Wednesday, May 13, 2020

Peristiwa Bulan Dibelah dan Raja Dari India

Kita semua mengetahui peristiwa Rasulullah SAW yang pernah berlaku satu ketika dahulu,Terdapat satu peristiwa hebat tercatat dalam sebuah manuskrip Hindu kuno berkaitan peristiwa bulan terbelah tersebut yang jarang kita dengar.

Manuskrip Hindu kuno itu menceritakan kisah seorang raja dari Dinasti Chera,Malabar(selatan India) bernama Raja Cheraman Perumal (nama sebenarnya Chakrawati Parmas) yang hidup sezaman dengan Rasulullah s.a.w

Raja ini telah menyaksikan peristiwa bulan terbelah dua itu di Malabar, di waktu yg sama ketika Rasulullah SAW (yang berada di Mekah ketika itu) telah membelah bulan di hadapan golongan Quraisy sebagai mukjizat yang membuktikan kerasulan Baginda. Raja itu kebingungan setelah melihat peristiwa tersebut.

Kemudian, pada tahun yang sama berlakunya peristiwa bulan terbelah dua iaitu pada 617M, seorang sahabat Nabi bernama Malik Bin Dinar (ada pandangan menyatakan Malik Bin Dinar merupakan tabiin, bukannya sahabat) bersama-sama 12 orang yang lain telah datang ke India.Mereka adalah sekumpulan pedagang Muslim yang ingin berdagang ke China dan singgah sebentar di Malabar.

Berita kedatangan mereka kemudiannya telah sampai kepada Raja Cheraman yang kemudiannya telah menjemput mereka ke istana. Malik bin Dinar seterusnya telah menerangkan kepada raja tersebut mengenai Islam.

Sebelum kedatangan Islam,para pedagang Arab telah menunjukkan sikap yang buruk apabila mereka sampai di pelabuhan Kerala,India.Antara soalan yang ditanyakan kepada jemaah dakwah itu ialah;

“Bagaimana Islam boleh mengubah bangsa Arab yang kasar menjadi lemah lembut?”.

Jemaah itu pun menceritakan mengenai kebaikan yg diunjurkan agama Islam dan perihal Nabi Muhammad SAW.Kemudian,raja itu bertanya;

“Adakah terdapat bukti atau mukjizat yang boleh menunjukkan bahawa Muhammad adalah seorang Nabi?”.

Jemaah itu pun menceritakan kisah berkaitan mukjizat Nabi iaitu peristiwa bulan terbelah dua.

Maka terjawablah sudah persoalan yg bermain di minda Raja Cheraman yang selama ini dihantui kebingungan dengan fenomena bulan terbelah yang disaksikannya sebelum ini.

Dikatakan Raja Cheraman pergi untuk bertemu Rasulullah s.a.w lalu memeluk Islam dalam catatan kuno India tetapi tidak ditemukan dari pelbagai jalur riwayat yang muktabar perincian kisah ini.

Adapun bagi mengimani kerasulan Muhammad s.a.w, kita tidak memerlukan keajaiban untuk percaya, tetapi cukuplah dengan berfikir dari segala tanda yang mampu kita capai melalui pancaindera kita, serta kehebatan kesasteraan Al Quran yang tidak mampu ditandingi sejak ribuan tahun lalu.

Allahu'alam.

(NOTA: Dialog ini ada ditulis dalam Kitab Rihlat al Muluk oleh Umar bin Suhrawardi)



