Wednesday, March 15, 2017

Nasibah Al-Maziniyah Serikandi Islam

Nasibah Al-Maziniyah (juga dipanggil Umm Ammarah) merupakan wanita pertama dalam sejarah Islam yang mengangkat senjata di medan perang. Beliau merupakan ibu kepada Habib Ibn Zaid Al Ansari yang dibunuh ketika menjadi utusan Rasulullah s.a.w kepada Musailamah Al Kazzab.

Nasibah adalah salah seorang dari wanita yang memberikan baiat kepada Rasulullah s.a.w dalam baiat Aqabah, dan kemudiannya beliau kembali ke Yathrib untuk mengajarkan wanita di sana tentang Islam.

Dalam Perang Uhud, beliau pada mulanya bertugas sebagai pembantu tentera, memberikan air dan merawat tentera kaum muslimin yang tercedera. Melihatkan situasi di mana pasukan pemanah kaum muslimin mengingkari perintah Rasulullah s.a.w untuk bertahan di atas Bukit Uhud kerana merebut ghanimah (harta rampasan perang), Nasibah mengangkat senjata dan terjun ke tengah-tengah medan pertempuran. Beliau bertarung umpama singa betina mempertahankan Rasulullah s.a.w di tengah-tengah kepungan musuh, sehingga musuh berundur kerana tidak sanggup menghadapi beliau. Selepas itu, baginda s.a.w mendoakan beliau dan Nasibah menjawab,"tiada suatu apapun di dunia ini merupakan penderitaan buat saya" (Sirah Ibn Hisham).

Di zaman Khalifah Abu bakr RA, beliau menyertai perang Yamamah untuk menentang Musailamah. Di medan perang, Nasibah menghunuskan tombaknya dan bertempur dengan Musailamah. Beliau cedera dalam pertempuran itu sehingga dikatakan terdapat dua belas luka di badan beliau. Dua tombak (atau pedang) dari tentera kaum muslimin menamatkan riwayat nabi palsu itu.

Terjemahan dari artikel: Mohamed Naime, France islamophile.org 1998

No comments:

Post a Comment