18 May 2020, Bitcoin akan mengalami "halving" atau "menjadi separuh" apabila bilangan blok yang dikeluarkan mencecah 630 000, ganjaran blok akan turun dari 12.5 ke 6.25 bitcoins.
Halving berlaku setiap empat tahun, dan menandakan kadar penghasilan Bitcoin baharu akan berkurang menjadi separuh. BTC ialah cryptocurrency yang dicipta pada jumlah terhad, iaitu hanya 17.3 juta.
Sebelum ini, ketika halving berlaku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2013 dan 2016, harga BTC melonjak hingga beratus peratus. Satu tawaran yang sangat memukau ramai orang untuk melabur.
Pandangan Amir Hizbut Tahrir, Syiekh Atha Abu Al-Rashta berkaitan Bitcoin ini seperti berikut:
Bitcoin dihasilkan daripada proses digital mining yang bersifat majhul. Sesiapa sahaja yang memiliki peralatan komputer dan perisian yang sesuai boleh ‘melombong‘ Bitcoin. Dengan kata lain, Bitcoin terjana daripada sumber yang tidak dikenalpasti secara spesifik kerana ia dihasilkan oleh sebuah komuniti ‘pelombong’ secara terpencar (decentralized).
Ini pastinya menimbulkan keraguan kerana wujud kemungkinan bahawa perlombongannya terkait dengan entiti-entiti kapitalis yang berniat jahat atau mempunyai pelbagai tujuan yang buruk seperti perjudian, pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan pengurusan jenayah terancang. Tambahan pula, Bitcoin terdedah kepada pelbagai penipuan dan spekulasi. Oleh sebab itu, memperdagangkan Bitcoin yang bersifat majhul ini tidak diperbolehkan oleh syarak.
Larangan ini termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai transaksi gharar yang bermaksud sebuah transaksi yang melibatkan produk yang tidak dapat diperoleh kepastian daripadanya. Sebagai contoh, transaksi yang melibatkan penjualan ikan yang masih di dalam air atau menjual apa yang dibawa oleh binatang yang hamil dan sebagainya. Transaksi seperti ini dilarang kerana terdapat unsur gharar di dalamnya.
Transaksi gharar dilarang oleh Rasulullah SAW berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahihnya, daripada Abu Hurairah RA bahawa dia berkata “Rasulullah SAW melarang jual beli hasah dan jual beli gharar”.
Maksud jual beli hasah adalah apabila si penjual berkata kepada pembeli, ‘Saya akan menjual kepada anda apa sahaja yang ditunjukkan oleh lontaran batu ini, yang bermaksud, wujudnya elemen rawak di dalam jual beli. Dengan kata lain, objek yang dijual beli adalah tidak diketahui (majhul) dan ini dilarang sama sekali. Kedua-dua transaksi gharar dan hasah merupakan transaksi atas barangan yang majhul.
Pandangan yang sama juga dikeluarkan oleh Darul Iftaa’ Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir), manakala Syeikh Ali Qaradaghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia) berpandangan bahawa Bitcoin tidak haram secara mutlak tetapi memerlukan beberapa dhawabit (parameter) dalam pelaksanaannya.
Wifaq al-‘Ulama (United Kingdom) pula mengeluarkan pandangan, Bitcoin adalah dihasilkan dari proses mining yang berunsur perjudian.
Pandangan yang mengharuskan penggunaan Bitcoin pula adalah dari Dr Mohd Daud Bakar - Shariah Minds - Minda Syariah, beliau telah menolak hujah kalangan yang tidak bersetuju dengan Bitcoin bahawa ia mempunyai elemen gharar (ketidakpastian / ketidakjelasan) kerana nilai yang sangat tidak stabil dan kemungkinan sistem mata wang digital itu sendiri akan runtuh (collapse) pada bila-bila masa.
Beliau berkata risiko (khatar), tidak mempunyai kesan ke atas hukum sesuatu perkara, dan ia harus dibezakan dengan gharar yang memberi kesan ke atas hukum. Risiko adalah perkara yang normal dalam setiap perkara sama ada pelaburan, perniagaan dan apa jua bidang.
Allahua'lam.
No comments:
Post a Comment