Sunday, May 3, 2020

Sekitar Persoalan Mengenai Bitcoin

18 May 2020, Bitcoin akan mengalami "halving" atau "menjadi separuh" apabila bilangan blok yang dikeluarkan mencecah 630 000, ganjaran blok akan turun dari 12.5 ke 6.25 bitcoins.
Halving berlaku setiap empat tahun, dan menandakan kadar penghasilan Bitcoin baharu akan berkurang menjadi separuh. BTC ialah cryptocurrency yang dicipta pada jumlah terhad, iaitu hanya 17.3 juta.
Sebelum ini, ketika halving berlaku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2013 dan 2016, harga BTC melonjak hingga beratus peratus. Satu tawaran yang sangat memukau ramai orang untuk melabur.
Pandangan Amir Hizbut Tahrir, Syiekh Atha Abu Al-Rashta berkaitan Bitcoin ini seperti berikut:
Bitcoin dihasilkan daripada proses digital mining yang bersifat majhul. Sesiapa sahaja yang memiliki peralatan komputer dan perisian yang sesuai boleh ‘melombong‘ Bitcoin. Dengan kata lain, Bitcoin terjana daripada sumber yang tidak dikenalpasti secara spesifik kerana ia dihasilkan oleh sebuah komuniti ‘pelombong’ secara terpencar (decentralized).
Ini pastinya menimbulkan keraguan kerana wujud kemungkinan bahawa perlombongannya terkait dengan entiti-entiti kapitalis yang berniat jahat atau mempunyai pelbagai tujuan yang buruk seperti perjudian, pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan pengurusan jenayah terancang. Tambahan pula, Bitcoin terdedah kepada pelbagai penipuan dan spekulasi. Oleh sebab itu, memperdagangkan Bitcoin yang bersifat majhul ini tidak diperbolehkan oleh syarak.
Larangan ini termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai transaksi gharar yang bermaksud sebuah transaksi yang melibatkan produk yang tidak dapat diperoleh kepastian daripadanya. Sebagai contoh, transaksi yang melibatkan penjualan ikan yang masih di dalam air atau menjual apa yang dibawa oleh binatang yang hamil dan sebagainya. Transaksi seperti ini dilarang kerana terdapat unsur gharar di dalamnya.
Transaksi gharar dilarang oleh Rasulullah SAW berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahihnya, daripada Abu Hurairah RA bahawa dia berkata “Rasulullah SAW melarang jual beli hasah dan jual beli gharar”.
Maksud jual beli hasah adalah apabila si penjual berkata kepada pembeli, ‘Saya akan menjual kepada anda apa sahaja yang ditunjukkan oleh lontaran batu ini, yang bermaksud, wujudnya elemen rawak di dalam jual beli. Dengan kata lain, objek yang dijual beli adalah tidak diketahui (majhul) dan ini dilarang sama sekali. Kedua-dua transaksi gharar dan hasah merupakan transaksi atas barangan yang majhul.
Pandangan yang sama juga dikeluarkan oleh Darul Iftaa’ Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir), manakala Syeikh Ali Qaradaghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia) berpandangan bahawa Bitcoin tidak haram secara mutlak tetapi memerlukan beberapa dhawabit (parameter) dalam pelaksanaannya.
Wifaq al-‘Ulama (United Kingdom) pula mengeluarkan pandangan, Bitcoin adalah dihasilkan dari proses mining yang berunsur perjudian.
Pandangan yang mengharuskan penggunaan Bitcoin pula adalah dari Dr Mohd Daud Bakar - Shariah Minds - Minda Syariah, beliau telah menolak hujah kalangan yang tidak bersetuju dengan Bitcoin bahawa ia mempunyai elemen gharar (ketidakpastian / ketidakjelasan) kerana nilai yang sangat tidak stabil dan kemungkinan sistem mata wang digital itu sendiri akan runtuh (collapse) pada bila-bila masa.
Beliau berkata risiko (khatar), tidak mempunyai kesan ke atas hukum sesuatu perkara, dan ia harus dibezakan dengan gharar yang memberi kesan ke atas hukum. Risiko adalah perkara yang normal dalam setiap perkara sama ada pelaburan, perniagaan dan apa jua bidang.
Allahua'lam.


Monday, April 13, 2020

Menyalahi Zahir Nas

Terdapat banyak contoh di mana ijtihad ulama yang datang kemudian adalah bercanggah dengan nas yang jelas kerana terdapat sebab hukum yang berbeza contohnya hadis Nabi SAW bersabda:

وقال صلى الله عليه وسلم من أحيا أرضا ميتة فيه أجر وما أكلت العافية منها فهو له صدقة

Rasulullah bersabda: Barangsiapa menghidupkan tanah yang mati, maka baginya pahala tanah itu. Dan segala apa yang dimakan makhluk dari tanamannya, maka itu merupakan sedekah [HR Tirmizi dan Abu Dawud]

Walaupun hadis ini adalah jelas tentang pemilikan tanah bagi yang menghidupkannya dan itulah yang difatwakan oleh jumhur ulama yang terdahulu tetapi Abu Hanifah dan Imam Malik dalam fatwanya menyatakan sebaliknya iaitu sesuatu yang bercanggah dengan zahir hadis dan menyatakan walaupun tanah itu dibuka oleh seseorang dia tidak boleh memilikinya bahkan pemilikannya akan bergantung kepada pemerintah (al-Zuhaili, 1984).

