Kalau ikutkan disiplin fiqh yang murni, pasti kita tidak akan bertemu dengan khilaf (perselisihan) ketika membahaskan hukum merokok. Kenapa? Sebab memang tidak ada nas syarak secara soreh (jelas) lagi khusus yang mengharamkan rokok. Begitu pula sebaliknya, tidak ada pula nas syarak yang mewajibkan atau menggalakkan kita merokok, melainkan merokok termasuk dalam hal-hal mubah (harus) yang tidak dinyatakan oleh nas. Ada sesetengah ulamak menyebut hal ini sebagai 'tidak dinyatakan nas' atau termasuk ruang vakum dan lebih tepat lagi, 'hal yang didiamkan nas', hukumnya jaiz (boleh).
Hukum haram terhadap merokok adalah hal baru (kontemporari). Itupun setelah lahir fiqh kontemporari seperti fiqh al-waqi'. Ulamak telah maklum bahawa fiqh al-waqi' bukan suatu yang murni melainkan ianya baru muncul (pelopornya, Dr Yusuf Al-Qaradhawi). Fiqh al-Waqi' bukan termasuk sumber-sumber hukum yang muttafaqun (disepakati), melainkan masih spekulatif. Ada ulamak yang terima, ada yang menentang. Jadi, ia bukan satu tertib dalam pengambilan hukum secara murni melainkan masih spekulatif.
Menurut fiqh al-waqi', merokok adalah haram kerana beberapa faktor kesan (akibat), bukan faktor hakikinya. Misalnya, mereka mendakwa merokok membahayakan kesihatan. Kita pun tahu bahawa asap kenderaan bermotor juga membahayakan kesihatan (sekalipun ia hanya berpotensi bukan suatu kepastian). Dalam makanan yang kita ambil setiap hari juga masing-masing terdapat bahaya. Tetapi, mengapa rokok pula sahaja yang diharamkan. Mereka juga mendakwa merokok adalah membazir. Mengapa kereta yang dibeli dengan harga yang sangat mahal kemudian dibiarkan ditempat parking tanpa diguna tidak dikatakan membazir. Paling tak logik, merokok boleh membantu ekonomi Israel!! Adoiyai.. Banyak lagi hujjah-hujjah dangkal yang tak layak dijadikan 'illat (motif) untuk pengharaman merokok.
Menurut fiqh murni berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis, sesiapa yang telah sedia sakit dan tidak dibenarkan merokok oleh pakar kesihatan, maka haramlah merokok baginya. Begitu juga dengan makanan lain. Ada orang alergik dengan seafood, ada yang alergik dengan daging, susu dan lain-lain.. maka bagi mereka haramlah makanan yang memudharatkan diri mereka sendiri. Hukum merokok termasuk dalam hukum-hukum math'umat (makan-minum) dan tidak ada kena mengena dengan hukum-hukum muamalat (interaksi). Perokok tahu faedah merokok, begitu juga dengan pencinta petai dan jering atau penggemar double-cheese beef burger.
Petikan dari artikel Ustaz Ridhuan Hakim
No comments:
Post a Comment