Tuesday, October 17, 2023

𝗣𝗘𝗥𝗕𝗘𝗭𝗔𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗡𝗗𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡

Hari ini timbul polemic berkenaan perkahwinan Abe Sabri Yunus dan Angeline Tan yang dikatakan tidak sah, dan ditambah dengan perkataan yang mengaibkan ke atas pasangan mempelai ini, hanya disebabkan akad nikah yang berlangsung dikatakan tidak sah. Alasannya, qabul (pengakuan penerimaan keatas ijab) yang disebut oleh Sabri Yunus dikatakan terlalu ringkas, dan tidak sempurna menurut mazhab Shafie. Cumanya, golongan yang kononnya teguh berpegang kepada mazhab Shafie ni selalu lupa, dalam dunia ini ada banyak mazhab dalam Islam, yang diterima sebagai ahli sunnah.

.

Dah ramai asatizah dan ilmuan memberi komentar dalam isu ini. Termasuk Dr Zulkifli, Prof Dr Rozaimi dan SS Dr Maza sendiri. Saya tak minat ulas mengenai isu ni tetapi nak relate dengan pengalaman sendiri berdepan dengan pandangan rigid sebahagian firkah (sekte) umat Islam.

.

Saya pernah “ditekan” untuk menerima pandangan bahawa transaksi emas hanya boleh dilakukan secara fizikal, face to face sesuai dengan mafhum hadis mengenai jual-beli emas, yang mensyaratkan “yadan bi yadin” yang bermaksud tangan ke tangan. Pandangan ini menolak secara total transaksi online dalam urus niaga emas kerana menurut mereka, ia tidak menepati ciri “lani” atau immediate yang menatijahkan wujud unsur riba dalam transaksi jual-beli emas. (Emas merupakan salah satu item ribawi dalam syariat Islam). 

.

Pandangan ulama mutaakhir pula menerima transaksi online dengan anggapan, ia memenuhi syarat lani, walaupun majlis serah terima tidak dilaksanakan secara berdepan. Alasannya, selagi tidak ada penangguhan dalam pemindahan hak, dan boleh dibuktikan secara hukum melalui resit, DO, Invoice dan sebagainya, maka tidak timbul soal “penangguhan” atau serah terima mesti dilakukan secara fizikal. Satu lagi syarat yang wajib dipenuhi, emas itu mestilah emas fizikal, dan bukannya emas digital yang tidak wujud. Untuk lebih kefahaman, sebaik Sahaja transaksi online selesai, pemilikan emas telah beralih dari penjual kepada pembeli, dan sekiranya pembeli meninggal dunia sebelum emas fizikal dapat dipegang dalam simpanannya, hukum faraid yang berlaku ke atas harta itu ialah, emas difaraidkan kepada waris pembeli, bukan dikembalikan kepada penjual. 

.

Bagi saya, kedua pandangan ini memenuhi kewajipan untuk patuh kepada syariat Islam. Pandangan yang tidak membolehkan transaksi online dalam urusniaga emas situ syarie, pandangan yang membolehkan juga syarie. Ia salah satu cabang ijtihad dalam urusan muamalat. Memaksakan pandangan sendiri ke atas orang lain adalah pemandulan pemikiran, satu bentuk ghuluw (melampau). Lagipun, seseorang mujtahid walaupun sosok seagung Imam Shafie Rahimahullah, juga menukar pandangan beliau setelah datangnya info baharu, dan berlaku perkembangan kefahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu. Itulah yang disebut qaul Qadim dan qaul Jadid dalam mazhab Shafie.

.

Ahli ilmu yang matang sedia menerima hakikat bahawa perbezaan pandangan itu bukan punca perbalahan. Ia menunjukkan keluasan tsaqafah Islam, yang digali dari khazanah hukum bersumberkan Al Quran dan Sunnah, yang dijadikan pedoman untuk kehidupan manusia sepanjang zaman. Maka tidaklah menghairankan Ketika para Khulafa Ar Rashideen memerintah, polisi yang diamalkan tidak lah 100% sama seperti yang Rasulullah s.a.w laksanakan Ketika baginda menjadi ketua negara. Contohnya, Khalifah Umar Al Khattab RA tidak memberikan ghanimah kepada tentera ketika futuhat di wilayah Iraq, walaupun ghanimah memang diberikan kepada tentera ketika pemerintahan Rasulullah s.a.w, bahkan ada surah dalam Al Quran diberi nama Surah Al Anfal, yang bermaksud, Rampasan Perang. 

.

Ada isu yang lebih utama untuk didahulukan, semoga dengan munculnya pelbagai pandangan yang berasaskan hujah dan dalil, umat Islam akan lebih matang dan berilmu. Dengan kata lain, akan terlupus kebodohan dan ketaksuban di tengah umat, apabila tradisi ilmu dibudayakan.




No comments:

Post a Comment