Sebab (illah) bagi fatwa ini ialah Nabi SAW bersabda sesuai dengan keadaan baginda yang tinggal di Madinah sebuah negeri padang pasir, maka sesiapa yang bersungguh menghidupkan tanah sehingga menjadi subur maka tanah itu adalah miliknya, apatah lagi jumlah penduduk ketika itu adalah sedikit. Manakala Imam Abu Hanifah tinggal di Bagdad sebuah negeri yang subur dan diairi oleh sungai Furat, Dajlah dan saliran yang banyak, maka tanah dapat diusahakan dengan mudah, apatah lagi pada ketika itu manusia telah ramai sebagaimana keadaan di zaman Imam Malik maka jika dibiarkan perkara ini tanpa kawalan maka sudah tentu ianya akan menimbulkan kerosakan yang banyak dalam kalangan masyarakat.

Terdapat hadis lain yang menunjukkan tindakan Khulafa terkemudian menyalahi zahir hadis, ketika Rasulullah s.a.w melarang unta yang terlepas dan berkeliaran di Madinah dari ditambat :

مَالَكَ وَلَهَا مَعَهَا سِقَاؤُهَا وَحِذَاؤُهَا، تَرِدُ الْمَاءَ وَتَأْكُلُ الشَّجَرَ، حَتَّى يَلْقَاهَا رَبُّهَا

Maksudnya: Mengapa pula kamu hendak mengambilnya ? Sedangkan ia mempunyai tangki simpanan air di badannya, serta tapak kaki, dan ia juga boleh mendapatkan air dengan sendiri serta boleh memakan daun di pokok sehingga pemiliknya menjumpainya. [HR Bukhari (2372)]

Ketetapan seperti itu terus berlangsung selama masa Nabi s.a.w, diikuti Khalifah Abu Bakr RA, hingga ʽUmar RA. Pada waktu itu, unta-unta yang terlepas dibiarkan saja berkeliaran dan tidak ada seorang pun yang menangkapnya, sampai ditemukan oleh pemiliknya kerana mereka mengikuti perintah Rasulullah s.a.w. Hal itu dilakukan selama unta tersebut mampu menjaga dirinya, mendatangi sumber-sumber air untuk minum dan menyimpan air sebanyak-banyaknya dalam perutnya. Unta itu pun memiliki kemampuan untuk menempuh perjalanan yang jauh di sahara yang luas. (Muhsin, 2015: 4)


Ketika zaman Khalifah Usmān bin ʽAffān, beliau memerintahkan agar unta-unta tersebut ditangkap lalu diumumkan kepada masyarakat (agar dapat diketahui siapa pemiliknya) kemudian dijual. Jika pemiliknya datang, wang hasil penjualan itu akan diberikan kepadanya. (Qaradhawi, 1993).

Keadaan sedikit berubah setelah masa Usmān. ʽAli bin Abi Ṭalib menyetujui sikap Usman demi kepentingan pemiliknya. Namun, beliau berpendapat bahawa menjualnya mungkin dapat menimbulkan kerugian bagi pemiliknya. Sebab, wang yang diberikan kepadanya mungkin tidak sesuai dengan harga sebenarnya atau tidak sepadan dengan harga yang seharusnya. Oleh itu, beliau berpendapat sebaiknya unta itu ditangkap kemudian dipelihara atas pembiayaan negara (bait al-māl) sampai si pemiliknya datang dan diserahkan kembali kepadanya. (Muhsin, 2015: 5).

Begitulah secara ringkas dalam memahami interaksi nas dengan realiti. Apalagi dalam perkara ijtihadi di lapangan fiqh. Tidaklah seharusnya kita ghuluw dalam melontarkan pandangan, ketika kita berdepan dengan pelbagai pandangan dalam memahami agama Allah, selama mana ia merupakan interpretasi dari sumber dalil, termasuklah takwilan yang dilakukan seperti contoh ijtihad para Khalifah Ar Rashideen dalam perbincangan di atas.