun beraqidah dengan aqidah Islam. Islah bermaksud memulihkannya dari dosa silam melalui taubat.

Adapun bagi seorang kafir, Islah tidak terpakai kerana sekalipun dia bertaubat, tetapi aqidahnya masih kekal kafir, taubat itu tidak terpakai baginya. Maka, pembaikan yang benar wajib berbupa inqilabiyyah, iaitu dia memeluk Islam terlebih dahulu, kemudian barulah berlaku pembaikan berupa islah.

Dalam polemik RUU 355 ini, mahkamah syariah yang hendak "disilahkan" itu sendiri merupakan mahkamah kufur yang berhukum dengan hukum warisan penjajah. Ia bukan diwujudkan untuk menerapkan hukum Allah, sekalipun dalam beberapa aspek kekeluargaan dan faraid, ia kelihatan benar. Aqidah kafir yang mendasari sistem ini menjadikan realiti yang terindera hanyalah realiti kufur. Maka, realiti ini sendiri wajib ditukar menjadi realiti Islam, sebelum dilakukan islah. Aqidah sekular memencilkan agama sebatas kehidupan individu, maka kuasa mahkamah syariah juga berkisar kepada kes indiidu, sedangkan berhubung perundangan yang lain, hukum sekular lah yang digunapakai.

Islam dibangunkan di atas runtuhan jahiliyyah. Realiti Islam tidak mungkin wujud dalam sesebuah negara melainkan di bawah naungan daulah Khilafah, yang bukan sahaja menerapkan hudud, tetapi seluruh hukum Allah secara syumul ( شمولية ), membawa ajaran yang menyeluruh sehingga menyentuh persoalan sekecil kecil sehingga ke sebesar-besar perkara.

Allahualam.

No comments:

Post a Comment