Saturday, November 18, 2023

Bukan Semua Immigrant Itu Seperti Yahudi

Saya kurang setuju untuk disamakan komuniti cina yang berhijrah ke Malaysia seperti bangsa Yahudi yang masuk ke Palestine sepepas kekejaman Nazi. Di Palestine, terdapat Yahudi Ortodox yang hidup berdampingan dengan masyarakat Kristian dan Islam selama ribuan tahun di Palestine. Golongan Yahudi yang pindah masuk itu sebilangan besar merupakan penyokong Zionis yang menggunakan propaganda kononnya Zionis berjuang untuk agama Yahudi.


Mitos ini dibantah oleh kaum Yahudi sendiri, yang memahami agama mereka. Zionisme ialah fahaman ultra nasionalis Yahudi, yang sebenarnya tidaklah berakar dari agama Yahudi kecuali menggunakan slogan agama dan bangsa untuk meraih sokongan.


Cina Malaysia pula, mereka yang dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh penjajah British sebagai buruh di lombong dan estet, pada asalnya tidaklah bercadang untuk kekal selamanya di negara ini. Immigrant ketika era penjajah itu terus mengekalkan budaya dan cara hidup negara asal mereka, disokong institusi pendidikan vernacular. Pasca era penjajahan, keadaan berubah, dan penduduk Tanah Melayu menerima immigrant sebagai rakyat negara ini, dengan kesepakatan tertentu yang disebut "kontrak sosial". Tidak berlaku asimilasi budaya, sebaliknya persetujuan yang disepakati ialah co-exist dalam keadaan aman dan sama-sama menumpahkan ketaatan kepada negara ini.

Beberapa persamaan, iaitu dibawa masuk oleh British, tidak adanya asimilasi sosial dan budaya, serta ciri dominasi ke atas ekonomi menjadikan sebahagian pemikir Melayu beranggapan, golongan immegrant sebagai ancaman, persis apa yang berlaku di Palestin.
Pun begitu, kita harus tengok dalam perspektif yang lebih luas, tanpa terburu-buru untuk bersikap prejudis terhadap sesiapa sahaja. Berbeza dengan Yahudi di Israel yang rata-rata memiliki dua kerakyatan, warga cina di Malaysia ialah rakyat Malaysia yang tidak memiliki kerakyatan asing. Ia tidak diterima dari segi perlembagaan di negara Malaysia. Dari segi ekonomi, sumbangan golongan ini terhadap kemajuan ekonomi negara ialah fakta yang tidak boleh diketepikan.


Idea asimilasi budaya juga tidaklah begitu utama, malah hampir mustahil untuk dilakukan setelah lebih 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, sebaliknya, negara Malaysia seharusnya dibangun dengan identiti yang menerima kepelbagaian budaya sebagai identiti negara. Diversiti sebagai kekuatan, bukan kelemahan.


Dalam sebuah negara Islam, sepatutnya usaha dakwah dilakukan secara sistematik. Golongan non-muslim diberi kefahaman yang betul tentang Islam, dipelihara nyawa, harta, agama serta kehormatan mereka, manakala umat Islam memaparkan sikap yang selari dengan ajaran Islam, sehingga bangsa-bangsa yang berhijrah ke wilayah umat Islam berasa aman, selamat dan lembut hati untuk menerima Islam. Pun begitu, setelah segala kebaikan diberikan, jika terdapat unsur jahat yang cuba menggugat kedudukan Islam di dalam wilayah umat Islam sendiri, tidakan tegas wajib dikenakan. Kaedah lembut dan tegas harus seimbang untuk menjaga kemaslahatan umum.

No comments:

Post a Comment